Hari raya korban: semangat korban yang kian pudar
Hari ini, sehari selepas kerajaan saudi mengumumkan tarikh wukuf, umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira perbezaan mazhab yang semakin memuncak kini, meraikan eid adha, hari yang diasaskan dari semangat pengorbanan suci yang ditunjukkan oleh Ibrahim as dan juga anaknya Ismail as.
Daripada semangat pengorbanan dua anak beranak ini, maka Allah swt telah menggantikan Ismail as dengan seekor kibasy. Maka umat islam sehingga ke saat ini masih lagi melaksanakan syariat nabi Allah Ibrahim ini yang juga telah diperintahkan di dalam syariat junjungan besar Muhammad SAW.
Umat Islam masih meneruskan amalan korban dengan menyembelih pelbagai binatang ternakan berupa lembu dan kambing atau unta atau kibasy menurut aturan syariat sehingga ke hari ini.
Kita biasa mendengar amalan ini dilaksanakan diserata ceruk negara umat islam. Kita biasa juga mendengar umat islam berkongsi untuk menyembelih seekor lembu dengan harga RM400 ke RM700 untuk satu bahagian. Selari dengan kenaikan harga bahan bakar kini maka harga haiwan ternakan untuk ibadah korban juga turut dikomersialkan dan turut 'meragut' kemampuan segolongan insan yang berura-ura untuk turut serta dalam aktiviti ibadah yang besar ini.
Sebagaimana tulisan penulis sebelum ini, idea untuk melaksanakan ibadah korban secara tabarru' (mohon diperbetulkan sekiranya tersilap) pernah diutarakan oleh salah seorang guru penulis tatkala menuntut di salah sebuah pusat pengajian sebelum ini. Meskipun mendapat tentangan sebahagian pihak yang masih terikat dengan pandangan ulama tradisional, idea tersebut dapat juga direalisasikan dan kami bersama menyumbang untuk menumbangkan seekor lembu, sama ada dengan sumbangan sekecil RM1.00 hinggalah kepada RM yang lebih besar.
Malangnya idea besar seumpama ini selalunya dilihat sebagai menongkah arus yang cuba menyalahi pandangan ulama yang selama ini sudah mendarah daging dalam tubuh dan budaya hidup mereka.
Mungkin mereka telah terlupa dengan pandangan imam malik bin anas, pengasas mazhab maliki, maka setiap pandangan manusia boleh ditolak dan dihujahkan, kecuali pandangan tuan punya kubur ini, sambil menunjuk ke arah makam junjungan besar Muhammad Rasulullah SAW.
Sememangnya amalan korban yang telah dibudayakan dalam kehidupan bangsa melayu islam ini sudah melalui proses transformasi yang hebat hinggakan ianya menjadi salah satu budaya dalam nadi kehidupan melayu yang kadangkala menjauh dari syariat sebenar yang telah dijelaskan dalam al quran dan sunnah.
Adakah dengan pengagihan korban yang dilaksanakan mutakhir ini benar-benar dapat manfaat yang besar kepada golongan fakir miskin? Mungkin hanya untuk sehari dua mungkin bagi mereka untuk menikmati daging yang boleh dimasak. Namun bagi meneruskan kehidupan harian mereka pula, adakah ianya mampu mengubah status kehidupan mereka dengan sebenarnya.
Terdapat pandangan yang agak radikal mengenai perkara ini iaitu untuk mewujudkan dana khas atau sebuah yayasan yang mengendalikan agihan daging korban, yang mana daging itu tidak diagihkan serta merta, tetapi dijual dan wang hasil jualan dilaburkan ke dalam mana-mana institusi seperti tabung haji, atau institusi perladangan yang akan memaksimumkan hasil pelaburan tersebut.
Kalau diandaikan satu karyah yang mempunyai sebuah masjid dan 20 buah surau, setiap surau menyembelih tiga ekor lembu korban dan masjid pula menyembelih 20 ekor lembu, jumlah lembu yang dikorbankan di karyah itu ialah 80 ekor. Kalau daging seekor lembu korban boleh dijual dengan harga RM1500.00 ini bererti tahun pertama projek ini telah mempunyai modal pelaburan sebanyak RM120,000.00. Dengan keuntungan 4% setahun, selama lima tahun daging korban dijual dan dilaburkan projek ini telah dapat mengumpul lebih dari RM600,000.00. Dengan memberikan bantuan pendidikan bernilai RM30.00 sebulan kepada 10 orang pelajar miskin di sekolah rendah modal pelaburan projek ini tidak akan terjejas walau sedikitpun, malah akan terus meningkat. Pada tahun ke enam dan berikutnya bilangan mereka yang mendapat bantuan boleh ditambah, begitu juga jumlah bantuannya. Jika projek ini dapat diteruskan ia akan dapat menjana jutaan ringgit yang bukan hanya dapat membantu pelajar di peringkat sekolah rendah, malah menengah dan di peringkat pengajian tinggi. Ini hanya gambaran satu karyah, bayangkan jika projek ini merangkumi satu daerah atau satu negeri, malah negara.
Mungkin pandangan ini dianggap agak melampaui pelaksanaan sedia ada yang cuba berselindung di sebalik helaian kitab-kitab fiqh kelasik. Namun ada kemungkinan juga pandangan ini timbul implikasi dari pelaksanaan agihan zakat yang dilihat masih lagi lemah dan kurang terurus dengan baik serta masih lagi berada di bawah kuasa negeri. Terdapat idea untuk mewujudkan pusat pungutan zakat negara dan ianya telah mula dibicarakan sejak tahun 1997 lagi tetapi sehingga kini ianya masih lagi tinggal di dalam lipatan kertas di dalam almari fail pejabat zakat negeri tanpa sebarang usaha pelaksanaan yang lebih serius.
Sekiranya sistem pengagihan zakat negara dapat dilaksanakan dengan lebih molek dan telus, maka sudah tentu pandangan radikal mengenai pengagihan daging korban seumpama ini tidak akan terbit, dan sudah barangpasti masalah kemiskinan yang menghantui umat islam akan selesai. Mungkin para penguasa agama agak 'terlupa' bagaimana dapat mengagihkan zakat dengan lebih telus dan lebih bermanfaat kepada para fakir miskin, bukan seqadar hanya sibuk berkempen memungut zakat dan mempermudahkan pembayaran sahaja.
Lebih malang lagi kini, acara korban seolah-olah menjadi medan para golongan kaya untuk 'mempamerkan' kehebatan mereka dengan banyaknya jumlah haiwan ternak yang dikorbankan...namun bagaimana pula dengan pengagihan secara klasik ini adakah ianya benar-benar memenuhi tuntutan sebagaimana yang dicatatkan oleh ulama atau sekali lagi ianya hanya menjadi topeng untuk menutup kelemahan sesetengah pihak?
Masih lagi wujud dikalangan para pelaksana ibadah korban untuk meneruskan tradisi upah kepada penyembelih atau tukang sembelih korban, sekurang-kurangnya dengan kepala milik sang penyembelih.
Soalan: Apa hukum memberi upah tukang sembelih dan tukang lapah binatang qurban dengan memberi daging binatang qurban tersebut sebagai upah?
Ustaz Azhar Idrus:
Ini banyak sangat yang terjadi, dah macam lumrah, sebab ramai yang tidak tahu hukum. Hukumnya HARAM kita memberi upah penyembelih dan juga tukang lapah, dengan daging qurban yang disembelih itu, malah dengan seurat bulu binatang qurban itu pun tidak boleh!
Saidina Ali r.a berkata, "Nabi s.a.w pernah menyuruh aku korban seekor unta milik Baginda kemudian sedekahkan daging, kulit dan apa yang di atas belakang unta-unta itu serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami sendiri." (Hadis Riwayat Muslim).
Adakah sah qurban itu?
Ibadah qurban itu sah, tetapi perbuatan memberi upah itu yang haram.
Jadi, macamana nak upah mereka?
Nak bagi upah boleh, upah dengan duit. Tetapi, kita boleh beri daging kepada mereka sedikit dari bahagian kita sebagai sedekah atau hadiah sepertimana yang kita beri kepada orang-orang lain, asalkan bukan niat upah.
Habis tu kesalahan yang lepas-lepas macamana?
Bagi sesiapa yang telah mengambil upah selama ini, maka wajib dia bertaubat dan wajib ganti balik dengan jumlah daging yang dia telah diambil sebagai upah.
Sebab itu kita kena belajar ilmu agama. Jangan belajar ilmu dunia saja. Ibadah qurban itu sunat sahaja, tetapi bila kita hendak buat ibadah qurban, belajar hukum mengenainya itu adalah WAJIB.
Itu adalah mengenai masalah upah. Bagaimana pula dengan pengagihan daging? kadang-kadang dek kerana masjid membuat korban 10 ekor dan 3 buah surau di sekitar qaryah juga membuat korban dengan purata 3 ekor unta setiap surau, maka ada dikalangan ahli qaryah yang mendapat 4 kilo daging berlainan bungkusan dek kerana penerima dikenali oleh petugas dan ada si fakir yang hanya mendapat satu kilo sahaja dek kerana berlainan fahaman politik!!
Adakah perkara seumpama ini dapat memenuhi falsafah sebenar ibadah korban? Adakah dengan hanya pengagihan kepada si kaya sahaja dengan mengurangkan bahagian si fakir miskin mampu merubah sistem ekonomi islam dan dapat merubah kehidupan sang fakir dan miskin?
Masanya telah tiba untuk sebuah transformasi menyeluruh untuk mengembalikan semula kedudukan ekonomi umat ini...
Wallahu a'lam
Ulasan