PINTAR bakal dikuburkan?




Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka apabila tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya". Yunos :49

Malam sabtu syawal terakhir majlis sambutan syawal diadakan di jamek menara nan sebatang. Jemputan terdiri daripada veteran PINTAR. Kelihatan agak ramai juga yang hadir bersama keluarga, khususnya geng hard core yang jarang menguzurkan diri seperti TG, PH II, PH III, jurufoto, TD, bahkan wajah-wajah kesayangan hamba seperti Mr F dan PH juga muncul tanpa terduga. KK senior juga ada berpakaian uniform bertugas. 

Tatkala penulis tiba, guruh mula berdentuman di langit yang kelam. Hidangan malam ialah kambing bakar - yang utama. Terdapat hidangan lain seperti mee goreng, key teow, roti jala, sate, ais krim dan pelbagai lagi. Jamuan kelihatan agak mewah.

Maka bertebaran kami bersembang meskipun tidak dapat duduk semeja. Dalam hati sangat gembira. Gembira kerna cita-cita untuk melaksanakan hari keluarga hampir tercapai. Meskipun tidak dapat direalisasikan sebagaimana yang pernah dirancang sebelum ini, namun majlis seumpama ini cukup bermakna buat melepaskan rindu yang membara selama ini.

Ya...kami telah bersama dalam puluhan, mungkin ratusan program secara bersama. Pelbagai pengalaman suka duka telah diharungi bersama. Pabila dapat bersama dalam majlis dan dapat pula membawa keluarga, ianya sesuatu yang amat-amat berharga.

Tatkala bertukar info dikalangan kami, tersembul sekelumit khabar yang agak melukakan. Khabar bahawa pasukan ini mungkin akan dikuburkan. Dikuburkan tanpa nisan. Oh...sama seperti nasib saudara kembarnya tempoh hari. Dalam era kekuasaan yang sama. Menerima nasib yang sama. Apakah ianya satu kebetulan atau sesuatu yang dirancang secara penuh licik...?

Terasa hendak gugur rasanya pabila mendapat khabar luka itu. Hati cukup pedih, terhiris, dan sedih. Sedih terkenang segala memori sepanjang bersama. Terhiris kerana pasukan ini bukan hanya tidak dipandang langsung oleh mereka yang berada di puncak (itu bukan matlamat) bahkan dianggap selaku pengganggu terhadap kerja-kerja hakiki seharian di pejabat. 

Sepanjang penglibatan penulis dengan kumpulan ini, seingat penulis, tidak pernah pula program dibuat dalam waktu pejabat. Program hanya bermula pada hari Jumaat selepas solat Jumaat. Kalaupun ada masa yang diambil, hanya melibatkan ahli pejabat penganjur sahaja. Ahli yang berbeza pejabat selalunya akan muncul selepas waktu pejabat.

Namun apa sahaja yang ingin dihujjahkan, ianya tidak akan mampu mengubah keputusan yang telah dimesyuaratkan. Selaku pelakon, meskipun permintaan dari luar begitu galak agar diteruskan lakonan ini, namun jika produser sudah tidak sudi, ianya tidak memberikan sebarang makna.

Perhimpunan malam itu disuraikan dengan acara bersalaman dan bermaafan. Penulis fikir jika tidak diumumkan, boleh jadi kami semua akan duduk lebih lama. Silap-silap hingga menjelang dinihari. Kepulangan kami diiringi oleh hujan. Hujan malam yang melebat. Seolah tidak merestui perpisahan kami malam itu. Mungkinkah ini perhimpunan dan perpisahan terakhir diantara kami? Adakah selepas ini kumpulan ini hanya akan tersimpan dalam lipatan sejarah dicelahan timbunan fail di bilik stor dan kemudian dihumban ke dalam arkib seterusnya dimusnahkan?

Benarlah firman Allah bahawa setiap sesuatu pasti akan menemui ajalnya. Boleh jadi perhimpunan bersama ini merupakan petanda akhir akan ajal kumpulan ini...


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol