Salam Maulidur Rasul 1436
Maulid datang lagi sepertimana tahun-tahun sebelumnya. Ia adalah acara tahunan rasmi bagi kerajaan yang memayungi kedaulatan Semenanjung emas dan juga jajahan utara borneo serta sarawak. Tiada sebarang usaha untuk meminda tarikh keramat 12 rabiul awaal yang dipersetujui oleh pihak pemerintah sebagai tarikh rasmi kelahiran junjungan Muhammad Rasulullah SAW meskipun banyak pandangan lain yang lebih hampir mengatakan tarikh sebenar adalah berbeza.
Sambutan rasmi ini sebenarnya bermula seawal 11 Rabiul Awal lagi. Di daerah kediaman penulis, masjid daerah diperhiaskan dengan kosmetik lampu warna warni dan juga khemah yang menganjur di perkarangan utama masjid. Khemah tambahan dibna jua di bahagian sekolah yang berhampiran.
Menjelang Asr, tatkala menjenguk ke bangunan masjid, masalah pertama yang timbul ialah kekurangan air. Pabila jamaah menjadi ramai, air mula berkurangan . Pelik bukan? Mungkin ini keunikan yang senghaja 'diada-adakan' oleh pihak² tertentu. Kalau dikatakan ianya sesuatu yang diluar jangka, mengapa setiap kali ada majlis atau jamaah luar biasa ramai selain Jumaat, ianya berulang? Apa fungsi sang pentadbir masjid daerah? Ini bukan masjid di kampung solok atau kampung pendalaman atau kampung di dalam ladang tanah merah berselut. Ini masjid daerah yang telah terbina bangunannya sejak perang dunia kedua lagi.
Apabila takbiratul ihram bergema, masih ada manusia yang berada di luar bangunan masjid sehinggalah selesai sang imam memberi salam pertama. Manusia di luar masjid disibukkan dengan masakan untuk makan malam nanti. Manusia di luar masjid disibukkan dengan pembinaan khemah buat tetamu esok hari yang dijangka melimpahi ruang solat masjid. Manusia di luar masjid sedang sibuk dengan pelbagai persiapan awal untuk menyambut ulangtahun keputraan junjungan...
Penulis berkesempatan untuk berjamaah maghrib pada hari yang sama di masjid yang sama. Suasana masih sama. Air masih lagi tidak keluar dari beberapa kepala paip. Tandas berbau hancing kerana ketiadaan air. Manusia masih sibuk berlegaran di luar kawasan masjid tatkala imam bertakbiratul ihram hinggalah selesai memberi salam pertama.
Apakah Rasulullah SAW gembira dengan keadaan umatnya kini yang begitu sibuk dan asyik serta ghairah untuk menyambut hari kelahiran baginda tetapi enggan mematuhi suruhan dan saranan baginda Nabi SAW?
Apa bezanya kita dengan kelakuan bapa² saudara junjungan yang begitu ghairah menyambut kelahiran baginda tetapi juga begitu ghairah menentang baginda SAW di kemudian hari?
Nanti ada yang akan berkata...betapa wahabinya sang penulis ini...Biarkan ...Adakah kita yang bangga mengaku selaku ulama aliran asyaariah atau maturidiah mempertahankan keadaan busuk seumpama ini? Dimana nilai kita memuliakan nabi SAW tetapi dalam masa yang sama enggan atau segan menghargai atau melaksanakan sunnah baginda?
Selama sejak kemerdekaan kita menyambut kelahiran baginda SAW, apakah negara kita ini berubah menjadi semakin dekat dengan sunnah nabi SAW atau sebaliknya? Adakah negara kita bisa melahirkan pimpinan negara yang sangat cinta kepada Nabi SAW atau hanya seqadar peserta program cinta nabi sahaja?
Adakah dengan kejayaan kita menganjurkan pesta cinta rasul di sana-sini boleh dijadikan ukuran kecintaan kita terhadap baginda SAW tetapi dalam masa yang sama menutup mata membiarkan masyarakat terus hanyut dengan gelora kebejatan dan membiarkan negara terus dinikmati oleh individu yang tiada langsung rasa kasih sayang terhadap fuqara dan masaakin?
Wallahu a'lam
Ulasan