Maulid oh maulid
Hujung minggu ini masih di kawasan tengah semenanjung emas, majlis sambutan maulid rasul diadakan bermula Jumaat malam. Di sebuah surau yang terletak di tepi jalan berhadapan dengan kedai makan, majlis bermula selepas solat Isya. Tetamu jemputan al fadhil ustaz zamri mantop. Hadirin agak ramai memenuhi ruang hadapan surau dan melimpah hingga ke jalan raya. Terdapat pembukaan sebuah gerai menjual kitab dan juga cd biasa..
Majlis bermula dengan ucapan pengerusi dan seterusnya ceramah. Cukup teratur dan penuh adab ilmu.
Subuh esok ustaz yang sama hadir untuk kuliah subuh perdana di masjid jame.
Keesokkannya di dataran diadakan majlis sambutan yang sama dengan menjemput penceramah tersohor yang biasa muncul di kaca televisyen. Perhimpunan atas nama menyambut keputeraan junjungan ini dianjurkan atas nama sebuah pertubuhan politik tersohor.
Sesuatu yang menarik untuk diulas, majlis makan bermula selepas asar hingga sebelum waktu isya menurut tentatif. Tatkala penulis tiba, manusia sudah memenuhi dataran. Beratur mengambil makanan, makanan di dalam dulang. Suasana hingar bingar dan terpaksa ditenangkan kerana ada yang memotong barisan mengambil makanan. Azan Isya berkumandang seolah tidak dihiraukan. Kelihatan hadirin tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing. Mungkin takut lokasi diambil orang. Apa bezanya dengan penonton bolasepak di stadium yang berkumpul sebelum Asr hanya semata-mata untuk elak kesesakan tetapi langsung tidak menghiraukan seruan azan?
Tatkala menghadiri solat Isya di surau berhampiran, acara pentas telah bermula dengan dendangan nasyid wanita. Suara begitu kuat dan mengganggu pendengaran musalli di surau berhampiran. Penulis kurang mendengar kerana solat di surau semalam yang menjadi penganjur program...
Tatkala kembali ke dataran, mula menikmati hidangan yang diambil tadi bersama isteri dan anak sulung. Al fadhil muncul sekitar jam 9 malam namun dari kata-kata yang diucapkan, tiada pula ia menegur akan keadaan hadirin yang tidak menghormati waktu solat isya...
Apabila penaja adalah pertubuhan politik, maka maha mustahil kalau penceramah diundang tidak bercerita tentang politik. Walaupun dia cuba menafikan akan politik dan mula menghentam politik yang berlainan warna, maka secara tidak sedar dia telah menepati teori bahawa manusia itu adalah haiwan yang berpolitik!!
Sungguh berbeza sekali majlis yang benar-benar tulus dibuat kerana kecintaan kepada Rasul dengan majlis yang dibuat atas nama politik dengan niat tersembunyi mungkin untuk menambat hati rakyat agar mereka akan lebih terperchaya bahawa parti terunggul ini tidak pernah melupakan agamanya...
Bagaimana kita mengatakan bahawa majlis ini untuk Rasul, tetapi dalam masa yang sama penganjur langsung tidak menghormati waktu solat Isya..? Penulis fikir konsert rock lebih menghormati waktu solat isya dengan memulakan majlis selepas waktu isya berbanding majlis yang dijenamakan sebagai majlis maulid namun membiarkan bahkan mengotori dan mencerami ruang udara dengan nyanyian nasyid oleh penasyid wanita tatkala jamaah di surau dan masjid masih sedang khusyu menghadap pencipta....
Walau bagaimanapun, tahniah kepada pihak penganjur. Mungkin dataran ini boleh terus dikekalkan sebagai dataran ilmu sebagaimana pesan sang penceramah. Jangan pula nanti ianya dikotori oleh konsert kilauan emas ataupun karaoke pop yeh-yeh pula selepas ini...
Wallahu a'lam
Ulasan