Berarak menuju keredhaan Allah dan Rasul....

Menjelang waktu Dhuha pagi khamis yang cerah dalam musim kemarau yang semakin menjalar di bumi semenanjung emas, berlaku sambutan maulid di organisasi. Meskipun rabiul awwal telah berlalu agak jauh, namun kehangatan sambutannya masih terasa khususnya di hujung selatan semenanjung ini. Ia sudah membudaya dan berakar umbi dalam masyarakat muslim di hujung benua ini sejak sekian lama.

Acara bermula dengan perhimpunan dan kemudian berarak ke jame menara nan sebatang. Sambil berarak setiap kumpulan mendendangkan selawat dan sebagainya bagi memuji-muji akan Rasul. Tentu pemikir seperti Kassim Ahmad dan sahabat-sahabatnya agak jengkel dengan perarakan seumpama ini...

Setiap kumpulan akan dinilai dan diberi markah berdasarkan keseragaman, alunan selawat dan sebagainya. Rupanya ada pertandingan yang berlaku. Maka setiap kumpulan bagai berlumba untuk mempamerkan kehebatan kumpulan masing-masing...



Apabila tiba di tapak masjid, kesemua kumpulan pun berhimpun dan bersurai. Di dalam masjid diadakan ceramah oleh ulama yang dijemput. Antara isi ceramah ialah memuji acara perarakan yang dikatakan suatu sunnah dengan mengikut apa yang dilakukan oleh penduduk Madinah tatkala mereka menyambut kehadiran Rasulullah SAW tatkala baginda tiba dari Makkah semasa peristiwa hijrah.

Apa yang menarik untuk dikomentarkan ialah, pabila ceramah bermula, hampir 2/3 daripada peserta perarakan tidak kelihatan. Ini bermakna mereka enggan untuk mendengar ceramah. Mungkin atas pelbagai alasan seperti kepenatan, atau ada tugasan yang perlu dilakukan di pejabat.

Perarakan yang dibuat adakah benar-benar ikhlas untuk memuliakan dan mengangungkan Rasulullah SAW atau sekadar untuk memenuhi arahan atau seqadar untuk memenangi pertandingan yang berlangsung untuk meraih sejumlah wang?

Dan perarakan yang bercampur antara lelaki dan perempuan dalam satu kontinjen bukankah ianya sesuatu yang dilarang agama atau diambil hukum seperti tawaf di kaabah?

Mungkin pihak pendukung dan penguasa agama begitu bermati-matian untuk mempertahankan sambutan maulid yang dilaksanakan saban tahun tapi pernahkah mereka terfikir untuk menilai kembali kesan atau implikasi selepas sambutan? Pernahkah para ulama yang makan gaji dengan kerajaan selama ini membuat penyelidikan mengenai sambutan ini dan kalau ada, pernahkah hasil penyelidikan itu diterbitkan untuk bacaan setiap muslim?

Pihak yang kununnya memperjuangkan Rasulullah SAW ini dengan mempertahankan acara sambutan tahunan akan begitu marah dan menyerang sesiapa sahaja yang cuba mempertikaian sambutan ini dan dengan mudah dan bersahaja melabelkan mereka sebagai wahabi..

Namun tiada sebarang tindakan yang mampu dibuat untuk menjustifikasikan amalan tersebut agar terus diterima di tengah masyarakat sebagai satu amalan yang mendekatkan umat kepada sunnah. 

Selepas acara ini dibuat beberapa tahun, apakah kesedaran dan penghayatan manusia terhadap sunnah semakin tinggi atau semakin merundum? Adakah para penguasa yang biasanya bersandar kepada para ulama upahan ini berubah kepada lebih menyanyangi sunnah Rasul atau sebaliknya semakin berani menolak dan melawan arahan Rasul SAW?

Sayang sekali kerana kini acara sambutan ini semakin hilang rohnya dan hanya menjadi satu adat istiadat rasmi dalam negara Islam yang amat dihormati di kalangan rakan-rakannya ini. Ianya semakin jauh dari penghayatan apalagi pembudayaan para pengamalnya yang begitu istiqamah melaksanakannya saban tahun...

Kepada para pelajar, penyelidik, ulama, pensyarah bahkan profesor pengajian Islam, bilakah masanya penyelidikan untuk menyemarakkan lagi pengangungan terhadap individu berprofil tinggi dalam Islam ini akan dibuat dengan lebih serius?

Jika benar ianya memberi kesan, mengapa saban tahun yang masuk mendengar ceramah hanya muka yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya? Atau adakah ianya satu boikot dari pihak tertentu yang sudah jelak dengan kehadiran penceramah picisan yang kadangkala tidak pernah dikenali oleh umum dan hanya berkisah seperti serang penglipur lara? Adakah salah menjemput  penceramah yang bisa menarik khalayak dengan mengenepikan soal politik ? Itu juga satu kesilapan umum penganjur majlis maulid yang terlalu ketat membuat tapisan penceramah tetapi amat longgar dalam menapis penghibur bagi majlis konsert yang melibatkan wang beribu kali lebih banyak berbanding ulama yang tersohor?

wallahu a'lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol