Hujung minggu semakin tenang
Ya..hujung minggu tiba lagi. Jika pada tahun lepas, hujung minggu kita adalah Sabtu dan Ahad. Kini negeri di hujung benua asia ini kembali bercuti pada Jumaat dan Sabtu, mengulangi apa yang pernah berlaku beberapa dekad sebelum ini.
Ternyata hujung minggu Jumaat dan Sabtu terlalu besar hikmahnya. Terpulanglah kepada pandangan individu. Bagi penulis, Jumaat sebagai hari cuti hujung minggu sangat bermakna. Kita mampu bersedia dengan lebih baik untuk menghadapi solat Jumaat. Tidak perlu berasak-asak atau terkejar-kejar ke masjid dalam keadaan memakai pakaian kerja. Sempat untuk mandi sunat Jumaat sejurus sebelum melangkah ke masjid, tidak seperti dulu yang terpaksa mengawalkan mandi sunat sebelum pergi bekerja. Nawaitu keluar bekerja pada pagi Jumaat, meskipun sudah selesai mandi sunat, terasa amat berlainan dengan nawaitu keluar ke masjid untuk iktikaf pada hari Jumaat sejurus selepas menikmati mandi sunat...
Ketenangan ini semakin menyeluruh pabila hujung minggu penulis tidak lagi 'terganggu' dengan aktiviti bersama orang lain, atau dengan kata lain aktiviti yang kununnya untuk mengislah insan lain. Kalau pada tahun-tahun sebelumnya, hampir setiap minggu, kalaupun tidak hampir setiap bulan pasti ada sahaja aktiviti seumpama ini yang akan serta bakal dilalui oleh penulis, tetapi mulai tahun ini tidak lagi. Penulis dikurniakan Allah masa yang agak panjang untuk bersama keluarga. Mungkin ini sebenarnya satu isyarat agar menumpukan kepada pentarbiahan keluarga berbanding sibuk dengan orang lain yang tidak tentu arah tujuan...
Namun bukanlah satu sesalan pabila menyertai program seumpama itu. Ianya adalah sesuatu yang hampir mendarah daging dalam tubuh penulis. Tetapi mungkin disebabkan beberapa perkara yang agak kurang disenangi oleh segelintir pihak, maka tiadalah lagi tercatat nama penulis dalam siri aktiviti mereka...
Mungkin kadangkala timbul kekesalan, kesedihan dan ada kalanya kegeraman bila kita tidak lagi mendapat tempat di hati pemilih. Ya...sama seumpama program awal diceburi penulis. Pada tahap ini, penulis perlu banyak bermuhasabah. Apakah sebenarnya yang tidak kena dengan diri penulis selama ini. Mungkin persembahan penulis dalam setiap program dilihat tidak memberangsangkan dan menjelekkan bahkan kadang-kadang menjengkelkan .. maka tibalah masanya untuk terus muhasabah dan mengundur diri buat selama-lamanya.
Masanya telah tiba untuk mengutip segala pengalaman, ilmu, program yang pernah dihadiri untuk dimuatkan dalam sebuah buku, atau disimpan rapi dalam kotak fikiran sehingga menemui sang pencipta? Tentu seronok kalau segala aktiviti dan modul yang pernah dijalani ditulis untuk tatapan umum serta dikongsikan dengan seluruh masyarakat... Tidak timbul soal saman menyaman kerana modul yang pernah dilaksanakan dan dirangka tidak pernah didaftarkan ke mana-mana badan yang berautoriti mengawalnya...
Atau sudah tiba masa untuk berehat panjang di hujung minggu, sambil cuba membuang sejauh-jauhnya segala ingatan berkaitan aktiviti silam, membuang segala kesilapan, kealpaan dan ketidak sengajaan yang kadang-kadang senghaja diada-adakan kunun atas dasar modul, tetapi kebanyakan hanya tipu muslihat semata-mata?
Selamat berhujung minggu sahabat... teruskan perjuangan selagi masih diperlukan..selamat berehat juga kepada sahabat...sedarlah, masanya untuk berundur telah tiba kini....
Ulasan