Kepulangan: selamat tinggal bumi berdaulat

Hari Jumaat di Brunei ... bagi sesetengah pihak sama sahaja di mana-mana negara yang menabalkan diri sebagai negara Islam...khususnya di nusantara. Namun di sana ada kelainannya. Bagi sektor awam sememangnya mereka bercuti hujung minggu pada Jumaat dan juga Ahad manakala Sabtu adalah hari bekerja. Bagi sektor swasta, hari hujung minggu mereka ialah pada Sabtu dan Ahad.

Seawal malam jumaat, iklan berkaitan keutamaan solat Jumaat serta ancaman kepada mana-mana pihak yang mengabaikan solat Jumaat senantiasa dimainkan di peti televisyen milik kerajaan negara monarki tersebut.

Dan pada hari Jumaat, setiap aktiviti akan dihentikan mulai jam 12 tengahari sehingga jam 2 petang, termasuk aktiviti di ruang makan hotel sekalipun. Kalau difikirkan dari kotak tempurung kepala seorang kapitalis, apa kena mengena makan tengahari secara buffet di hotel dengan solat Jumaat? Biarlah ianya dibuka sebagai menguji keimanan, sebagaimana pandangan salah seorang pemimpin utama semenanjung emas suatu ketika dahulu. Kan ke rugi kalau ditutup pada masa tersebut...Tetapi nampaknya di negara kecil itu ianya tetap istiqamah dilaksanakan.

Hari Jumaat itu kami berjaya menyusuri dua lokasi, pertama muzium yang menempat peralatan dan hadiah milik raja, kedua sebuah lokasi pameran lukisan di tengah bandar seri begawan, yang bersuasana kekampungan itu.


Kami bergerak menuju ke masjid sultan omar ali saifuddin sekitar jam 12.00 tepat dibawah keterikan mentari zawaal. Mengikut waktu brunei, sang mentari akan tergelincir sedikit dari langit sekitar jam 12.15 tengahari.

Masjid agung tersergam indah dengan kubah keemasan itu sangat mengkagumkan jamaah asing seperti penulis. Sayang, kami dilarang mengambil gambar di dalam masjid. Satu bentul larangan yang sudah tidak terpakai lagi di Haramain, namun ianya tetap utuh di bumi khilafah melayu terakhir itu...

Sekitar jam 12.15, azan masih belum dikumandangkan. Tiba-tiba masuk sang imam dan bilal membacakan as solatu jamiah...terpinga-pinga juga penulis. Adakah di sini, solat didirikan terlebih dahulu sebelum khutbah sebagaimana solat eid. Melihat kiri dan kanan, tidak semua jamaah menyertai acara tersebut, penulis hanya membatukan diri di satu sudut. Mereka solat sebagaimana biasa secara sir. Selesai kemudian, imam berdoa dengan penuh khusyu...

Sekitar jam 12.45, barulah azan pertama dilaungkan dan kemudian imam dipanggil untuk berkhutbah dengan kaedah yang sama sahaja seperti di masjid² majoriti di semenanjung emas, melalui bacaan al quran surah al ahzaab. 


Azan kedua dilaungkan betul di hadapan imam yang sedang duduk. Kemudian, khutbah dibaca dan kemudian solat jumaat didirikan.

Seusai solat, bergerak pulang namun tiada kesesakan yang terhidu, melainkan kesesakan kecil dan biasa di pintu keluar utama masjid.Kami berjalan pulang menuju ke hotel yang terletak amat berhampiran. 


Sekitar jam 3 petang, kami check out, menjelaskan bayaran dan menuju ke lapangan terbang. Pesawat dijangka terbang sekitar jam 1625. Selesai check in di lapangan terbang, teringat akan pakaian yang tertinggal. Hotel segera dihubungi dan mereka berjanji akan menghantarkannya dengan caj BND 20.00. 

Tatkala melepasi kaunter imigresen, kedengaran suara azan dari pembesar suara di lapangan terbang. Memori tatkala berada di haramain berulang kembali. Sememangnya pemerintah brunei menunjukkan kesungguhan mereka untuk mendaulatkan islam di bumi bertuah itu.

Sehinggalah masuk ke perut pesawat yang berkebetulan agak lewat dari jadual, bayang penghantar masih belum kelihatan. Telefon berdering dan menyatakan bahawa pihak mereka tidak dapat menghantar hingga ke gate masuk. Akhirnya, baju terpaksa di poskan namun bayaran penghantaran dengan serahan tangan tetap terpaksa dibayar.

Pesawat merah meluncur meninggalkan landasan sekitar jam 4.50 petang. Cuaca agak redup dan hangat. Kami dapat melihat deretan rumah , istana dan juga kampung air yang digelar venice timur dari ruang udara.

Kampung air yang tidak dapat kami jejaki secara fizikal kerana ketakutan untuk menaiki bot tambang laju dengan bayaran BND 0.50 ada kisah tersendiri. Dikatakan bahawa semua penduduk melayu brunei berasal dari situ termasuk tuanku sultan. Di darat hanyalah ada bangsa asli seperti murut, dusun dan sebagainya. Namun akhirnya bangsa melayu ini berjaya memerintah keseluruhan bumi brunei yang pada asalnya menganjur ke seluruh kepulauan borneo. Namun kerana kekuatan sultan sulu, penjajah british serta beberapa siri kelemahan pemerintah, brunei akhirnya mengecil keluasannya dan penduduk sekarang ialah seramai 400 ribu orang sahaja.

Kami selamat mendarat di tanah air sekitar jam 6.45 petang sebagaimana yang dijanjikan. Meskipun bertolak agakl lambat, namun janji dapat dikotakan. Meskipun tatkala berada di ruang udara KLIA, awan gelap menyelubungi pesawat, syukur kami berjaya mendarat dengan bergaya dan selesa.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol