Air oh air


Keadaan krisis air di hujung semenanjung emas kedengaran semakin meruncing. Ironinya, masalah tersebut lebih tertumpu di kawasan tengah hujung semenanjung. Dengan memiliki lapan empangan air yang kian menyusut, pihak penguasa dan pengurus bekalan air di kawasan tersebut telah menguatkuasakan catuan bekalan air berjadual yang lebih ketat. Jika pada Februari bekalan dicatu selama 24 jam, kini ianya dicatu selama 48 jam mulai Mac hingga akhir bulan. Adakah menjelang April, catuan akan lebih diperketatkan lagi?




Apakah kita memang menuju kepada krisis air terbesar dalam sejarah semenanjung emas moden? Bayangkan jika Allah tidak menurunkan hujan selama setengah tahun. Ini bermakna hujan akan mula turun mulai bulan ogos, selepas melalui bulan syawal dan juga ramadhan. Adakah pihak berkuasa atas penjagaan air hanya melihat dan pasrah sahaja membiarkan hampir 150,000 penduduk kawasan tengah ini menderita ketiadaan air?

Adalah sesuatu yang agak pelek pabila catuan ini hanya dikenakan di daerah tengah hujung semenanjung semata-mata, berbanding daerah lain dalam wilayah yang sama. Daerah berjiran masih lagi stabil bekalan air mereka. Hanya daerah tengah sahaja. Diulang sekali lagi, setakat ini hanya daerah tengah sahaja yang dicatu.



Apakah masalah ini disebabkan oleh salah urus ataukah kita memang tidak mampu mengurus, hatta mengenai bekalan air sekalipun? Tidak pernahkah pihak pengurusan air memikirkan langkah-langkah yang akan diambil sekiranya berlaku krisis seumpama ini. Jika mengikut rekod, hampir setiap tahun catuan air akan melanda daerah tengah wilayah ini. Namun difahamkan pada tahun ini agak lebih kritikal dek kerana pertambahan penduduk dan kekurangan air..

Penulis masih ingat beberapa tahun lepas seorang pemimpin agung ada berkunjung ke daerah ini dan menjanjikan pembinaan sebuah empangan guna untuk menebat banjir. Secara tidak langsung, sudah barang pasti ianya juga dapat menampung bekalan air...tapi hingga ke saat ini janji masih lagi tinggal janji...

Semakin pelek apabila para ulama yang menganjurkan solat istisqa melaksanakannya tanpa menoleh sedalam-dalamnya terhadap sunnah. Ada masjid yang mengadakan solat istisqa di dalam masjid selepas solat jumaat tanpa ada khutbah selepasnya sedangkan dalam sunnah disebutkan bahawa Nabi SAW pernah mengerjakan solat istisqa dan kemudian membacakan khutbah menyeru agar jamaah bertaubat. Ada masjid yang mengadakan solat sunat hajat sebaik selepas solat jumaat memohon agar diturunkan hujan.

Terdapat juga masjid yang menganjurkan soat istisqa di padang, namun jamaah yang hadir tidak seperti yang diharapkan, bahkan terpaksa diimport pula dari pelajar agama dari sekolah tahfiz berhampiran....

Dan sehingga tulisan ini ditaip, hujan masih belum turun ke bumi yang semakin kering ini....




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol