Bila letih dan tertekan - wajah sebenar akan terpapar : Ceritera sebuah motivasiku

Apabila kita berada dalam zon selesa, kita biasanya berjaya menyembunyikan wajah sebenar kita. Kita akan berusaha sedaya mungkin untuk memakai topeng. Apa sahaja topeng yang ada disekeliling kita akan kita sambar buat menutup wajah sebenar, atau hakikatnya untuk nenutup keegoan kita. Maka apabila pelaksanaan ice breaking berlangsung, acapkali fasi agak gagal untuk mengesan wajah di sebalik topeng kerana persediaan awal kita dan kejayaan kita memakai topeng-topeng ajaib buat menutup sedikit ego.


Maka apabila peserta ini dimasukkan serta diserapkan atau dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil, akan timbul seakan sekilas wajah yang kurang berpuas hati dari segelintir peserta yang mula terpesona dengan permainan sang fasi. Walaupun masih ramai yang seakan masih diluar fokus, ataupun diluar kawalan sang fasi, namun kewujudan segelintir wajah yang menunjukkan respon agak emosi terhadap keputusan yang dibuat untuk mereka telah mencerminkan pokok sudah mula berputik...

Semasa sesi pembentangan, kita akan dapat mencungkil lebih banyak pendedahan wajah sebenar mereka. Kita akan lebih banyak dipaparkan dengan emosi peserta, kelakuan sebenar peserta bahkan jika bernasib baik, peserta dengan sendirinya akan membuka pekung selepas topeng mengenai diri sendiri. Peserta pada waktu pembentangan masih juga ada yang berwatak pemakai topeng dengan menyorokkan wajah serta penampilan mereka dari pandangan umum. Mereka akan menjadi lebih selesa berada di belakang peserta lain, bahkan di belakang bendera yang direkacipta sendiri, atau kadang-kadang direkacipta oleh seorang dua daripada 9 hingga 11 orang ahli kumpulan yang lain, untuk mengelakkan diri daripada disoal, ataupun sememangnya bersifat pemalu, atau sememangnya tidak ada kekuatan untuk berdiri di hadapan bagi mengeluarkan hujjah.

Apabila peserta ini diprovok oleh sang fasi yang memang suka untuk menyakat bagi mendapatkan input, atau untuk mendapatkan wajah individu dan juga kumpulan, terdapat ahli kumpulan atau peserta yang tidak tahan dan membalas dengan hujjah yang kadangkala terlampau dangkal. 

Ada peserta yang begitu mudah mengalah apabila fasi sebagai contoh mahu agar beberapa perkara dalam bendera yang direkacipta oleh mereka itu diubah. Kepatuhan mereka ini adalah mungkin disebabkan oleh dua perkara iaitu;
i. mereka tidak fokus pada aktiviti dan berbuat sambil lewa;
ii. mereka memang benar-benar lurus bendul

Bagi peserta yang mempertahankan bermati-matian akan hasil usaha yang telah dibuat, juga mungkin disebabkan atau dipengaruhi perkara berikut :-
i. terlalu taasub dengan hasil usaha sendiri sebenarnya,
ii. sukar menerima pandangan orang lain;
iii. mempunyai jatidiri yang begitu kental hingga gagal menerima sebarang kritikan.



Ada kalanya fasi yang bertugas akan benar-benar mahu agar maklumat yang tertera pada bendera yang direkacipta oleh kumpulan tersebut diubah. Ini mungkin disebabkan perkara yang terpapar pada bendera tersebut mengganggu atau mengancam keselamatan negara, atau agama, seperti meletakkan nama atau paparan perlambangan agama lain yang mana kesemua ahli terdiri daripada peserta muslim...

Walau bagaimanapun, emosi mereka kebanyakkannya masih dalam kawalan. Pada hari kedua, dimana kebanyakan aktiviti dibuat secara outdoor dan memerlukan fokus serta penggunaan tenaga yang agak besar, soal emosi, menahan perasaan, pemakaian topeng telah mula hilang satu demu satu. Wajah sebenar perserta akan muncul tanpa perlu untuk disingkap lagi. Obor kemarahan bagi seorang pemarah akan menyala marak menjulang. Wajah sabar sudah mula dirobek rakus. Yang tinggal hanyalah peserta yang memakai watak sebenar mereka. 

Walau bagaimanapun, diantara aktiviti yang paling berkesan ialah aktiviti kembara. Kembara yang dilaksanakan oleh pasukan ini mungkin jauh bezanya dengan kembara yang dilaksanakan oleh kumpulan lain. Meskipun CP hanya ada dua sahaja, namun, ianya amat mencabar kemampuan dan ketahanan diri para peserta. Sebagai contoh, kembara hutan bakau. Meskipun jarak perjalanan tidak sampai 1km, namun dek kerana suasana hutan bakau itu sendiri yang berpaya dan berlumpur, pergerakan akan menjadi terlalu lambat. Satu pasukan pelajar sekolah menengah berusia 15 dan 17 tahun seramai kira-kira 50 orang dengan pecahan 6 kumpulan, mengambil masa kira-kira 3 jam untuk menyelesaikan kembara (termasuk melayan karenah fasi di CP). Di sini wajah letih peserta akan disinari kegembiraan sebaik tiba di cp kedua yang dianggap cp terakhir. Ramai peserta akan tersilap di CP 2 ini kerana menyangka ianya CP terakhir dan gagal menafsirkan pesanan fasi di CP 1 berkaitan hasil aktiviti di CP tersebut yang perlu diserahkan di CP selepas itu. Sebenarnya hasil kerja mereka perlu diserahkan di CP akhir, mengakibatkan apabila mereka tiba di CP akhir sebenar, mereka dipinta untuk berpatah balik di CP 2 untuk mendapatkan kembali barang yang diserahkan. Fasi di CP 2 akan memainkan peranan sebaiknya untuk memberikan kesedaran mengenai kesilapan membuat keputusan akan mengakibatkan mudarat yang besar kepada semua ahli kumpulan. 

Sesi berpatah balik ke CP 2 menyebabkan masa menjadi semakin panjang. Di sini, kebanyakan ahli akan menjadi kurang sabar dan ada yang sudah mula menarik muka, tanda protes. Perkara ini disebabkan keletihan, kekotoran dan  kesukaran perjalanan menempuh paya bakau...fasi di CP 2 pula terlalu banyak songel untuk peserta mendapatkan kembali barang yang telah terlepas.

Malangnya, hingga ke peringkat ini, peserta masih gagal untuk menjayakan misi kerjasama kerja berpasukan hingga ke akhir sebagaimana yang diharapkan oleh fasi. Masih ada kumpulan yang hanya menghantar wakil kumpulan sahaja ke CP 2 untuk mendapatkan semula barang atau harta yang telah terlepas. 

Ada juga kumpulan yang tidak jujur, menggunakan kesempatan yang ada disebabkan datang dalam kumpulan, dengan hanya menghantar wakil sahaja mengambil barang di dalam CP dengan berpura-pura berada di titi yang menghubungkan CP 2 dan kawasan pertemuan dengan fasi CP 2.

Selepas kumpulan yang malang ini berjaya mendapatkan semula harta yang terlepas, yang merupakan binaan rumah dari tanah liat, mereka akan membawa barang tersebut ke CP akhir. Fasi di CP akhir akan selepas memberi nasihat dan tazkirah menghancurkan binaan tersebut tanpa perasaan belas. Ini rupanya bisa memancing emosi peserta yang telah berpenat lelah membinanya, kemudian menyelamatkannya dari penunggu di CP 2, akhirnya dihancurkan begitu sahaja? 

Ada yang mudah sahaja mengalirkan air mata. Ada juga yang geram dan marah. Pada pandangan penulis, jika tidak segera disabarkan boleh cedera fasi dipukul oleh peserta. Kenapa binaan itu dihancurkan?

Ianya umpama harapan yang telah dibina oleh kedua ibu dan bapa kita. Kedua orang tua kita amat mengharapkan agar anak-anak menjadi anak yang soleh, yang baik, rakin dan pelbagai harapan positif serta ultra positif ...namun ianya kerap dikecewakan dan dihancurkan oleh anak-anak itu sendiri. 

Juga Allah telah mencipta pelbagai nikmat dan menganugerahkan kepada kita, namun kita kerap menyia-nyiakan anugerah itu dan menghancurkannnya bahkan melawan dan menyia-nyiakan tuntutanNya ... maka rasailah bagaimana kalau kita pula yang melakukan sesuatu kemudian disia-siakan sahaja ...

Acara-acar ini akan berakhir dengan aktiviti tangisan malam yang menonjolkan beberapa video klip dan juga pengkisahan mengenai pengorbanan seorang ibu dan juga ayah dengan suara penuh lirih dan hiba, mampu membuatkan ketua gangster di sekolah untuk turut menangis...

Benar...jiwa anak-anak ini perlu diruntun dan melalui proses tarbiyyah yang melibatkan jasmani dan rohani sekaligus. Apabila tubuh mula melemah dek kerana aktiviti fizikal bersama dengan beberapa siri melibatkan emosi, maka mereka akhirnya akan menyerah kalah dan Insya Allah menemui jalan taubat dan akhirnya berubah...Insya Allah..



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol