Edisi Jumaat : khutbah seperti yang dijangkakan

Zawaal Jumaat yang agak terik. Sang mentari bersinar megah menyambut kehadiran jamaah Jumaat 25 Rabiul Awwal. Meskipun ada jua awan mega mendung yang berarak lesu di langit biru, ianya tidak menampakkan akan tanda² hujan bakal mencurah.

Tatkala berjalan kaki di bawah terik mentari zawaal, terserempak dengan imam muda menaiki motor tua. Penulis menjangkakan bahawa imam ini akan bertugas selaku khatib untuk tengahari Jumaat ini.

Tatkala kaki melangkah masuk ke ruang utama solat, ketua para imam masjid utama sedang memberikan taklimat berkaitan sesuatu. Menjelang masuk waktu, azan dikumandangkan oleh bilal lama masjid. Suara masih power meskipun orangnya kelihatan tidak berapa sihat.


Maka apabila khatib naik ke mimbar, benarlah tekaan pertama penulis. Imam muda bermotor tua naik selaku khatib pada tengahari ini. Hati agak berbunga. Boleh jadi, tajuk khutbah akan berapi dan hangat. Sehangat mentari Jumaat ini.

Selesai azan kedua, imam memulakan khutbah beliau. Nah, ternyata kali ini jangkaan penulis meleset sama sekali. Tajuk yang cuba diketengahkan pada tengahari ini ialah mengenai kewajiban berzakat.

Di negara semenanjung emas dan kepulauan borneo ini, sistem kutipan zakat telah mencapai tahap kematangan yang memberangsangkan. Zakat semakin mudah ditunaikan sama ada melalui pejabat agama, amil yang semakin ramai dilantik bak cendawan selepas hujan, bahkan boleh melalui online di bank. Kesedaran membayar zakat semakin tinggi di kalangan muslim di negara ini. Cumanya saluran zakat itu dibayar berbeda. Ada yang masih mengikut kefahaman lama dengan menyerahkan sahaja kepada pihak pemerintah. Namun ada juga yang berani menghantar sendiri zakat kepada asnaf yang dfikirkan layak. Soalnya, mengapa begitu? Mengapa ada di kalangan muslim yang berani menghantar sendiri zakat kepada asnaf tanpa melalui pejabat pentadbir zakat di daerah dan negeri? Kalaulah Khalifah Abu Bakr masih hidup, barangkali beliau akan memerangi golongan ini.

Golongan ini mungkin akan menjawab, mereka sudah hilang keyakinan terhadap institusi pemungut zakat. Institusi ini hanya tahu memungut, tetapi kurang bijak untuk mengagih. Itu sebabnya wang di baitulmal bertumpuk-tumpuk saban tahun dek kerana ketiadaan penerima yang layak, kununnya...itu hujjah mereka. Kami tetap membayar zakat. Tetapi kami tidak mahu membayar kepada institusi zakat negara. Itu sahaja. Full stop.

Tetapi perkara ini tidak disebut dalam khutbah tadi. Mustahil sang khatib yang dibayar oleh sang pemerintah mahu berkhutbah mengenai perkara ini. Silap² haribulan, tak sempat sampai Jumaat hadapan, jawatan digantung sementara...

Penulis menjangkakan bahawa khatib akan berkhutbah mengenai isu terkini. Isu Kpop memeluk gadis melayu muslim di atas pentas pada minggu lepas. Bukankah khutbah sepatutnya membahaskan isu terkini?


Penulis tidak berniat memperlekehkan isi khutbah tadi. Isu solat dan zakat juga isu penting. Namun cara pengolahan isi juga perlu diambil perhatian. Berilah contoh² terkini dengan statistik yang boleh diterima. Khutbah bukan seqadar melepas batuk di tangga seperti tahun² awal kebangkitan islam di Malaysia. Takkan isi khutbah teru-terusan dan sama sahaja, seperti halnya soalan peperiksaan awam yang diambil dari bank soalan. Berulang setiap tiga ke empat tahun sekali. 

Rasanya isu terkini yang boleh dibawa ialah soal pelukan ini. Kalau pun mahu agak ekstrem, boleh memilih tajuk yang cuba diperdebatkan oleh Eric Paulsen. Ianya mungkin boleh jadi lebih sensasi dan dilihat mampu menguntungkan pihak² yang berkepentingan politik. 


Tetapi mengapa hanya tajuk zakat yang dipilih? Adakah khatib sebenarnya semakin berhati² bila berkhutbah kerana khuatir akan cercaan Eric ini yang mungkin bisa menarik perhatian polis dunia?

Sikap para pentadbir agama yang masih mabuk dengan siri ceramah kursus perkahwinan saban minggu, sikap amil yang sibuk mencari keuntungan dengan kutipan zakat, sikap imam yang sibuk dengan upahan pernikahan mungkin menyebabkan mereka ini tidak peduli mengenai isi khutbah mingguan. Maka jadilah khutbah mingguan kita semakin hambar, lemah dan menjadi medan tidur sahaja. 

Ataukah para pentadbir agama juga amat berhati-hati agar isi khutbah tidak menyinggung rasa pemerintah yang mampu mengakibatkan bala bencana dan mengguncangkan periuk nasi sendiri?

Wallahu a'lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol