Polis Syariah : Hanya menangkap bukan mencegah?


Polis syariah, atau yang biasa kita kenali sebagai penguatkuasa agama sering menjelmakan dirinya pada waktu malam dalam operasi cegah maksiat di serata ceruk hotel (lokasi utama) dan sering jua memaparkan kisah-kisah kejayaan mereka di dada-dada akhbar sebagai salah satu kisah sensasi yang berjaya menarik bacaan khalayak dan melariskan jualan harian mereka.


Selaku salah seorang pembaca akhbar percuma di warung pojok, tentunya mata kita akan lebih tertarik untuk membaca kisah tangkapan khalwat bersama cebisan gambar yang memaparkan tubuh badan yang ditangkap walaupun tidak secara jelas.

Kejayaan pihak polis syariah membanteras pelakuan khalwat khususnya adalah amat memberangsangkan dengan hasil tangkapan yang agak lumayan di setiap operasi yang dilaksanakan.  

Setiap kali berjalan di bandar, ataupun makan di mana-mana restoran makanan segera, kita akan bertemu dengan pasangan yang nyata bukan mahram makan bersama tanpa sesiapa pun yang mahu memandang serong pada perlakuan mereka. Mungkin dek kerana telah terbiasa, maka kita masyarakat awam muslim memandang perkara ini sebagai perkara biasa sahaja, walhal dalam nurani kecil kita mungkin terdetik, mereka ini dah kahwin ke belum...

Sehingga ayat-ayat ini ditaip, kita tidak pernah mendengar di mana-mana media massa ataupun hikayat yang menceritakan mengenai tindakan polis syariah ini menghalang atau memberikan amaran kepada muda mudi yang asyik mahsyuk bercinta yang mana kebanyakan mereka memulakan aksi di kedai-kedai makan..Cuba kita bayangkan polis syariah ini mendatangi setiap meja makan yang disyaki untuk bertanyakan status perkahwinan pasangan yang disyaki...sudah barang pasti mereka yang tiada sebarang hubungan yang sah akan terus dihalau atau diberikan amaran keras tanpa perlu menunggu mereka naik menyewa kemana-mana rumah tumpangan murahan untuk meneruskan agenda pemenuhan syahwat mereka..Maka tugasan polis syariah menjadi lebih mudah dan tentunya tugasan amal maaruf nahi munkar semakin menepati falsafah sebagaimana yang disyariatkan di dalam kitabullah dan sunnah rasul SAW...




Kita kerap tertanya-tanya sebenarnya kemana arah tujuan sebenar polis syariah ini? Adakah bidang kuasa dan kehendak orang atasan mereka yang sudah semestinya terdiri daripada para penguasa agama mahu mereka hanya menangkap pasangan yang sedang asyik berasrama semata-mata, hingga terpaksa membuat intaian terlebih dahulu hingga kadangkala selepas si pelaku 'sendawa kekeyangan' baru hendak memecah masuk agar bukti menjadi jelas ataukah penfasiran sebenar amal maaruf nahi munkar ialah pencegahan sedari awal?



Jika dalam bab pencegahan demam denggi, ianya dibuat lebih awal dengan membuat semburan, membuat tinjauan terhadap takungan air untuk mencegah nyamuk dari bertelur. Tiada pula pihak penguatkuasa kesihatan menunggu nyamuk menggigit barulah hendak dihalang nyamuk itu dari menghisap darah dengan menampar nyamuk yang baru mendarat...tetapi dalam bab pencegahan maksiat, kita hanya menunggu muda mudi bermalam barulah hendak ditangkap, setelah meneguk arak baru hendak didakwa...mengapa tidak dibenteras lebih awal dengan menghalang terus apa jua keadaan yang boleh merangsang mereka untuk mendekati pasangan berlainan jenis serta mendekati arak?

Adakah kadang-kadang mereka hanya terfikir untuk menjadi wira di dada akhbar semata-mata? 

Wallahu a'lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol