Dunia fasilitator : baru bertatih

Dunia seorang fasilitator mungkin jarang diperkatakan oleh masyarakat awam. Biasanya perbualan dan prdebatan di mana-mana ruang amat jarang dan kadang-kadang sahaja menyentuh mengenainya. Itupun topik ini mungkin hanya diminati oleh golongan yang sememangnya telah biasa bergelumang dengannya sahaja, ataupun bagi mereka yang baru hendak menceburi bidang tersebut.

Seikhlasnya, penulis mula berjinak dengan dunia kefasilitatoran sejak menjalani program induksi di Mersing Johor. Ini adalah disebabkan rakan penulis yang telah dikenali sejak tahun 1991 itu yang menarik penulis ke dalam dunia fasilitator ini.

Bermula dengan permohonan melalui pengisian borang, dan kemudian dipanggil untuk temuduga. Antara perkara yang dipertanyakan ialah :

"Kalau kami adakan program di HUJUNG MINGGU (ayat ini ditekankan oleh panel) dan kami tidak cukup fasi, jika kami panggil saudara, tanpa sebarang bayaran, adalah saudara sanggup?"

Maka dengan penuh yaqin dan iltizam pasti sahaja penulis menyanggupinya.

"ni tiada bayaran tau....untuk organisasi..." sambil tersenyum sinis sang panel menekankan soalan itu lagi mungkin agar lebih difahami oleh penulis..

Selepas sesi temuduga, sekitar beberapa minggu kemudian penulis dan beberapa rakan lagi, termasuk TG dan juga Al Fadhil telah terpilih untuk mengikuti kursus kefasilitatoran di Janda Baik Pahang. Kursus selama 4 hari 3 malam itu sungguh mantap dan begitu menguji daya intelektual dan juga fizikal para peserta. Antara aktiviti fizikal yang menarik ialah flying fox...

Selesai daripada sesi latihan, maka surat telah dikeluarkan oleh pihak organisasi melantik penulis selaku fasi untuk organisasi. Besar betul tanggungjawab tersebut. Sayangnya, surat tersebut telah hilang daripada simpanan penulis.

Ujian pertama bagi fasi muda seperti penulis ialah program-program induksi. Walaupun hanya sekali sahaja dipanggil seingat penulis, namun ianya memberikan satu pendedahan awal dalam diri penulis untuk menerokai bidang ini dengan lebih bersemangat lagi.


Selepas beberapa masa yang agak panjang, penulis kemudian dipanggil pula untuk menyertai program HROD di sungkai Perak. Dan kemudian dipanggil pula untuk menyertai TOT program HROD anjuran organisasi. Selepas berjaya melalui TOT, penulis akhirnya dilantik selaku fasi untuk program ini bersama mentor.

Dan penglibatan penulis dalam program ini berlangsung hampir setiap bulan dan kali terakhir dipanggil, ketua jabatan penulis telah menghalang pemergian penulis, namun penulis dengan selamba mengingkari larangan tersebut. Hal itu menyebabkan timbul sedikit konflik ringan dan akhirnya selepas itu, nama penulis sudah tidak dipanggil lagi, begitu juga dengan mentor, kem kom, kem kom misai ...

Selepas daripada itu, khidmat penulis diperlukan pula untuk mengisi program INSEP bersama dengan mentor. Sememangnya mentor inilah yang banyak menarik penulis menyertai program seumpama ini. Dalam masa yang sama, penulis juga terlibat dengan program anjuran sub organisasi untuk kecemerlangan UPSR melalui program yang memberikan kesedaran minda kepada pelajar. Program ini juga kadangkala melibatkan kem kepimpinan untuk pengawas dan sebagainya. Ianya juga melibatkan program jati diri pelajar universiti dan juga lepasan universiti.

Terdapat juga program luaran yang memerlukan khidmat penulis dan dengan sedaya upaya penulis akan cuba juga untuk memenuhinya. Kadang kala, terdapat juga beberapa program yang tidak dapat dihadiri dan ianya sesuatu yang penulis anggap satu kerugian.

Penulis juga pernah digam oleh pihak tertentu, mungkin sama seperti yang berlaku dalam pasukan HROD yang telah dikuburkan itu. Namun tempohnya agak singkat dan bersifat sementara.

Penghujung tahun 2013, selepas berkecimpung sejak tahun 2003 dengan dunia fasilitator ini, penulis masih merasakan diri ini perlu belajar lebih banya lagi. Tahun ini juga menandakan fasa akhir untuk program bersama sub organisasi. Mungkin Allah mahukan perkara itu yang ada mengandungi hikmah kepada diri penulis. 

Mungkin peranan penulis agak kecil dalam setiap program yang dilaksanakan. Namun penulis sebenarnya amat bersemangat untuk melaksanakan program seumpama itu. Kini, selepas lebih kurang hampir enam bulan tanpa program, terasa begitu kosong dan seperti apa yang telah dikumpulkan selama ini melalui pengalaman dan pembelajaran seperti terhakis dan mula hilang satu demi satu...

Sememangnya kehidupan fasi ini turun naik mengikut program. Habis satu program, bergentayangan ke mana-mana program lain yang memerlukan. Kali ini tidak tahu pula kemana akan pergi untuk meneruskan misi selaku seorang fasi...

Boleh jadi tugas selaku fasi hanya perlu dianugerahkan kepada para akademis sahaja. Tidak perlu diberi ruang dan peluang kepada pihak lain. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk diwujudkan sebuah galeri khas sekurang-kurangnya sebagai mengenang atau sebagai lokasi seqadar untuk mempamerkan aktiviti fasi sewaktu masa dahulu...

Mungkin mereka terlupa sebenarnya bahawa tugas selaku fasi adalah selaras atau sama dengan tugas selaku seorang dai. Tugas ini jugalah yang digalas oleh kekasih dan junjungan hebat, Muhammad Rasulullah SAW. Fasi bukan seqadar mencipta kebaikan serta menyeru agar beramal dengannya, tetapi juga dalam masa yang sama cuba menegur segala kemungkaran dan menghalang manusia dari mendekatinya. Fasi tidak turun menemui khalayak, tetapi selalunya khalayak yang dikumpulkan kepada mereka melalui program yang telah dirancang...



Ini bermakna bahawa setiap manusia yang gemar untuk berdakwah harus menjadi fasi tanpa perlu melihat akan kelulusan atau sijil yang berjela-jela...Sesiapa sahaja yang ada minat serta ilmu dan pengalaman mereka seharusnya bersama dalam dunia fasilitator...Kerna tugas dakwah bukan terletak di pundak agamawan semata-mata. Seperti perkataan al Imam Hassan Al basri, "Jika menunggu semua orang menjadi baik baru hendak berdakwah, nescaya tiada sesiapapun yang akan memberikan peringatan"

Mungkin juga boleh dipamerkan di bilik pameran nanti peralatan yang pernah digunakan serta gambar-gambar sepanjang aktiviti, sebelum nanti akhirnya segala yang berkaitan ditanggalkan dan disimpan terus dalam lipatan sejarah.

Hanya kepada Allah berserah...


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol