Kembara keretapi....
Sabtu 30 November seawal jam 8.30 pagi kami telah bergerak menuju ke stesen keretapi di tengah-tengah daerah dalam negeri selatan semenanjung emas untuk menyertai misi keluarga, kembara keretapi ke stesen selatan.
Peserta kembara terdiri daripada putera dan puteri-puteri, orang sebelah yang setia, bonda, adik dan juga adik ipar. Tiket yang dibeli bernilai RM98.00 untuk sekali perjalanan.
Kami memulakan perjalanan sebaik sahaja keretapi tiba di stesen sekitar jam 9.20 pagi dan perjalanan ke stesen paling selatan dijangka mengambil masa sekitar dua jam lima belas minit. Terdapat beberapa stesen yang disinggahi dan yang paling lama ialah di stesen kempas. Putera dan puteri kedua penulis menjadikan gerabak tren seolah-olah rumah sendiri. Mungkin mereka gembira dengan kembara ini.
Kami tiba di stesen destinasi sekitar jam 11.15 pagi...lebih awal dari jangkaan. Kemudian kami bergerak ke pusat membeli belah yang terhampir. Tiket untuk pulang telah dibeli lebih awal. Keretapi dijangka bertolak sekitar jam 2 petang.
Di kompleks tersebut, keadaan agak tergesa-gesa kerana mengejar masa. Hanya sempat ke kedai buku dan kemudian makan di restoran segera. Kemudian berkejar untuk menunaikan tanggungjawab kepada sang pencipta dan kemudian berlari-lari untuk menuju ke pintu masuk terminal. Keadaan stesen keretapi baru agak moden dan menghampiri keadaan di ibu kota.
Sekitar jam 2.20, keretapi bergerak menuju ke lokasi yang ditetapkan. Kali ini ianya dipandu agak laju, lebih laju dari tren semasa kami datang. Kami juga berada di gerabak yang paling akhir menyebabkan keadang-kadang terasa seperti melantun-lantun dibuatnya..
Kami tiba sekitar jam 4.00 petang dan keadaan agak mendung, mungkin kerana baru lepas hujan.
Perjalanan ini mungkin menginsafkan kita. Kehidupan kita ini saling tidak tumpah seperti menumpang di gerabak keretapi. Sejauh mana dan selama manapun kita di situ, kita tidak mungkin akan duduk selamanya di dalam tren tersebut. Kita pasti akan turun juga di stesen yang telah ditetapkan. Begitulah kehidupan kita di dunia ini. Hanya sebentar dan sementara. Pabila tiba di stesen yang telah ditetapkan dan dijanjikan, kita akan turun meninggalkan tren. Jadi mengapa kita harus terus berkhayal dan berangan untuk terus berada di lokasi sementara ini?
Ulasan