Tiga Hari Dua malam di Paloh
Bermula jumaat hari terakhir tasyriq dua kumpulan mahasiswa dan mahasiswi telah berangkat menuju ke sebuah pekan kecil dalam mukim paloh. Kumpulan seramai 70 orang ini dipecahkan kepada dua seksyen dengan dua kenderaan yang berbeza.
Sememangnya pergerakan pada semester ini dilanda pelbagai perkara yang perlu diselesaikan dengan qadar seberapa segera. Dengan perancangan di saat akhir dan hanya mengambil masa sekitar dua minggu, termasuk cuti eid adha yang menyaksikan kebanyakan pelajar pulang bercuti di kampung dan dibayangi kelas tambahan di hujung minggu nanti. Program yang dirancang hampir dibatalkan di saat akhir dan tatkala pengarah program datang bersama kertas proposal di hari terakhir bekerja, minggu sebelum eid adha, jelas pada wajahnya menggambarkan kumpulan ini seolah tidak bermaya untuk merealisasikan program ini pada hujung minggu berikutnya.
Namun sebaik tiba hari arafah, penulis telah menggerakkan diri untuk mendapatkan kenderaan kerana itu perkara terpenting disamping bertanyakan khabar akan kertas kerja yang dihantar pada minggu sebelumnya. Sayangnya kertas kerja masih belum ada khabarnya begitu juga kenderaan yang masih lagi penuh...
Kemudian pada hari tasyriq pertama, penulis sekali lagi menghubungi pejabat berkaitan dan alhamdulilla kertas kerja telah lulus manakala kenderaan masih tiada. Dan penulis sudah mula membayangkan bahawa program pada minggu ini mungkin akan ditangguhkan. Walau bagaimanapun, progres kerja untuk persiapan terus giat dilaksanakan selepas dirancang.
Pada hari khamis petang, ada berita gembira dimana kenderaan untuk seksyen gabungan telah diterima disebabkan ada program pada minggu itu dibatalkan. Namun untuk seksyen satu lagi, masih terkial-kial mencari kenderaan, hingga terpaksa mohon syafaat dari orang besar.
Petang khamis itu juga akhirnya menyaksikan yang urusan kenderaan telah selesai. Syukur padaNya. Namun pada pagi Jumaat tatkala hadir ke pejabat berkaitan, dimaklumkan bahawa kenderaan masih belum mendapat kelulusan...
Oh...begitu banyak birokrasi yang terpaksa dilalui hanya semata-mata untuk mendapat kenderaan bagi aktiviti pelajar...bukan aktiviti untuk keseronokan staf pun...atau mendatangkan hasil dan manfaat lumayan kepada sang penganjur...namun apa yang boleh dibuat. Akhirnya, selepas asr, bergegas mendapatkan kunci van yang hanya mampu memuatkan seramai paling maksima 12 orang tetapi yang masih tidak ada kenderaan seramai hampir 25 orang...wah gawat sekali.
Akhirnya selepas tiba di check point, didapati ada pelajar yang memiliki kenderaan sendiri sebanyak dua buah kenderaan. Pada asalnya penulis mahu membuat dua trip untuk mengambil dan menghantar pelajar kerana hanya itulah alternatif terbaik pada saat tersebut. Untuk mengharapkan bas seksyen gabungan, hanya ilusi sahaja untuk membuat dua trip penghantaran pelajar walhal ianya adalah perkara yang sepatutnya dek kerana ketiadaan kenderaan.
Maka syukur sekali atas kehendak Tuhan jua adanya maka dapatlah kesemua ahli seksyen ini berangkat menuju ke pekan paloh dengan dua buah kenderaan pelajar. Harap-harap petrol yang digunakan boleh dibayar...
Kami hanya tiba di lokasi sewaktu maghrib. Setelah menghantar pelajar, penulis dan orang sebelah yang setia ke masjid berhampiran untuk menyelesaikan tuntutan. Sebelum kami tiba di lokasi, singgah di rumah mertua untuk mengambil orang sebelah yang setia yang menjadi jurulatih untuk seksyen gabungan yang menuju ke lokasi dengan jayanya bersama bas yang selesa. Ironinya, meskipun kumpulan tersebut mendapat bas yang agak selesa, kehadiran mereka hanya separuh daripada keseluruhan dengan seramai 7 orang lagi pelajar dijangka tiba esok.
Sebaik seusai solat maghrib, masih belum kelihatan sebarang makanan untuk para pelajar. Maka sekonyong-konyong muncul seorang lelaki dan seorang wanita yang telah dihubungi untuk urusan tempahan makanan. Biro makanan dan setiausaha nampaknya dapat menyelesaikan perkara tempahan ini dengan agak berkesan meskipun pada awalnya sang pembekal kelihatan seperti marah-marah kerana hadirnya sang pemilik kantin yang tidak mendapat tempat di hati pelajar untuk menerima tempahan makanan selama tiga hari dua malam.
Kumpulan gabungan nampaknya terus melaksanakan tugasan mereka dengan membuat lakaran lukisan di dinding sekolah. Pihak seksyen di bahwa penulis diberi sedikit taklimat dan kemudian mereka membuat perbincangan dan persiapan untuk menghadapi hari esok dimana seramai sekitar 30 pelajar sekolah tahun lima dan tahun enam dijangka akan turut serta.
Penulis dan orang sebelah yang setia kembali ke rumah. Keesokan paginya, kami hanya tiba semula di sekolah sekitar jam 11 pagi bersama putera dan puteri kedua. Aktiviti begitu rancak berjalan di antara kedua-dua kumpulan. Penulis diberi amanah untuk memberikan sedikit suntikan semangat kepada pelajar tahun enam dan tahun lima sekitar 35 orang...
Seusai solat zuhur, kami bergerak pulang dan singgah di majlis makan berhampiran kedai.
Selepas maghrib, kami sekali lagi hadir ke sekolah. Menjelang isya baru kami tiba di perkarangan sekolah. Peserta sedang sibuk membuat persiapan bbq.
Majlis penutup berlangsung sekitar jam 12 tengahari ahad. Guru besar dan GPK hadir sama bagi menyempurnakan majlis penutup yang agak sederhana dan meriah.
Bagi diri penulis secara peribadi, program ini dapat mencapai matlamatnya meskipun ianya hanya dirancang dalam masa dua minggu sahaja. Tahniah kepada semua yang terlibat...
Ulasan