Berakhirnya kisah seorang Anwar
Selepas nasib DSAI ditentukan pada perbicaraan liwat II, lewat senja beberapa hari sebelum penamaan calon PRK Kajang, beberapa pihak mula melihat bahawa ianya merupakan titik pengakhiran karier politik beliau.
Mungkin ada di antara para pendukung beliau yang begitu teruja untuk memperjuangkan nasib beliau. Apatah lagi beberapa hari kemudian beliau telah mengisytiharkan reformasi 2.0. Seolah negara separa aman ini akan digegarkan lagi dengan tindakan himpunan sejuta umat sebagaimana yang pernah berlaku pada 1998, ataupun lebih hebat sebagaimana perhimpunan merah di ibukota thailand...
Apabila berita kehilangan pesawat MHS743 menyelubungi media massa sehari selepas itu, berita mengenai DSAI hampir lenyap di mana-mana akhbar utama. Begitu juga nasibnya dengan hari pencalonan di DUN Kajang.
Persoalannya, adakah pakej percutian lima tahun DSAI dari arena politik negara ini akan memberikan impak yang lebih besar terhadap gerakan pembangkang atau semakin melemahkan pakatan?
Umum mengetahui apabila DSAI dipecat selaku TPM pada 1998, reformasi telah dilancarkan dan pada waktu itu sebahagian besar rakyat menjangkakan kerajaan sedia ada bakal tumbang. Namun segalanya meleset. Apabila DSAI ditangkap dan dipukul di dalam lokap dan seterusnya disabitkan dengan kesalahan liwat, pihak pembangkang sebenarnya mula melumpuh.
Buktinya boleh dilihat dalam pilihanraya 1999 dimana kerajaan BN masih utuh dan bergaya di puncak kuasa. Meskipun pembangkang begitu yakin bahawa rakyat sudah beralih kepada mereka, namun ianya ternyata hanyalah sebuah retorik murahan yang diulang siaran di dalam akhbar milik mereka. Mereka hanya berjaya merampas Terengganu dan terus berkuasa di Kota Bahru.
Pilihanraya 2004 menyaksikan kemenangan besar BN dan dikatakan ianya merupakan kemenangan paling besar yang pernah dikecapi sejak ditubuhkan. Dibawah pimpinan anak kepada seorang ulama, Tun Abdullah bin Ahmad Badawi ternyata berjaya menjauhkan pembangkang dari puncak kuasa yang diidamkan oleh mereka, hinggakan serambi Madinah kembali ke pangkuan BN manakala serambi Makkah hampir jatuh ketangan mereka.
Apabila DSAI dibebaskan dari penjara dalam zaman Tun Abdullah, pembangkang seolah-olah mendapat nafas baru. Bagaikan malaikat yang diturunkan dari langit, DSAI telah mempesonakan rakan-rakan pembangkang dan berjaya mengagaskan Pakatan Rakyat, jenama baru pembangkang yang dianggotai oleh tiga parti terbesar pembangkang. Dengan menggabung idea sosialis, islamis dan anti kezaliman, PR mula menggerakkan jentera mereka dan berjaya mengurangkan dengan banyak undi rakyat terhadap BN dan seterusnya menambahkan kerusi pembangkang di parlimen pada pilihanraya 2009, menawan Kedah dan Selangor serta menyebabkan Che Det serta sekutunya berpakat menurunkan Tun Abdullah dari kerusi empuk PM.
2013 menyaksikan penambahan peratusan undi yang besar terhadap pembangkang meskipun mereka masih gagal menawan Putrajaya. Dengungan penipuan dan penyelewengan oleh SPR kelihatan masih belum mampu menambat hati majoriti rakyat untuk merubah kerajaan.
Makanya, apabila DSAI kembali dihantar ke percutian, ada kemungkinan pihak pembangkang akan mula menemui jalan buntu. Tanpa nasihat dan tunjuk ajar serta karisma seorang pemimpin yang hebat, PR dilihat akan kehilangan kemudi untuk menghadapi PRU ke 14 kelak.
Kejayaan di Kajang tempohari tidak boleh dilihat sebagai satu petunjuk lorong ke Putrajaya semakin terbuka luas. DSAI masih ada di sisi. Batang tubuh dan suara beliau masih boleh dilihat oleh para pengundi. Keputusan yang dibuat oleh mahkamah tempohari masih hangat dan bisa membeli simpati pengundi. Dengan hanya 70% sahaja yang keluar mengundi, ianya mungkin satu isyarat jelas wujudnya sabotaj dari kalangan sahabat PR sendiri, dan kita sendiri tahu mengenai parti Islam yang awal-awal sudah menunjukkan reaksi kurang senang terhadap perletakkan jawatan ADUN Kajang untuk memberi laluan kepada DSAI.
Kita semua faham bahawa Tun M pernah mengungkapkan kalimah keramat, Melayu Mudah Lupa. Apakah makna yang tersirat disebalik ungkapan itu? Pada pandangan penulis, Tun M amat memahami jiwa orang Melayu yang sememangnya cepat melupakan perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Tun M faham semangat orang Melayu juga cepat sejuk dan meluntur jika kita membuatkan mereka lupa. Orang melayu juga merupakan bangsa yang lembut dan pemaaf. Apabila DSAI berjaya dicutikan dari politik, BN telah mendapat keuntungan besar pada 1999 dan 2004. Ini menunjukkan mereka telah mula lupa terhadap apa yang berlaku pada 1998. Apabila tokoh ini kembali dari pakej percutian Sungai Buluh pada zaman Tun Abdullah, landskap politik negara mula berubah.
Maka apabila DSAI dicutikan semula nanti, ada kemungkinan sokongan padu bangsa Melayu kembali kepada BN semula pabila mereka mula melupakan kewujudan insan bernama Anwar. Meskipun cubaan awal untuk melancarkan reformasi 2.0 telah dimulakan dan dicetuskan, namun sifat melayu yang sangat menebal akan kelupaannya akan mampu menyelubungi gerakan reformasi 2.0.
Oleh yang demikian, pada pandangan penulis, ada kemungkinan PR akan semakin longgar dek kerana ketiadaan sang pengasasnya yang juga merupakan ikon terpenting perjuangan rakyat marhain. Sememangnya bahang atau bara reformasi akan kembali menghangatkan arena politik negara namun ianya akan segera padam sebaik sahaja api pembakarnya direhatkan selama lima tahun.
Apabila dilihat kepada kecenderungan sebahagian pendukung parti Islam yang condong kepada Kerajaan Perpaduan, khususnya selepas kita melihat geraklaku mereka serta komen pimpinan mereka apabila berlakunya Kajang Move, ada kemungkinan akan wujud pecahan undi jika pilihanraya umum diadakan di kalangan pendukung PR. Hanya rakan sekutu DAP yang berkemungkinan masih setia bersama PR dan ada kemungkinan mereka akan mengemudi perjuangan buat sementara waktu, walaupun tidak secara formal. Apabila hal ini benar-benar berlaku, para pendukung gagasan kepimpinan ulama akan menjadi semakin jauh hati dengan PR dan secara tidak langsung ada kecenderungan untuk sebahagian ahli PKR akan menjauhi PR disebabkan percakaran dalaman yang sudah mula kelihatan sejak DSAI masih dikalangan mereka lagi.
Apabila hal keadaan ini berlaku, maka tidak mustahil untuk BN mengekalkan kejayaan mereka, dan itulah yang paling minimum untuk pencapaian mereka bagi PRU ke 14 kelak. Ada juga kemungkinan untuk BN mengukuhkan lagi pencapaian mereka yang sudah tercalar sejak kemunculan semula DSAI.
Oleh yang demikian, cita-cita murni mereka untuk menyelamatkan Malaysia akan terus berkubur manakala DSAI yang bakal keluar selepas PRU 14 nanti hanya mampu tersenyum tawar melihat keadaan negara dalam menjayakan wawasan 2020 kelak...
Ulasan