kibaran bendera : patriotik sangatkah kita?
Sambutan Hari Kebangsaan semakin mendekat. Dengan tema mendayu, "Disini Lahirnya Sebuah Cinta" acara pelancaran sambutan bulan kemerdekaan silih berganti menjadi agenda di setiap pejabat kerajaan dan jarang-jarang pula di pejabat milik swasta.
Acara tahunan ini sangat sinonim dengan amalan pengibaran bendera jalur gemilang. Kalau beberapa tahun sebelum ini, amalan mengibarkan bendera adalah amat meriah dan rakyat begitu membara dan kelihatan bangga sekurang-kurangnya untuk mempamerkan jalur gemilang kecil pada kenderaan mereka.
Selepas berlaku 'peristiwa besar' sekitar tahun 1998-1999, amalan pengibaran Jalur Gemilang mula menjadi layu dan agak suam-suam kuku. Maka semenjak itu, pihak berwajib mula melancarkan pelbagai kempen untuk menarik rakyat agar kembali mengibarkan jalur gemilang.
Mungkin bagi pihak pemerintah, mereka melihat bilangan sang pengibar jalur gemilang adalah mewakili jumlah pendukung dan penyokong tegar mereka. Mereka berpandangan bahawa golongan yang ingkar atau malu² alah untuk memasang kibaran bendera itu boleh dianggap sebagai pendukung pihak yang belum memerintah ataupun pihak yang duduk di atas tembok (baca : pagar) seperti watak humpty dumpty siiting on the wall yang amat terkenal semasa zaman sekolah rendah dahulu. Itu mungkin satu telahan awal dan umum sahaja di kalangan mereka.
Dek kerana statistik semangat pengibaran jalur gemilang saban tahun semakin merundum, maka ada organisasi yang begitu bersemangat dengan membantu memasangkan jalur gemilang mini di setiap kenderaan milik stafnya. Meskipun ianya tidak dipinta atau dipersetujui atau diredhai oleh staf tersebut. Mungkin alasan mereka, kalau nak dikeluarkan arahan mana mungkin ada staf yang mahu memasang sendiri. Maka satu cara tersendiri ialah dengan 'memaksa pasang'.
Orang ramai akan berkata dengan megahnya,
"wah hebat betul organisasi itu. Hampir setiap kenderaan milik staf memasang mini jalur gemilang"
"Oh begitu patrotik sekali.."
"Oh begitu mendalam kecintaan tanah air mereka .."
"Kami mesti ikut serta.."
Adakah para pembaca fikir orang diluar organisasi tersebut akan berkata seumpama itu? Ataukah yang akan berkata² ialah pimpinan politik di luar sahaja yang berkebetulan terserempak dengan sebuah dua kenderaan yang boleh dianggap sebagai 'sample' untuk memberikan suatu keputusan bahawa majoriti rakyat masih sayangkan negara mereka..
Apakah yang dimaksudkan dengan sayangkan negara itu pada mata pandang seorang ahli politik yang masih memerintah? Adakah benar jika ianya diterjemahkan sebagai 'turut menyayangi parti yang masih memerintah?'
Dek kerana metafora seumpama inilah ..maka ada pihak yang berkesimpulan bahawa memasang jalur gemilang seolah memberikan gambaran mereka masih cintakan parti yang masih memerintah, bukan hanya pada negara..
Adakala kita gagal membuat keputusan dan anggapan yang betul hingga tidak bisa untuk membezakan antara negara dan juga kerajaan yang memerintah. Juga kita acapkali ditumpulkan fikiran mengenai perbezaan diantara sebuah kerajaan yang memerintah dengan parti yang memerintah.
Dek kerana kesalah fahaman ini, majoriti penganut fahaman parti yang masih belum mampu memerintah cuba menidakkannya dengan terjemahan : tiada perlu memasang jalur gemilang..kerana ia hanyalah satu pendedahan atau bentuk sokongan kepada sebuah kuasa memerintah di negara..
Negara adalah satu entiti yang berbeza dengan sebuah struktur pemerintahan. Mungkin di negara ini, negara adalah milik Raja Berpelembagaan manakala kuasa politik yang membentuk badan legislatif adalah sebuah kerajaan yang sebenarnya diberi amanah untuk mentadbir sesebuah negara.
Manakala yang diberikan secarik mini jalur gemilang secara paksa ini, ada kalanya mereka agak alpa dalam menjaga dan memuliakannya hinggakan kerap kelihatan ianya berteraburan di jalan-jalan raya juga ditanggalkan secara paksa oleh anasir semulahjadi seperti rempuhan angin dan juga hujan. Maka bagaimana kita beranggapan ianya satu bentuk patriotisme ?
Patriotisme letaknya di sanubari rakyat. Rakyat yang benar² cintakan negara mereka TIDAK MAHU sama sekali negara menuju ke ambang kehancuran. AMAT BENCI jika berlaku sebarang kebobrokan oleh tangan kotor pemain politik yang sangat dahaga dan rakuskan kuasa. TIDAK BERKOMPROMI dengan pimpinan perosak berwatak malaikat tetapi berhati serigala.
Bukan seqadar melambai jalur gemilang tatkala menyambut hari kebangsaan. Bukan seqadar memasang bendera besar di bonet hadapan kereta dan dibawa ke lumba haram di malam hari di tengah kota. Bukan seqadar segerombolan kanak² hingusan yang masih di sekolah kebangsaan mengusung dan mengarak bendera besar di belakang basikal mereka masing² di waktu dinihari yang mana sumber dari mana mereka mendapatkan bendera itu juga boleh dipersoalkan...
Wallahu a'lam
Ulasan