Sekali lagi menjadi kaku...
Berada di pejabat baru meskipun telah berkhidmat lama di organisasi yang sama, pasti akan menampakkan sedikit kecanggungan. Walaupun boleh dikatakan 70 peratus rakan baru yang berada di pejabat baru adalah dari kalangan yang pernah dikenali, namun rasa kekok dan agak janggal tetap menerpa di minda.
Apatah lagi bidang tugas yang disuguhkan jauh berbeza daripada yang biasa ataupun yang pernah dibiasakan. Maka jadilah penumpang baru ini semakin terkial-kial untuk cuba mengikut arus. Mungkin bagi rakan yang menerima bagi mereka sama sahaja. Tiada sebarang masalah. Boleh jadi perasaan sendiri yang terikut-ikut...
Mungkin akan memakan sedikit masa. Bagi penulis, tempoh sebulan awal ini penting bagi kita mempamerkan imej diri serta menjual atau mempromosi diri di tengah laman masyarakat baru yang secara senghaja ataupun tidak, sebenarnya cuba memerhati dan menganalisis diri kita. Mungkin mereka pernah mendengar tentang kita jauh sebulan lebih awal dari tarikh kita muncul buat pertama kali di muka pintu pejabat baru. Apabila kita sudah mula berada ditengah-tengah mereka, ada segelintir yang buat seperti biasa. Ada yang sudah mengklasifikasikan kita. Namun ada yang akan memerlukan sedikit masa...
Apa yang penting, bagaimana dengan pandangan Tuhan terhadap kita? Adakah dengan wujudnya kita di pejabat baru boleh menambah manfaat atau sebaliknya? Mampukah kita mengungguli kecemerlangan jauh lebih berkualiti dan penuh wawasan berbanding dahulu? Jangan terlalu memikirkan penilaian manusia. Burulah pandangan Allah...
Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih
Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir tumpuan manusia
Utamakanlah pandangan Allah
Daripada pandangan manusia...
Ulasan