Bahaya baraan / marhaban? : Pendedahan luar jangka

Artikel ini mungkin agak kontroversi..khususnya di negeri gapura selatan, hujung tanah semenanjung emas yang makmur dan kunun terpelihara ini, yang mengamalkan sambutan syawal selama 30 hari tidak boleh kurang, tetapi tiada mengapa jika ianya terlajak hingga menjengah ke tengah laman zulkaedah...




Bahkan masjid jame juga sanggup mengadakan majlis marhaban sekampung, mungkin mengambil nama atau 'berkah' kenduri sekampung yang dianjurkan di bulan syaaban guna mengenang para arwah yang telah pergi, namun makanan dan sebagainya begitu banyak disediakan hingga kadang-kadang mengundang tali persaudaraan ala-ala MoU dengan syaitan...

Tersebut kisah akan berlakunya sebuah kematian di salah sebuah taman perumahan sekitar jam 3.00 petang. Namun, ahli qaryah enggan menyempurnakan jenazah secepat mungkin dengan alasan wujudnya baraan dan marhaban di peringkat taman pada hari yang sama. Maka dianjurkan agar urusan jenazah diselesaikan pada keesokan harinya. Maka bersetujulah sekelian ulama dan imam serta bilal qaryah akan perkara itu..

Namun, apa pula jadi dengan hadis berikut :-

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Bahawa Nabi s.a.w bersabda: Segerakanlah pengurusan jenazah kerana jika jenazah itu baik maka sudah sepatutnya kamu menyegerakannya. Jika sebaliknya maka jenazah itu adalah keburukan yang kamu letakkan (lepaskan) dari leher-leher kamu (dari tanggungjawab kamu). (Muslim)

Tetapi tiada pula ditemui (baca : belum ditemui) akan hadis yang menganjurkan mengenai amalan mengadakan baraan dan marhaban setiap malam sehingga selesai ke setiap rumah di kalangan kamu...atau menganjurkan agar didahulukan atau disegerakan melakukan ziarah hari raya di antara kamu sepanjang syawal...

Gerakan marhaban ini juga boleh dikatakan hampir menyamai paksaan untuk menghadiri rumah ahli qaryah. Para ahli qaryah selalunya akan diberi satu notis beserta tarikh kehadiran rombongan marhaban, tetapi ini tidak berlaku di serata tempat. Mungkin hanya kes terpencil. Maka apabila notis sampai, tuan rumah sudah tentu perlu menyediakan juadah tertentu. Kita tidak dimaklumkan mengenai jumlah hadirin. Main agak² sahaja. Berpeluh juga tuan rumah hendak menyediakan juadah. Di sesetengah rumah, dikerahnya ahli rumah atau bekas ahli rumah (anak menantu-pen) untuk membantu. 



Maka apabila rombongan tiba, boleh jadi rumah pertama atau rumah terakhir atau pertengahan...mungkin ahli rombongan semakin mengecil berbanding di rumah pertama. Ada kemungkinan makanan yang disediakan sama sahaja dengan dua tiga rumah sebelumnya. Ada ada suara sok sek pok pek yang cuba mengecilkan hidangan yang mampu dijamu dek tuan rumah. Adakah ini mendatangkan kebaikan?

Di sesetengah kawasan, dengan bilangan rumah yang berskala besar, bermula kenduri di bulan syaaban lagi ianya dibuat bertalu-talu, kadangkala satu malam hampir 3 rumah. Bayangkan satu rumah yang pertama mengambil masa satu ke dua jam termasuk yasinan, doa dan makan, naik kerumah kedua mungkin dah pukul 10.30...tentu menjejak ke pukul 12.00 malam....rumah ketiga bila nak mula? Maka akan berlaku pembaziran pada rumah ketiga, kepenatan tuan rumah menanti, rungutan anak menantu yang terpaksa hadir sedangkan esok hari bekerja...Hal ini juga terjadi dalam perayaan marhaban @ baraan...hingga menjejak ke larut malam..atau biasa digunakan hingga embun jantan menitik...bahkan adakalanya menyinggung bilangan jamaah subuh keesokan harinya..maka apakah ada kebaikan darinya selain dari penat dan penambahan jumlah kandungan kolestrol dalam darah?

Dan berdasarkan ini...dimana kebaikan baraan dan marhaban? Para pejuang baraan tentu merasa tersinggung dengan penulisan agak kejam ini..namun fikirkanlah. Tidak salah berziarah dan berkunjungan atas nama marhaban, tapi hati tuan rumah perlu dijaga. Adab-adab berziarah perlulah ditekankan di kalangan ahli...antaranya;

1. Tidak berada keterlaluan lamanya di rumah yang diziarahi;
2. Tidak makan terlalu banyak di satu-satu rumah menyebabkan rumah selepas itu terjadi pembaziran;
3. Tuan rumah tidak perlu menyediakan juadah berlebihan...
4. Tidak berbual kosong khususnya menyebut kecelaan tuan rumah dari segi juadah yang disediakan atau keadaan fizikal rumah;
5. Menjauhkan halaqah umpatan..

Dan dikhabarkan jua disesetengah lokasi, adanya percampuran antara kumpulan marhaban lelaki dan perempuan hingga melahirkan bibit² yang kurang digemari oleh agama ...

Juga berlaku anggota kumpulan ini yang menjadikannya sebagai pentas untuk memulaukan golongan yang dianggap kurang kemampuan ataupun cuba menghindari dari bercampur dengan pihak yang enggan menyertai rombongan ini atas alasan tersendiri. Ya...wujud dikalangan ahli qaryah yang enggan menyertai rombongan ini atas alasan mengelak fitnah. Dan ini bukanlah sebuah dongengan..

Kadang² di sesuatu kawasan rombongan terdiri dari majoriti kanak² yang memang jarang ditemui dimuka pintu surau...tetapi pabila ada rombongan merekalah golongan pendahulu. Kadang² juga golongan ini kurang disenangi oleh tuan rumah dek kerana mempamerkan perilaku yang agak kurang sopan sama ada tatkala makan, atau tatkala para peserta senior sibuk membaca selawat..

Maka para ulama,imam, bilal dan AJK masjid dan surau beserta pak naib dan penghulu. Cuba fikir² kan dengan penuh teliti...

Tak salah membuat rombongan ziarah ...sebagai alternatif, sebuah kampung yang ada beberapa rumah, buat terus rombongan masuk setiap rumah paling lama lima minit, tanpa sebarang jamuan. Jamuan contohnya dibuat di masjid. Misalnya, rombongan marhaban pada hari raya pertama bermula waktu dhuha dan berhenti sekitar waktu zawaal dimasjid qaryah misalnya. Maka akan diadakan jamuan yang agak berat di sana. Kalau diadakan pada waktu malam selepas isya juga berkondisi yang sama, cuma mungkin jamuannya di rumah terakhir atau di balai raya....atau seqadar secangkir air...

Wallahu a'lam







Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol