Perjalanan menuju Ramadhan: Apa persediaan kita?

Kita akan menemui Ramadhan dalam masa 42 atau 43 hari dari sekarang jika masih diberikan kesempatan untuk menemuinya. Maka apakah persediaan kita sekarang?

Mungkin ramai yang tidak berapa nak perasan akan saat hampirnya Ramadhan 1435, tetapi sangat bersedia bahkan sibuk untuk bersedia menghadapi 1 syawal. Mereka memandang kosong akan kehadiran ramadhan dan begitu teruja untuk menghadapi syawal..

Siapakah yang begitu bersedia menghadapi syawal?

Antaranya ialah peniaga kuih raya. Tempahan telah mula dibuka. Begitu juga kerepek dan aneka jamuan lain untuk menghadapi hari lebaran. Walhal al quran dan hadis tidak pernah menyebut akan syarat sah hari raya ialah dengan wujudnya kuih raya.

Begitu juga dengan para penjahit. Seawal safar lagi, tempahan baju raya telah ditutup dan tidak diterima. Maka sesiapa yang lewat membuat tempahan, terpaksa membeli pakaian yang telah siap selewat-lewatnya selepas pengisytiharan tarikh hari raya eid, ataupun terpaksa memakai pakaian tahun sebelumnya, atau terpaksa menaikkan upah menjadi dua kali ganda...

Begitulah aura syawal....namun dimana aura Ramadhan? Aura itu sebenarnya sudah muncul melalui para peniaga bazaar ramadhan yang mula mengintai peluang tahunan.

Aura sebenar Ramadhan seolah semakin mati. Bermula Rejab muslimin sibuk mencari malam 27 rejab yang dipercayai saat isra dan mi'raj. Maka berpusu berpuasa pada siangnya dan ibadah pada malamnya walhal ianya tidak pernah dituntut dan tarikh sebenar juga tidak diietahui secara qat'i...

Kita ini telah melalui Ramadhan beberapa kali, tetapi pernahkah kita terfikir untuk menyamai amalan para sahabat menyambut Ramadhan? Bagaimana sahabat Rasulullah SAW melalui dan menghayati Ramadhan? Adakah dengan memperbanyakkan dagangan di pasar Madinah dengan beraneka juadah buat hidangan berbuka? Atau bersama bergotong-royong membuat bubur lambuk di tepi masjid nabawi atau bersebelahan rumah Nabi SAW setiap petang dan mengagihkan kepada seluruh penduduk kota Madinah?

Adakah sahabat Nabi SAW melalui Ramadhan dengan menyibukkan diri mencari upah menjahit pakaian hari raya, atau mencari pelbagai juadah dan persiapan menghadapi 1 syawal?

Adakah sahabat Nabi SAW melalui ramadhan dengan hanya memikirkan apa juadah untuk berbuka di waktu iftar? Ataukah mereka akan bekerja seperti melalui hari biasa tetapi agak kurang produktiviti atas alasan menahan lapar dan dahaga?

Adakah sahabat melalui ramadhan dengan bertempur di medan jihad sebagaimana ghazwah badr atau berenak-enak sahaja di pembaringan rumah mereka melayan mata yang selalu hendak tidur di tengah terik mentari madinah?

Adakah sahabat nabi SAW merentasi malam Ramadhan dengan memperbanyakan dengkuran seperti kita, atau mereka bersengkang mata mengharap rahmat Allah di sepanjang malam?

Ramadhan semakin hampir....mari kita telusuri dan selidiki bagaimana mereka melalui ramadhan dan menjadi manusia paling berjaya serta mendapat redha dariNya..

Ayuh...bersedia menghadapi ramadhan al mubarak dari sekarang...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol