Kisah napolean kecil ....
Di organisasi yang tersohor ini acapkali wujud manusia kerdil berjiwa besar bahkan boleh diistilahkan bernafsu besar yang duduk di bawah lambung lelaki paling berkuasa. Mereka ini kerap juga menjadi makhluk yang amat dipercayai dan juga disayangi oleh lelaki paling berkuasa. Dek kerana kecintaan dan kasih serta kepercayaan lelaki paling berkuasa terhadapnya menyebabkan manusia kerdil ini sering melupakan akan dirinya yang sebenar dan kerap pula menjadi 'gunting dalam lipatan' atau kaduk naik junjung yang menyebabkan pula ia sering menyalahgunakan kedudukannya untuk membina kemnya yang tersendiri.
Mereka ini kelihatan amat patuh dan taat kepada kepimpinan organisasi menyebabkan pimpinan atasan akan menaruh kepercayaan penuh terhadapnya....ini menghasilkan sikap mahu mengekalkan status quo yang dianugerahkan kepadanya dan secara tidak sedar telah mengakibatkan dirinya nenjadi sombong.
Selalunya golongan seumpama ini akan berada agak lama di sesuatu sub organisasi, meskipun staf lain yang berada disekelilingnya sudah silih berganti. Suasana ini semakin jelas dan mudah dilihat di organisasi milik kapitalis. Manusia kerdil ini akan memainkan peranannya untuk menjadi pencatur dan menyebabkan pimpinan organisasi kerap memberikan autonomi terhadapnya bagi memberikan pandangan yang jarang dikecewakan.
Napolean kecil ini terkadang menjadi terlebih sudu dari kuah menyebabkan bidak-bidak catur yang berada di bawah wilayah kekuasaannnya kadangkala mula menjadi mual dengan arahan percaturannya. Mana-mana bidak catur yang kelihatan cuba menyainginya, atau gagal melaksana aspirasinya, mungkin akan dikorban dan kalau berpeluang akan diganti dengan buah catur yang lebih berkuasa seperti castle, atau knight, tetapi bukan sekali-kali queen yang berpotensi untuk menyaingi kuasanya.
Biarpun buah catur baru sahaja masuk ke gelanggang, namun ia bisa sahaja dikorbankan sepantas kilat demi mengaut keuntungan yang lebih besar. Mana-mana bidak catur yang boleh diperkudakan akan dipacu semahunya bagi menurut kemahuannya. Kemahuan yang tidak pernah terbatas oleh masa, tenaga atau apa sahaja...pabila bidak catur ini mula melemaskannya, maka dengan kadar segera ia dikorbankan...
Napolean kecil seumpama ini sebenarnya amat membahayakan organisasi. Permainannya begitu licik dan pimpinan tertinggi jarang atau tidak pernah melihat kesalahan mereka meskipun sebesar sebutir biji sawi...yang kelihatan zahir hanya ketaatannya, yang kelihatan zahir hanya kesilapan dan kealpaan orang lain, khususnya orang yang dianggap boleh menyaingi ketrampilan dirinya, ataupun mungkin boleh menyebabkan pimpinan tertinggi beralih arah kepada orang lain.
Napolean kecil ini mampu memanipulasi keadaan agar senantiasa berpihak kepada dirinya. Walau bagaimanapun, dari segi tugasan yang dilaksanakan, mereka ini tidak pernah gagal menggarap kejayaan demi kejayaan. Namun sayangnya, kejayaan itu selalunya hanya diiktiraf sebagai kejayaan dirinya semata-mata, bukan kejayaan organisasi secara keseluruhannya. Kejayaan yang dicapai, yang biasanya diusahakan oleh kerja keras orang bawahannya, seringkali hanya dianggap sebagai kejayaannya semata-mata tanpa mampu memberikan sedikit penghargaan meskipun seqadar ucapan terima kasih sekalipun....
Sang napolean kecil akan terus memanipulasi keadaan sekeliling agar senantiasa dapat memberikan kemenangan kepadanya, atau dapat membuahkan keberuntungan walaupun kecil...
Selamat meneruskan tugas dan lakonan selaku napolean. Tapi ingat, tiada siapa jua di dunia ini yang dapat terus berdiri megah dengan meratakan kezaliman, walaupun berjaya berselindung di sebalik pimpinan....
Ulasan