Terjah khutbah : Kisah apa khatib Jumaat ini?
Jumaat yang agak mendung dan menyegarkan selepas hujan turun sejak waktu isyraq. Sungguh nyaman sekali untuk menikmati tidur yang panjang. Agak lewat tiba pada zawaal ini hingga sang muazzin sedang mengumadangkan seruan barulah penulis menjejak kaki di tangga sebelah kiri tapak masjid tua di kampung milik bumiputera. Masjid dua tingkat yang disolek dengan sedikit bangunan baru dua tingkat.
Seusai azan kedua, sebenarnya selepas peringatan sang muazzin, khatib yang merupakan mantan orang kenamaan negeri berdiri di bawah naungan mimbar kayu bercat berkilat. Perkara pertama yang disebutkan ialah mengenai orang yang muflis di akhirat. Disebutkan akan hadis yang membawa maksud bahawa Nabi SAW bertanyakan kepada para sahabatnya berkenaan dengan orang yang muflis. Dikhabarkan oleh Junjungan bahawa orang yang muflis di akhirat ialah orang yang datang dengan membawa amalan yang banyak. Namun akhirnya segala amalan tersebut dituntut oleh orang yang pernah dicaci dan dimaki serta dizalimi tatkala hidup di dunia dahulu hingga menyebabkan segala amalannya habis diberikan kepada orang yang dizalimi. Dek kerana masih ada perkara yang belum selesai sedangkan amalan telah habis, maka dipikulkan dosa orang yang pernah dizalimi dahulu tatkala berada di dunia ke pundak orang yang menzalimi tadi yang asalnya datang dengan bergaya penuh limpahan pahala, akhirnya terjerumus ke neraka. Itu definisi muflis mengikut kalam Junjungan Besar Muhammad Rasulullah SAW.
Khatib lebih menekankan mengenai tindakan orang yang mencaci dan memaki orang lain yang bakal dianugerahi pingat muflis di akhirat kelak. Bagaimana dengan orang yang menghalang hak orang lain dari diterima? Bagaimana dengan kepimpinan yang menzalimi hak rakyat?
Penulis ingat khatib akan membaca tajuk khutbah berkaitan isu SIS, atau setidak-tidaknya berkaitan kes undang² Islam Negeri Sembilan yang berjaya dicabar dengan penuh bergaya oleh mahkamah persekutuan dan diraikan oleh para makyah dengan senyuman memikat...
Rupanya tajuk lari betul dari isu semasa. Sebenarnya teks khutbah telah disediakan lebih awal. Itulah sebabnya isu semasa senantiasa dikesampingkan oleh para khatib. Mungkin ada khatib yang agak daring, berani membaca teks sendiri mengikut isu semasa masyarakat setempat. Tapi biasanya spesis khatib seumpama ini tidak akan bertahan lama. Dia pasti akan digugurkan dengan kadar segera.
Tetapi jika khatib taat membaca teks yang disediakan hampir setahun lepas dan kadang² teks yang diperdengarkan hanya menambah perasaan mengantuk para jamaah, maka mereka selalunya berpeluang untuk meneruskan kerjaya selaku khatib mungkin sepanjang usianya.
Sudah menjadi kelaziman para pemerintah untuk mengawasi sang khatib kerana mereka sebenarnya memiliki kekuatan tersendiri dalam pembentukan negara yang stabil. Jika pemerintah membiarkan mimbar jumaat dikuasai oleh para ulama haraki yang berjuang dengan ikhlas untuk kestabilan ummah, maka ada kemungkin pemerintahan akan bergoyang dan tidak sampai setahun, sang pemilik takhta pemerintahan yang segan kepada kesyumulan Islam boleh jatuh. Hal ini tentu sahaja kurang disenangi oleh para pemerintah yang rata² melihat keuntungan khazanah negara adalah miliknya secara total. Lihatlah apa yang pernah berlaku semasa transisi antara Al Sisi dan pemerintah ikhwan sebelumnya. Mereka melarang para khatib biasa daripada memanjat tangga mimbar untuk mengelakkan rakyat menyedari akan silap mata yang sedang direncanakan.
Entah bila pula khatib hendak menyentuh perihal peristiwa akhir zaman...
Wallahu alam
Entah bila pula khatib hendak menyentuh perihal peristiwa akhir zaman...
Wallahu alam
Ulasan