Hanya kesedihan
Sabtu 15 Februari adalah tarikh permulaan sebuah kedukaan panjang yang tiada penyembuhnya buat sepanjang hayat. Tatkala menjengah ke bilik bonda sekitar jam 6.00 pagi beliau baru selesai mengambil wudhuk untuk menyempurnakan solat Subuh. Berkebetulan isteri bersekolah pada Sabtu ini untuk sekolah ganti..
"Kamu hantar ke sekolah ke?"
" dia pergi sendiri"
Dan kemudian penulis kembali masuk ke rumah di sebelah. Rupanya itulah perbualan terakhir kami.
Sekitar jam 8 pagi tatkala mata hendak terlelap buat seketika, adik membuat ketukan di muka pintu dengan suara yang kedengaran agak cemas...
"Bonda tak sedar..."
Penulis segera masuk kerumah dan mendapati bonda terbaring di atas tilam di bahagian bawah katil beliau dalam keadaan tidak sedar. Cuba untuk dikejutkan tetapi tidak ada respon. Mata terbuka di bahagian sebelah kanan dan nafas turun naik kedengaran seperti sedang berdengkur...
"Cepat call ambulan...." Dan penulis segera ke sebelah untuk mandi dan bersiap dengan pantas. Jiran di rumah hadapan segera dipanggil.
"emak kau ni ada kencing manis tak?"
"Ada..."
" ntah-ntah dia kekurangan gula tak?"
Beberapa minit kemudian ambulan tiba meskipun dalam tempoh yang boleh dianggap lambat. Setelah dibuat pemeriksaan, bonda dikatakan terkena strok dengan bacaan tekanan darah tinggi hingga 200bp.
Penulis menyertai ambulan menuju ke hospital. Dalam perjalanan membuat panggilan kepada makcik di KL...
Setibanya di halaman hospital, bonda dimasukkan ke unit rawatan rapi. Selepas beberapa minit dimaklumkan bahawa beliau perlu discan di bahagian kepala.
Selepas beberapa jam, doktor memaklumkan bahawa bonda perlu di bawa ke hospital besar untuk pembedahan bagi mengeluarkan cecair dan juga darah beku dari kepala.
Perjalanan ke hospital besar bermula sekitar jam 12 tengahari dan kami tiba sekitar jam 3 petang. Bonda kemudian dibawa ke wad HDU dan keadaan masih sama dan kritikal menurut makluman doktor di hospital daerah.
Selepas beberapa ketika, saudara mara dan jiran mula melawat. Menjelang malam, penulis bermalam di rumah sepupu.
Sekitar jam 2.30 pagi, pihak hospital menelefon mengatakan bahawa pembedahan akan dilakukan. Penulis dan isteri bergegas ke hospital. Pembedahan berjaya dibuat dan bonda keluar dari dewan bedah sekitar jam 3.45 pagi...
Keesokkan harinya, penulis melawat bonda di wad semalam dan keadaannya agak memuaskan kerana ada sedikit gerakan pada tangan, kaki dan sesekali cuba membuka mata.
Keadaan bonda selepas itu tidak banyak perubahan. Menjelang hari khamis, keadaan masih tidak berubah namun beliau telah dipindahkan ke wad biasa dalam keadaan tidak memakai alat bantuan pernafasan lagi. Menurut doktor, keadaannya adalah stabil cuma tekanan darah beliau agak kurang stabil.
Beliau berjaya di bawa kembali ke hospital daerah pada pagi jumaat. Keadaan beliau dilaporkan stabil tanpa sebarang alat bantuan pernafasan atau kemasukan air ke badan. Tangan beliau membengkak di kiri dan kanan.
Sekitar jam 4 pagi sabtu, seminggu selepas beliau koma, satu panggilan hinggap di hp penulis dan ianya dari hospital daerah. Berdebar dada penulis menerima panggilan tersebut. Di hujunga talian dinyatakan bahawa bonda sedang tenat dan penulis diminta segera ke hospital.
Panggilan itu cukup menyebabkan tangan dan kaki menggigil. Bertemankan isteri, segera memandu ke hospital...
Setibanya di sana kelihatan doktor dan petugas sedang membantu bonda. Sekitar jam 5 pagi doktor memaklumkan bahawa bonda telah tiada. Seluruh tubuh terasa longlai dan dunia terasa gelap dan kosong!!
Urusan tajhiz kemudiannya dilaksanakan dengan menghubungi pihak swasta. Sayang sekali kerana pihak hospital tiada kepakaran untuk pengurusan jenazah di hospital. Pejabat penguasa agama boleh dihubungi tetapi memandangkan hujung minggu, ada kemungkinan akan berlaku kelewatan.
Maka mahu tidak mahu penulis menghubungi piahk swasta. Alhamdulilla mereka boleh datang dan dengan pantas telah berada di perkarangan hospital.
Jenazah di bawa ke masjid berhampiran yang merupakan pusat pengurusan jenazah swasta. Penulis dan isteri membantu menyelesaikan soal mandi dan kafan bersama dua orang petugas sedia ada.
Setelah siap dikafan, jenazah dibawa kembali ke kediaman. Bacaan tahlil pertama dibuat bersama bacaan yassin. Kemudian jiran tetangga mula memenuhi ruang rumah termasuk sanak saudara. Semakin lama semakin ramai yang hadir. Jenazah bonda diletakkan di bahagian hadapan ruang tamu rumah,sama dengan lokasi letak jenazah arwah ayahanda kira-kira kira-kira 17 tahun lepas...
Sekitar jam 9.30 pagi, kereta jenazah kembali untuk membawa jenazah bonda ke pemakaman terakhir. Ini merupakan perjalanan akhir bonda. Solat jenazah diselesaikan dengan bantuan pengurus jenazah dan kemudian ia dibuka untuk dilihat dan dicium oleh ahli keluarga terdekat.
Sekitar jam 9.45, perjalanan akhir bonda bermula. Tiba di tanah perkuburan sekitar jam 10 pagi. Panas terik mentari pagi sudah tidak terasa lagi. Bahang kesedihan di dalam dada lebih menyesakkan diri. Sementara menunggu adik yang baru tiba dari kl, liang kubur diperlokkan oleh sang penggali.
Kemudian, jenazah dikeluarkan dari kenderaan dan diletakkan di tepi liang. Kemudian, setelah adik tiba dan menatap wajah bonda buat kali terakhir, ianya kemudian dimasukkan ke dalam liang dan kemudian ditutup dengan papan. Tanah dipunggah dan akhirnya dua nisan dicacak sebagai tanda...
Talkin dibaca dan kemudian hadirin bersurai...tinggallah bonda di kediaman baru. Moga bonda tenang dan damai di sana. Moga bonda mendapat keampunan dan peluasan kubur sesatup mata memandang. Moga bonda mendapat layanan first class dari para malaikat. Moga bonda dianugerahkan keampunanNya. Kenangan bersama selama hampir 40 tahun tidak akan mudah sirna begitu sahaja. Ianya akan tetap terpahat kuat dalam ingatan selagi hayat dikandung badan. Kita kita bertemu lagi di syurga kelak bonda, dengan izin dan rahmat dariNya....
Ulasan