Seorang yang mustajab doanya



Usair bin Amru (ada yang kata nama sebenarnya ialah Usair bin Jabir) berkata, "Dalam satu peperangan, Umar bin Khattab didatangi oleh sepasukan pembantu daripada penduduk Yaman. Beliau bertanya kepada mereka, 'Ada sesiapa antara saudara sekalian yang bernama Uwais bin Amir?'

Akhirnya Uwais bin Amir dibawa berjumpa beliau. 'Adakah saudara bernama Uwais?' Umar bin Khattab bertanya.

'Ya!', jawab Uwais.

'Benarkah saudara daripada keturunan Murad daripada kalangan suku Qaran?', Umar bertanya lagi.

'Ya!', jawab Uwais.

Adakah saudara menghidapi penyakit sopak tetapi kemudian penyakit sopak saudara sembuh, kecuali pada satu tempat sebesar wang dirham?' tanya Umar lagi.

'Ya!', jawab Uwais.

'Adakah saudara mempunyai seorang ibu?', Umar bertanya lagi.

'Ya!', jawab Uwais.

Kemudian Umar Bin Khattab berkata, 'Saya mendengar Nabi Muhammad menerangkan, 'Saudara sekalian akan bertemu dengan Uwais bin Amir, daripada keturunan Murad, daripada suku Qaran, bersama-sama pasukan mujahidin daripada penduduk Yaman. Beliau menghidapi penyakit sopak tetapi kemudian penyakit itu sembuh, kecuali pada satu tempat sebesar wang dirham. Beliau juga mempunyai seorang ibu, dan beliau berbakti kepada ibunya. Andai kata lelaki itu meminta sesuatu atas nama Allah, pasti Allah mengabulkan permintaannya. Sekiranya saudara berpeluang meminta beliau supaya memohonkan pengampunan bagi pihak saudara, lakukanlah itu.' Oleh sebab itu, mohonkanlah pengampunan bagi saya.'
Uwais bin Amir pun memohon pengampunan bagi Umar bin Khattab.

Kemudian Umar bertanya, 'Ke manakah saudara hendak pergi?'.

'Ke Kufah,' jawab Uwais bin Amir.

'Mahukah saudara, sekiranya saya menulis surat kepada Gabenor kufah, supaya ketibaan saudara disambut baik dan diberi pertolongan yang saudara perlukan?', kata Umar.

'Saya lebih senang menjadi orang fakir', jawab Uwais.


Setahun kemudian ada seorang bangsawan dari Kufah pergi menunaikan ibadat haji. Di sana kebetulan beliau bertemu dengan Umar bin Khattab. Umar bertanya kepada beliau keadaan Uwais.

Kata orang bangsawan itu, 'Sewaktu saya tinggal Kufah, rumahnya buruk dan tiada harta.'

Kata Umar, 'Saya mendengar Nabi Muhammad menerangkan, 'Saudara sekalian akan bertemu dengan Uwais bin Amir, daripada keturunan Murad, daripada suku Qaran, bersama-sama pasukan mujahidin daripada penduduk Yaman. Beliau menghidapi penyakit sopak tetapi kemudian penyakit itu sembuh, kecuali pada satu tempat sebesar wang dirham. Beliau juga mempunyai seorang ibu, dan beliau berbakti kepada ibunya. Andai kata lelaki itu meminta sesuatu atas nama Allah, pasti Allah mengabulkan permintaannya. Sekiranya saudara berpeluang meminta beliau supaya memohonkan pengampunan bagi pihak saudara, lakukanlah itu.'
Orang bangsawan itu pergi menemui Uwais dan berkata kepadanya, 'Mohonkanlah pengampunan bagi saya.'

Dijawab oleh Uwais, 'Tuan baru saja pulang daripada melakukan kerja yang baik, sepatutnya tuan mohonkanlah pengampunan bagi saya'. Kemudian katanya lagi, 'Adakah tuan berjumpa dengan Umar?'.

"Ya!", jawab orang bangsawan itu.

Uwais pun memohonkan pengampunan bagi orang bangsawan itu. Barulah orang ramai tahu siapa Uwais, mereka pun pergi menemuinya. Uwais kemudian berangkat pindah ke tempat lain. " - Direkodkan oleh Muslim

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol