Fasi yang fasiq?
Agak janggal tajuk penulisan pada kali ini. Mungkin dunia kefasilitatoran adalah agak asing bagi kebanyakan di antara kita. Apa yang selalu kita tahu, fasi hanyalah segolongan insan terpilih yang akan menjadi penggerak untuk sesuatu program, tidak kira sama ada program berbentuk motivasi, jati diri, kursus biasa bahkan kadang-kadang hanyalah sebuah pertemuan singkat kurang dari sehari.
Jarang di antara kita yang tercebur secara serius dalam dunia fasi. Kebanyakan dari kita meskipun kadang-kadang terpalit sedikit minat untuk menabur jasa dalam permainan fasi, lebih-lebih lagi selepas 'terdera' dengan kelompok ini dalam sesuatu program, amat jarang mendapat peluang untuk menyertainya....
Fasi boleh dibahagikan kepada beberapa watak tertentu. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan fasi dalam sesuatu program hanya sebagai pelakon untuk menjayakan sebuah sandiwara yang telah dirancang dari awal untuk mencapai sesuatu objektif program.
Kita akui tidak semua fasi mempunyai latar belakang yang sempurna. Benarlah bahawa tiada manusia yang mencapai kesempurnaan. Apabila disebut sebagai insan, maka banyaklah terpalit kekurangan demi kelemahan. Namun ianya bukan suatu penghalang untuk menjadi manusia yang boleh mendorong orang lain supaya menjadi terlanjur berjaya. Ada kalanya, anak didik seorang fasi itu menjadi lebih berjaya dari fasi itu sendiri...
Walau pun begitu, kita seharusnya berawas atau berwaspada dengan kehadiran fasi yang wujud hanya semata bernawaitu untuk mendera ataupun hanya untuk memenuhi undangan bagi mendapat sedikit upah murahan. Ada fasi yang wujud hanya seronok untuk melihat peserta terdera. Maka dicipta pelbagai helah dan tipudaya yang diwarnakan sebagai 'permainan' kununnya untuk menguji ketahanan para peserta namun sebenarnya hanya untuk berserunuk semata-mata.
Maka dengan kemunculan fasi seumpama ini ditengah-tengah sesuatu program, ataupun ditengah-tengah satu pasukan fasi, akan boleh menjerumuskan keseluruhan peserta bahkan program ke arah kegagalan walaupun pada zahirnya kelihatan seolah-olah beroleh kejayaan.
Oleh itu tidak hairanlah jika sesuatu program yang dianjurkan yang memakan masa yang agak panjang, tetapi hasilnya adalah amat mengecewakan. Peserta mungkin pulang dan kemudian dapat menghayati ilmu dan pengalaman dalam kadar masa yang sangat singkat. Kemudian mereka mengulangi perangai atau tingkah laku biasa mereka yang negatif...
Namun apabila sesebuah program diisi dengan aktiviti yang diperhalusi dan dihayati sepenuhnya oleh para fasi yang mukhlis yang tiada sebarang nawaitu untuk mendera, tetapi semata-mata untuk mengajar dan dalam masa yang sama turut belajar juga dari peserta, agar beroleh hidayah dan redha Allah maka kita akan dapat melihat wujudnya perubahan yang istiqamah dari kalangan peserta walaupun tidak secara keseluruhan, tetapi akan wujud individu-individu yang tampil berwajah ikhlas menginsafi perilaku diri yang jelek serta berusaha untuk berubah ke arah yang lebih bermaruah...
Adalah sesuatu yang amat menjengkelkan apabila dalam sesuatu program misalnya, sang fasi beriya-iya berkhutbah dan berkempen mengenai kebobrokan perilaku seperti kerap keluar pejabat untuk minum diluar,tetapi sikap itu dibudayakan oleh fasi itu sendiri...
Contoh paling ketara tatkala program berlangsung, fasi juga yang begitu giat mempromosi kepentingan solat berjamaah, menyeru agar semua gerak kerja dan aktiviti dibuat atas nama jamaah dan sebagainya, namun semasa acara solat berjamaah berlangsung, tidak semua fasi yang ada akan dapat hadir sedangkan kem komandan pula kelihatan begitu beriya-iya membuat penguatkuasaan terhadap kehadiran solat berjamaah..
Fasi sebenarnya terdedah dengan ancaman Allah sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis mengenai lelaki yang mana tali perutnya terburai dan terikat pada sebatang tiang di dalam neraka manakala lelaki itu berjalan mengelilingi tiang itu seperti keldai yang berjalan mengelilingi batu penggiling gandum. Penduduk neraka lantas bertanya, " bukankah tuan dahulu seorang yang kami kenali sebagai seorang yang sering menyeru kami berbuat kebaikan dan menghalang kami dari melakukan kejahatan?"
Lelaki itu menjawab, " Ya benar sekali"
Ahli neraka bertanya lagi kehairanan, " Lantas mengapa anda berkeadaan begini?"
Maka jawabnya, " aku dahulu hanya sibuk mengingatkan orang lain, sedangkan aku tidakpun mengikuti apa yang aku ungkapkan ( cakap tak serupa bikin)" hadis ini direkodkan oleh Imam Muslim.
Benarlah akan ungkapan pak din, salah seorang guru kami semasa di kem sungkai, "CAKAP BUAT"
Ianya ringkas tetapi amat padat. Fasi perlu mempraktikkan bahkan membudayakan apa sahaja yang disampaikan serta meninggalkan segala apa yang ia tegah dari dilakukan oleh para peserta yang sebenarnya merupakan muridnya.
Amatlah malang sekali apabila wujud dikalangan fasi yang menyertai sesuatu program hanya semata buat mendapatkan sesuap nasi yang bakal terselit di celahan gigi sahaja. Namun perlu juga diingat, ini bukanlah bermakna sang fasi ini langsung tidak layak menerima sebarang pembayaran. Janganlah pula kita selaku pelaksana begitu berkira dan sombong dengan para fasi yang selama ini mukhlis, tetapi kita berprasangka mereka ini hanya inginkan upahan semata-mata!!
Moga-moga para fasi di seluruh dunia terhindar dari menjadi fasiq....
Ulasan