Trisemester akhir universiti Ramadhan : antara memburu lailatul qadr atau memburu persediaan eid
Semester pendek pengajian di universiti Ramadhan sudah berada di fasa akhir trimester kedua yang menjanjikan anugerah dekan (keampunan) kepada sesiapa yang berjaya berdiri selaku hamba yang cemerlang di kalangan para hambaNya yang berpeluang mengikuti sesi pengajian pada tahun ini. Pengajian trisemester terakhir akan berlangsung bermula seawal malam Jumaat bersamaan 17 Julai kelak. Modul pengajian di trisemester terakhir universiti ini akan menjadi lebih tough kepada pelajar cemerlang di trisemester kedua dan pertama, atau setidak-tidaknya kepada pelajar cemerlang trisemester kedua. Walau bagaimanapun, jangan dilupa, boleh jadi pelajar yang kelihatan lemah dan lunglai pada dua trisemester yang awal, bakal bangkit dan membuat pecutan akhir di trisemester ini dan tidak mustahil pula berjaya meraikan 'malam pra graduan 1000 bulan', disamping anugerah berbentuk pelepasan dari neraka dan juga anugerah keampunan di malam eid...
Tatkala para ulama / pensyarah kontrak universiti Ramadhan ini begitu giat menyampaikan kelebihan berada di universiti ini, serta beberapa siri ilmu untuk memacu kejayaan malam al qadr, masih wujud insan² yang mengaku berpuasa dan solat tarawih, tetapi mula menjalankan aktiviti untuk mengagalkan para pelajar universiti ini, atau sekurang-kurangnya cuba mempengaruhi para pelajar universiti Ramadhan untuk cuba 'release' sedikit tekanan menghadapi perjuangan melawan nafs dengan memutarkan irama-irama lagu hari raya, bagi membuka mood hari raya.
Ya...se awal dua atau tiga hari semester pertama dibuka lagi, golongan pengacau yang mungkin didalangi oleh anasir jahat ini telah mula berkeliaran untuk merosakan fokus para pelajar universiti agar tidak keterlaluan dalam melaksanakan tugasan serta ketenangan dalam menghadapi sebarang ujian di kampus ramadhan ini.
Di peti televisyen yang terletak di ruang tamu rumah dan juga pejabat, hampir keseluruhan saluran akan memaparkan acara masakan dan makanan seawal jam 9 pagi lagi. Apa tujuannya? Adakah berpuasa selama beberapa jam itu adalah kerana untuk menikmati hidangan maha lazat setiap kali waktu berbuka?
Juga di peti televisyen kerap ditayangkan pelbagai kisah, drama, sinetron atau apa sahaja yang memakai nama universiti Ramadhan, tetapi tanpa segan silu mempromosikan adengan pergaulan tanpa batasan antara pelakon terlibat yang bukan mahram..
Lagu hari raya sudah menjadi dendangan WAJIB hingga ringtone HP juga boleh diubah apabila sahaja di pintu universiti Ramadhan..
Ramai di kalangan pelajar universiti Ramadhan ini kini seolah sudah tidak sabar untuk menghabiskan semester terakhir. Bagai tidak boleh ditahan² lagi. Tatkala saudara² kita di belahan timur tengah semakin ramai mendatangi rumah Allah sambil menangis, merayu dan meratap hiba di hadapan rabbul jalil, pelajar-pelajar di Universiti Ramadhan cawangan semenanjung emas akan menjadi semakin liar dengan rumah² Allah, tetapi mereka ini semakin jinak dan bersemangat mengunjungi bazaar buat persiapan menyambut hari kemenangan?
Mereka akan disibukkan dengan dentuman mercun, menguli kuih raya, menjadi peniaga cendawan tumbuh, dan banyak lagi guna untuk menyambut hari lebaran? Tidakkah kita faham bahawa peperiksaan final akan berlangsung pada semester akhir ini? Apalah gunanya sibuk menyiapkan pakaian baru untuk konvo, menyiapkan kasut untuk konvo, menghabiskan duit dan tenaga untuk persiapan konvo, tetapi mengabaikan masa dan ruang untuk study bagi menghadapi final exam?
Akhirnya, mendapat keputusan gagal dan tidak boleh atau tidak layak untuk diijazahkan dengan sijil taqwa...alangkah ruginya...alangkah ruginya...alangkah ruginya..
Tahun depan kan boleh cuba lagi...kalau Allah hendak menawarkan lagi kepada kita pengajian di universiti ini. Kalau kita dipanggil sebelum tiba semester pengajian tahun hadapan, bagaimana?
Ulasan