Antara produk cadbury, produk forex dan produk riba....
Sejak minggu sebelumnya, suasana gegak gempita menyelubungi bumi malaysia. Kisah bermula apabila terpapar di media sosial mengenai maklumat kewujudan DNA khinzir pada produk cadburry. Itupun hasil kerja seseorang yang berada di makmal milik kementerian kesihatan yang memuatnaik hasil penemuan kajiannya ke media sosial. Tiada siapa yang tahu apa tujuan sebenar staf tersebut berbuat demikian. Mungkin dia benar-benar ikhlas untuk menyelamatkan muslim dari terus terjebak dengan makanan ini. Atas dasar ingin menjadi penyelamat, maka tanpa perlu menoleh ke belakang. Tanpa perlu memikirkan implikasi terhadap masa depan kerjayanya, dengan penuh keberanian, dia memperjudikan nasibnya,mungkin untuk menjadi wira.
Namun banyak perkara sebenarnya yang perlu dilihat semula. Pertama, selaku seorang penjawat awam, dia adalah tertakluk sepenuhnya terhadap amanah menjaga kerahsiaan. Apabila ia melanggar arahan tersebut, walau atas alasan apa sekalipun,ianya tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menjunjung amanah yang diberikan.
Katakanlah jika beliau ini tidak pecah amanah menyebar perkara yang masih rahsia.Tentu konflik ini tidak berpanjangan. Tiada siapa lagi yang dapat mengesahkan perkara ini sehingga kini, hatta JAKIM sendiri menafikan masalah haramnya memakan produk ini.
Maka bertempiklah persatuan dan NGO yang mewakili muslim hingga kedengaran ada yang sanggup hendak membakar kilang cadburry. Sayangnya semangat itu tidak pula diteruskan hingga kesemangat membakar kilang arak yang merupakan industri terbesar di peringkat asia. Sebuah negara Islam menjadi negara pemilik kilang memproses arak terbesar di asia.
Ada kalanya perkara yang seumpama ini perlu dirahsiakan terlebih dahulu sehingga benar-benar disahkan. Pada gambar yang disebarkan, jelas tertera bahawa keputusan yang dibuat adalah tidak sah kecuali dengan laporan lengkap dan pengesahan makmal.
Banyak lagi perkara yang jelas haram tapi tidak diendahkan. Sebagai contoh, penularan gejala forex dalam masyarakat kini. Ramai sahabat-sahabat yang terlibat dengan pelaburan ini yang dahulunya hidup dalam kesempitan, kini senantiasa bertukar kereta baharu. Meskipun majlis fatwa kebangsaan telah mengharamkan pelaburan ini, namun mereka yang kemaruk masih terus dengan aktiviti maha menguntungkan itu.
Walaupun terdapat khilaf di kalangan ulama mengenai perkara ini,namun carilah jalan yang paling selamat. Radio dan TV tidak pula membuat ulasan lanjut. Apalagi pihak JAKIM. Semuanya hanya membisu. Kata salah seorang sahabat yang berjiwa sufi,
"Cuba nko tengok perangai para pemain forex di sekeliling kita. Mereka ini ada kepelikan dari segi perangai dan akhlak..."
Penulis tidak mengiyakan atau menafikan. Biar Allah sahaja yang menentukan. Memang manusia yang benar-benar warak sepatutnya akan meninggalkan perkara yang samar seumpama ini. Itu mungkin jalan paling selamat.
Ada lagi perkara lebih berbahaya. Lebih agresif dari dna babi dalam cadburry. Lebih menakutkan dari demam forex. Itulah riba.
Namun tiada siapa yang berani membakar bank yang berasaskan riba. Meskipun telah wujud beberapa produk perbankan islam di serata ceruk negara ini,namun kekhuatiran kita masih lagi belum reda.
Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (Al Baqarah : 275)
Kita kurang sensitif tentang isu sumber kewangan kita. Kita sibuk dengan isu mengisi perut kita. Hampir 98% Melayu Islam akan begitu sensitif berkaitan isu babi dalam makanan mereka.Namun sumber pendapatan yang tidak halal dengan anasir syubhah seperti forex dan anasir riba tidak terlalu kita hiraukan. Hatta hal arak juga kita biarkan. Allah menguji kita dengan isu dna babi untuk melihat kita sama ada masih samar atau sudah mula sedar dengan halal haram disekeliling kita.
Masalah ribawi masih terus menghantui kita melakui pinjaman dan transaksi bank yang saban hari kita laksanakan tidak pernah pula dibicarakan secara lebih terbuka. Mungkin dengan kemunculan perbankan islam yang semakin meluas menyebabkan mulut pejuang islam yang bernaung di bawah pertubuhan NGO dan parti politik terpaku erat. Namun secara sedar ataupun tidak, perbankan yang diletak atas nama islam kadangkala ternyata lebih membebankan dengan bayaran balik pinjaman yang berlipatkali ganda tingginya. Bukankah prinsip utama muamalah islam ialah agar tidak membebankan umat?
Hingga ke saat ini masih tidak kedengaran suara pejuang yang menuntut agar pelaksanaan ekonomi islam yang tuntas dilaksanakan sepenuhnya dalam negara. Yang ada kini hanya tuntutan segolongan ahli politik untuk pelaksanaan hukum had. Tiada siapa pun dikalangan mukmin yang akan menghalang pelaksanaan hukuman had, kecuali yang benar-benar munafiq atau kafir. Namun pelaksanaan islam perlulah dibuat secara syumul. Kisah pelaksanaan kewangan islam dan pelaksanaannya telah mula dilaksanakan sejak 80 an lagi. Namun, hingga kini ia dilihat masih membebankan penghutang, walau atas nama apa pun yang dilabelkan. Kita kadang-kadang terfikir, bilakah agaknya baitulmal akan berfungsi dengan sebenar-benarnya. Apakah satu kesalahan jika pinjaman rumah yang dibuat untuk membeli rumah berharga 200k tetap dibayar 200k juga? Itulah sebenarnya fungsi baitulmal...
Itulah permainan para pengkagum dajjal kini. Mereka akan melakukan apa sahaja demi menjayakannya serta mengelirukan umat Islam....
Ulasan