Kisah lelaki yang sangat kasih akan ibunya

Lelaki ini bukanlah seorang yang dikenali ramai. Hanya seorang lelaki yang tinggal di kampung pendalaman. Di tengah ketandusan padang pasir gersang. Hanya bersama seorang ibu tua. Dia begitu kasih dan taat pada ibunya. Tidak ia meninggalkan ibunya keseorangan hanya untuk menenuhi kehendaknya. Pada zamannya telah muncul seorang utusan mulia. Dia memang berniat untuk bertemu dengannya. Begitu memuncak keinginannya untuk menatap wajah insan yang bercahaya. Insan yang menerima tarbiyyah langsung dari Tuhannya. Tetapi apakan daya. Dia tidak sanggup untuk meninggalkan ibunya keseorangan hanya semata-mata untuk memuaskan kehendaknya. Tidak sanggup dia meninggalkan ibunya walaupun untuk menemui insan teragung. Baginya, berbakti kepada seorang ibu jauh lebih baik dari segalanya.


Apabila junjungan Nabi SAW meninggalkan dunia yang fana ini, sahabat nabi ada hasrat untuk menemui lelaki itu. Ini kerana junjungan mulia ada menyebutkan yang lelaki tersebut wajar dicari. Pabila bertemu, maka mintalah dia mendoakan kamu. Begitulah kenyataan junjungan.

Apabila tiba pada zaman kekhalifahan Umar, beliau setiap kali tiba musim haji, beliau telah memerintahkan agar dikumpulkan seluruh jamaah yang datang dari perkampungan lelaki tersebut. Namun usaha tersebut masih menemui kegagalan. Ini adalah disebabkan lelaki ini hanya datang sekali sahaja bersama ibunya. Dengan menggendong ibunya yang tua itu, dia melakukan tawaf, sai dan apa sahaja manasik haji bersama ibunya. Dan apabila tiba perintah pengumpulan jamaah dari negaranya, beliau tidak dapat akan maklumat atau hebahan tersebut.

Tatkala beliau melakukan tawaf, beliau hanya berdoa, "Ya Allah...Ampunilah ibuku...ampunilah ibuku..."

Ibunya merasa agak hairan dan bertanya, "Bagaimana pula dengan dirimu wahai anakku?"

Jawabnya, "Pabila ibu dimasukkan ke dalam syurga, Insya Allah saya juga akan menuruti ibu..."

Dan akhirnya, Umar tidak dapat lagi menahan kehendaknya untuk memenuhi apa yang dinyatakan oleh Junjungan untuk bertemu dengan lelaki tersebut serta mohon agar didoakan. Siapa lelaki itu? Dia ada hidup di zaman Rasul SAW tetapi tidak pernah kelihatan kelibatnya di Madinah...

Tidak pernah muncul kelibatnya dalam setiap peperangan pada zaman Rasulullah SAW dan juga Abu Bakr..

Apa keistimewaan lelaki itu, begitulah yang sering menghantui pemikiran Umar pabila terkenang akan apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW agar sahabat meminta doa dari lelaki tersebut..

Pasti doanya makbul, begitulah getus hati para sahabat yang mendengar. 

Umar akhirnya bermusafir menuju ke daerah tempat bermukimnya lelaki tersebut, bersama sepupu dan menantu Rasulullah SAW, Ali bin Abi Talib.

Tatkala tiba di suatu kawasan, mereka bertemu dengan seorang lelaki yang sedang mengebala kambing. Dari susuk tubuhnya seolah apa yang digambarkan oleh Junjungan..

Selepas memberi salam, "Siapakah gerangan tuan hamba?" tanya Umar dan Ali.

"Aku adalah hamba Allah.."

"Kami juga hamba Allah...tetapi siapakah namamu?"

"Siapa pula namamu?"

"Aku adalah Umar dan ini Ali.."

"Umar dan Ali? Sahabat Rasulullah SAW?" maka menitis air mata kegembiraan dari kedua matanya yang agak cengkung..

"Aku adalah Uwais Al Qarni..."

"Rasulullah SAW berkirim salam kepadamu dan mahu agar kami yang dapat menemuimu agar mohon didoakan olehmu..."

Cucuran air matanya bertambah deras membasahi pipi yang sudah dimakan hari..

"Aku merindui baginda.."

"Nah...mengapa engkau tidak mendatangi negeri baginda?"


"aku menjaga ibuku yang sudah tua. Aku tiada sesiapa yang dapat menjaganya jika aku bermusafir ke Madinah..."

Sememangnya dia seorang yang hebat. Hidup di zaman Rasul SAW tetapi tidak berpeluang berjumpa baginda kerana menjaga ibunya. Nabi SAW meminta agar sahabat yang sempat menemuinya untuk meminta agar didoakan kerana doanya yang sangat istijabah...

Bagaimana kita dan ibu kita?




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol