Iftaar di jalanan : Hanya mengambil aura
Melayan anak-anak untuk iftaar di salah sebuah restoran makanan segera tersohor di tengah-tengah daerah, hujung semenanjung emas, suatu petang hujung minggu. Kami tiba di meja makan sekitar jam 6.50 petang. Masa berbuka untuk hari itu, mengikut petunjuk perisian azan elektronik di gajet adalah sekitar jam 7.19 malam. Hanya ada dua meja yang diisi oleh saudara seagama bersama pasangan masing-masing, kecuali satu meja sahaja yang diisi oleh pasangan sama jantina. Tiada pula kelihatan keluarga yang berbuka bersama anak-anak melainkan penulis.
Selepas membuat pesanan, beberapa minit kemudian, pelayan bertanya adakah air dan aiskrim mahu disegerakan? Tatkala menyapa untuk mendapatkan bekalan air mineral percuma, rupanya tiada pula disediakan. Yang ada hanya menu istimewa ramadhan dengan sedikit potongan harga sahaja.
Kelihatan sebuah kotak di hujung kaunter yang tertulis perkataan kurma. Adakah ianya untuk pelanggan atau pekerja? Sehingga menjelang waktu iftaar, petugas kelihatan langsung tidak bermurah hati untuk menyerahkan atau menghadiahkan kepada pelanggan budiman...
Apabila azan di gajet berbunyi, penulis menunggu seminit kemudian untuk makan kurma yang dibawa sendiri dari rumah. Setelah selesai, bergegas ke kauter tingkat bawah untuk mencari sebotol mineral. Tatkala berjalan keluar bangunan menuju ke surau berhampiran, meneguk air mineral botol kecil yang sejuk. Cuaca di luar masih cerah. Ketika tumpang bersandar di sebatang tiang bangunan, kedengaran bunyi azan dari menara masjid jame bandar. Wah...begitu lewat azan dilaungkan. Penulis yakin sekali bahawa waktu telah masuk ketika menikmati iftaar tadi.
Penulis melangkah menuju ke surau berhampiran yang terletak di seberang sungai, yang dihubungkan dengan sebuah jambatan batu. Jambatan tersebut telah dua kali ditukar ganti. Jambatan asal adalah berbentuk jambatan gantung yang telah roboh semasa berlaku banjir besar sekitar tahun 2006. Jambatan kedua yang dibina, iaitu jambatan kayu, joga roboh semasa banjir sekitar tahun 2010. Dan kini jambatan batu dibina merentasi sungai tersebut.
Di hujung jambatan, bertemu dengan seorang lelaki yang kelihatan seperti orang luar negara sambil menikmati sebatang rokok. Tatkala berselisih, mulutnya mengucapkan selamat berbuka. Wajahnya agak tidak terurus tetapi kelihatan ceria dek kerana menikmati suasana iftaar...
Setibanya di surau, duduk di tepian longkang kecil sambil menghabiskan sisa air di dalam botl mineral kecil.
"Jemput makan kuih...kat meja tu banyak kuih...jemput.." pelawa sang bilal tangan satu. Oh...terasa aura gelandangan iftaar...
Dek kerana desakan perut, penulis bergerak jua menuju ke meja yang dimaksudkan. Disitu terdapat seplastik besar bekas-bekas makanan yang diisi dengan kuih yang agak moden, buka kuih tradisional.
Tatkala iqamah dilaungkan, penulis baru mengambil wudhuk. Solat kami diimamkan oleh bilal tangan satu juga...
Selesai solat, bergegas semula menuju ke restoran...Di sana, pelanggan sudah semakin bertambah. Mungkin pelanggan² ini iftaar dahulu di rumah, seusai solat baru bergerak. Tentunya itulah yang terbaik. Jangan kita sibuk dengan iftaar bersama pasangan hingga melanggar solat Maghrib...apa nilai puasa kita?
Mari kita tuliskan hadis biasa didengari yang bermaksud, "Berapa ramai orang yang berpuasa namun mereka tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga sahaja"
Ya Allah...terimalah amalan² di sepanjang usia kami...
Ulasan