Tanda kiamat - semakin mendekat...


Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, baginda bersabda: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api". (riwayat Tarmizi)


Maka dikatakan itulah yang sedang kita hadapi kini. Tidak sempat hendak menghitung hari yang mendatang, tiba-tiba dikejutkan dengan kedatangan tahun baru 2014. Terasa seolah-olah baru sahaja meraikan tahun baru 2013.

Pada masa kehidupan zaman datuk dan nenek kita dahulu, manusia adalah amat prihatin dengan masa. Dek kerana ketiadaan sebarang peralatan elektrik yang mampu menerangi kegelapan malam dengan neon serta menemani kesunyian malam dengan televisyen ataupun sebarang gajet, maka mereka akan benar-benar menepati kehendak Allah sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam al quran

6:96

Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. Al An'Am : 96

Mereka ini bekerja di waktu siang dan pabila mentari mula tenggelam, mereka akan mempergunakannya untuk berehat. Oleh kerana itu mereka ada masa yang cukup untuk bersama keluarga, membangunkan keluarga, membuat aktiviti bersama rakan dan sebagainya, manakala malam adalah untuk berehat. Maka mereka ini ada mendapat keberkatan masa dan pengalaman masa yang panjang.


Berbeza dengan manusia moden yang senantiasa sibuk. Apabila berlakunya evolusi perindustrian, pelbagai peralatan tercipta termasuk mentol dan segala macam alat elektrik. Manusia senantiasa sibuk bekerja tanpa mengira siang ataupun malam. Ini kerana waktu malam mereka sudah disinari dengan cahaya lampu begemerlapan serta gajet yang setia menemani hatta ketika sudah berada di tempat tidur sekalipun hingga memaksa mereka tidur agak lewat ...


Oleh kerana itu masa terasa begitu singkat. Keluar rumah sebelum terbit mentari, kemudian pulang ke rumah setelah mentari terbenam bahkan kadang-kadang hingga ke dinihari...

Oleh kerana itu, pabila segala maklumat sudah di hujung jari, mereka tidak terasa lagi akan peredaran zaman dan juga masa. Bagi mereka sama sahaja siang ataupun malam. Tahu-tahu sudah berada di tahun baru. Bimbang juga nanti, tahu-tahu sudah berada di alam yang baru (alam barzakh!!)

Maka benarlah akan sabdaan junjungan Muhammad Rasulullah SAW. Masa semakin singkat...kiamat semakin mendekat .. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol