Ramadhan itu semakin menggamit

Hari ini terakhir rejab 1435. Menjelang terbenam mentari, syaaban muncul menandakan tetamu selepasnya sudah semakin hampir. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW memperbanyakkan puasa sunat dalam bulan syaaban dan dikatakan apabila nabi saw berpuasa dalam bulan syaaban, seolah-olah ia tidak berbuka dan apabila ia berbuka seolah-olah baginda tidak lagi berpuasa.



Apakah persediaan kita menjelang kira-kira 29 atau 30 hari lagi menjelang ramadhan? Adakah kita sudah mula melatih diri untuk bangun malam bagi menghidupkan malam ramadhan yang penuh keberkatan atau masih sibuk menyusun irama dengkur yang terasa semakin enak dan panjang?

Adakah kita sudah mula melatih diri untuk puasa sunat atau sibuk memenuhi perut dengan pelbagai makanan kunun sebagai persediaan awal buat menahan puasa sebulan?

Dalam tempoh ini, eloklah kita membuka kitab dan juga bicara berkaitan ramadhan, hukum yang berkaitan, amalan yang boleh mendatangkan redha Allah dan sebagainya yang berkaitan. Kita mungkin sudah boleh berkira-kira mengenai tahap puasa kita, pada tahap mana yang perlu kita usahakan. Adakah cukup dengan status puasa awam sahaja tanpa sebarang peningkatan, sejak berusia baligh hingga sekarang, atau kita sudah mula memikirkan peningkatan kualiti puasa kita ke tahap puasa orang-orang khusus sekurang-kurangnya,  yang bukan hanya menahan diri dari melakukan perbuatan yang membatalkan puasa semata tetapi juga menahan diri dan anggota dari perbuatan dosa dan sia-sia, seperti menahan diri dari chatting dengan wanita bukan mahram, menahan pandangan, menahan lidah, serta anggota-anggota lain...


Kita biasa mengharapkan anugerah khidmat cemerlang dalam perkhidmatan kita. Kita berusaha agak keras untuk mencapainya. Tetapi dalam bab ibadah, kita jarang atau tidak pernah melakukan perkara yang seumpamanya dengan bersungguh-sungguh.

Awal ramadhan kita biasenye terleka dengan pelbagai juadah buat memuaskan nafsu makan yang telah tertahan selama 12 hingga 13 jam. Perasaan untuk makan yang membuak menyebabkan kita tiba di hadapan pintu rumah kita di awal ramadhan dengan kedua-dua tangan dipenuhi pelbagai beg plastik aneka warna yang penuh berisi berjenis makanan. Ataupun kita akan melayan nafsu makan kita dengan mengunjungi hotel, restoran dan juga gerai yang menawarkan pakej makanan atai hidangan berbuka yang beraneka. Kita jarang sangat hendak memikirkan di masjid manakah kita akan meneruskan ibadah selepas berbuka nanti...

Apabila pak ustaz berbicara mengenai ramadhan dan kelebihannya, kita masih asyik bicara mengenai tempahan kuih raya dan kerepek. Pabila pak ustaz bicara bagaimana sahabat nabi saw berpuasa, kita cepat sahaja membuat keputusan, sahabat tidak sama dengan diri kita, bagai langit dengan bumi. Jadi kita telah menetapkan puasa bagi kita hanya seqadar menahan diri dari melakukan perbuatan yang membatalkan puasa sahaja sudah mencukupi. Mulut kita masih lagi meneruskan aktiviti seperti hari biasa, berbual tanpa batas, bercakap ikut sedap mulut, mengata, memperli dan melucah menjadi dikir harian jua walaupun sudah makan sahur sebelum subuh dan membaca niat dengan jahr sebelum tidur.
Kita terus melalui ramadhan saban tahun seumpama itu tanpa mahu berubah. Namun kita tetap menanam cita-cita untuk mendapat al qadr. Kita mahu doa kita diangkat ke langit, tanpa usaha yang bersungguh.


Namun apabila tiba 1 syawal, bahkan selepas melalui 10 hari pertama ramadhan lagi, kitalah orang pertama yang memasang lagu-lagu murahan hari raya yang saban tahun didendangkan, diputarkan beberapa kali tanpa jemu. Ianya menjadi semakin rancak pabila tiba tujuh likur, kunun untuk menghidupkan mood hari raya. Mood puasa sudah hilang dari ingatan kita.


Kita sering terlupa bahawa kita dan sahabat rasulullah saw mendapat peluang yang sama. Melalui ramadhan yang sama. Sahabat bukan maasum seperti juga kita, ertinya terdedah kepada dosa dan kesilapan. Tetapi mereka berjaya menjalani ramadhan mereka dengan sangat berkualiti dan diredhai. Malam mereka dihiasi dengan alunan al quran, ibadah dan zikir berbanding kita yang turut berjaya menghiasi malam ramadhan kita dengan dentuman mercun, lagu-lagu hari raya, bazaar ramadhan dan ditutup dengan dengkuran kepenatan dan kekeyangan. Namun kita mendakwa seronok melalui ramadhan. Keseronokan kita adalah dengan adanya bazaar ramadhan, pelbagai juadah terhidang, lagu irama syawal dan banyak lagi lagha malam ramadhan.


Namun, kita masih mengulangi kesilapan yang sama. Walhal Allah masih jua memberikan kita peluang untuk mengecapi nikmat ramadhan, sama seperti peluang yang diberi kepada generasi awal islam. Tetapi apakah kita masih terus menyia-nyiakan peluang itu..?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol