Jumaat Akhir 1435
Tengahari Jumaat 29 Zulhijjah, hari terakhir dalam tahun 1435 mengikut kalendar hijriah. Manakala tatkala tenggelam matahari saat petang nanti, maka bermulalah kiraan tahun baru hijriah 1436. Seperti kebiasaan, sambutan maal hijrah nanti pada keesokan harinya akan dibuat secara formal, dengan kehadiran Ketua Agama beserta kepimpinan negara. Ada anugerah tokoh maal hijrah. Ada dendangan lagu ketuhanan. Mungkin ada syarahan perdana dari ilmuan Islam tersohor tetapi terpilih oleh kerangka politik dan kesempitan pemahaman mazhab, mengikut selera pengurus agama...
Khutbah saat ini menyaksikan salah seorang dari dua orang ulama tersohor juga terpilih, di bandar kecil, ditengah negeri Gapura Selatan memberikan khutbah dengan tajuk hijrah 1436 jua.
Dinyatakan mengenai sejarah perjuangan Rasul SAW dan kegetiran tatkala berada di Makkah selama 23 tahun. Pernah Nabi SAW cuba untuk diracun tatkala menikmati daging kambing dimana daging itu sendiri memberitahu baginda bahawa ada racun padanya. Pernah baginda nyaris ditimpa batu besar tatkala berdiri daripada sebuah mesyuarat. Pernah telaga di Jaaranah di racun ketika baginda bermiqat umrah di sana dan Junjungan meludah kedalamnya hingga racun tersebut ditawarkan dan boleh digunakan oleh para sahabat. Pernah Nabi SAW di lontar dengan batu dan najis ketika misi di Taif hingga kedengaran pada kasut baginda bunyi seolah berlopak dimana ianya dipenuhi oleh darah baginda yang mulia, hingga turun Jibrail untuk membalikkan kota taif dan ditahan oleh baginda dan didoakan agar mereka mendapat hidayah. Juga Jibrail berkeinginan untuk menyapu sayapnya di bumi Taif agar segalanya bertukar menjadi emas sebagai umpanan kepada Islam, namun ditolak jua oleh junjungan kerna tiada mahu ia orang masuk Islam dengan jalan paksaan..
Dan akhirnya konspirasi untuk membunuh baginda tiba ke kemuncaknya apabila kafir Quraisy berpakat menubuhkan pasukan dengan dianggotai 70 orang pemuda dilengkapi pedang tajam, mengepung rumah baginda yang mulia. Rasulullah SAW seterusnya diperintahkan Allah agar segera berhijrah meninggalkan Makkah menuju ke Madinah. Maka diperintahkan kepada Ali agar tidur di katil baginda, berselimut dengan selimut baginda kerna baginda akan bergerak menuju Madinah dalam keadaan rumah yang telah dikepung. Ali menyetujuinya dengan senang hati dan menjadinya sebagai satu kemuliaan dan kebanggan meskipun dia tahu bahawa maut sedang menantinya.
Dengan kalimah ini, baginda bergerak meninggalkan rumah yang penuh suka duka bersama Khadijah dan sahabat yang lain, membiarkan Ali menggantikan tempat tidur baginda..
Dan akhirnya, Nabi beserta Abu Bakr berangkat ke Madinah selepas berhenti di Gua Tsur selama tiga hari dan dilindungi Allah dari mata² jahat kafir Quraisy dengan utusan berupa sarang labah² dan burung merpati.
Dan ketibaan baginda di Madinah disambut dengan sambutan gilang-gemilang sekali...
Dan menjelang maghrib nanti, jamaah diseru agar menghadiri masjid dan surau untuk membaca doa awal dan akhir tahun
Jamaah juga diseru agar berpuasa pada hari ini dan esok dan dijanjikan dengan keampunan selama 50 tahun, tidak tahu pula ini hadis, atsar atau kata² wali.
Jamaah juga turut diseru untuk berpuasa dari 1 hingga 10 Muharram dan dijanjikan dengan dapat mewarisi jannatul firdaus dan didakwa merupakan hadis yang drawikan dari sayyidatina Aisya.. Para muhaddith diminta untuk mensahihkan, mendaifkan atau memaudu akan hadis ini..
Wallahu a
Ulasan