Khilafah :benarkah sistem yang dituntut?

Sistem khilafah sering dilaung-laungkan sebagai sistem terbaik untuk menjayakan kenegaraan berasaskan syariah. Dikatakan bahawa kewujudan sistem khilafah perlu disegerakan dan diperjuangkan agar syariah islam benar-benar dapat ditegakkan.


Sistem khilafah bermula sebaik sahaja kaum muhajirin dan ansar membaiah Abu Bakr di balai bani saidah beberapa ketika selepas kewafatan Junjungan Besar Muhammad Rasulullah SAW wafat. Meskipun ahli keluarga baginda sedang disibukkan dengan urusan jenazah Rasulullah SAW, namun tindakan sebahagian kaum ansar yang berkumpul di Balai Bani Saidah bertujuan melantik khilafah telah menyebabkan Umar segera menarik keluar Abu Bakr yang sedang sibuk menyelesaikan urusan tajhiz menuju ke sana.

Sebaik Abu Bakr dibaiah selaku khalifah pertama, meskipun ada diantara sahabat yang dilaporkan kurang bersetuju dan lewat memberikan baiah sehingga 6 bulan selepas perlantikan, ianya menandakan bermulanya sistem khilafah di dalam islam dan ada dikalangan sarjana mengatakan ianya sistem demokrasi pertama dalam Islam.
Khalifah kedua yang dilantik bersandarkan kepada wasiat Abu Bakr telah berjaya memperkukuhkan kenegaraan Islam dan manusia pertama yang memakai gelaran Amirul Mu'minin meskipun pada awalnya kurang disenangi oleh Umar sendiri.

Khalifah ketiga dilantik sebaik sahaja majlis syura yang diketuai oleh Abdul Rahman bin Auf sebagaimana wasiat Umar, memilih Usman dan tidak memperakui Ali meskipun kedua-duanya adalah calon terbaik. Pada zaman Usman, meskipun didakwa berlaku nepotisme disebabkan oleh kelemahan khalifah oleh kerana faktor umur yang agak lanjut, ianya masih boleh terkawal sehinggalah pada akhir masa pemerintahan beliau yang menyebabkan beliau terbunuh di tangan pemberontak.

Sebaik Ali dibaiah, keadaan kucar-kacir dan pertikaian di antara sahabat akhirnya menyebabkan khilafah jatuh ke tangan keluarga Umawi secara muslihat licik di Daumatud Jaundal..

Penulis cenderung dengan pandangan bahawa selepas Muawiyyah melantik Yazid selaku putera mahkota selepas Hassan menyerahkan urusan khilafah kepada Muawiyyah, maka sistem khilafah telahpun runtuh dan digantikan dengan sistem beraja. Meskipun majoriti sejarawan berpandangan bahawa sistem khilafah berterusan sehingga ke zaman Ottoman, namun sebenarnya ianya tidak lain hanya sistem monarki yang disaluti Islam. Walaupun terbukti wujud dikalangan mereka yang bertaqwa, namun ianya tidak boleh menjadi ukuran bahawa sistem yang diwujudkan menepati sistem khilafah yang dibangunkan atas dasar syura.

Sistem khilafah hanya akan terbangun dengan sendiri sebaik sahaja al mahdi dibaiah di antara rukun iraqi dan yamani kelak. Sementara itu, usaha-usaha untuk membangunkan kembali sistem tersebut jika masih bersandarkan kepada mana-mana sistem monarki hanyalah sebuah ilusi kosong yang hanya mempergunakan Islam sebagai alat untuk mencapai sedikit kesenangan hidup.


Meskipun ramai di antara kita yang berpandangan bahawa sistem khilafah telah dibinasakan oleh Kamal Atarturk...namun sebenarnya ianya telah dibinasakan apabila sultan pada masa itu menanggung beban hutang negara yang semakin besar hasil pinjaman berbentuk riba dari bank-bank tajaan Rothchild

Sementara menantikan saat baiah itu, tiba masanya untuk umat bersatu mewujudkan sistem islam dalam negara masing-masing berdasarkan sistem politik sedia ada yang berlangsung. Apabila kesemua negara islam telah beralih kepada pentadbiran islam, maka ini bermakna persediaan awal telah berlaku untuk menyambut kehadiran khalifah akhir, Muhammad bin Abdullah Al Mahdi Al Muntazar....

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol