Tabung masjid : milik siapa?

Jumaat yang mendung dengan dengungan bunyi hujan yang mencurah meskipun tidak begitu gagah menimpa bumi membasahi tanah yang sudah agak lama tidak ditimpa hujan yang panjang. Sebaik selesai acara tafsir al quran oleh ketua imam masjid lama sebuah kampung yang bakal bergelar taman komuniti tidak beberapa hari lagi, tuan pengerusi masjid mencapai pembesar suara mengumumkan beberapa perkara. Yang menarik ialah, pengisytiharan 10% daripada hasil kutipan derma Jumaat hening akan diserahkan untuk membantu mangsa banjir pantai timur. Dikhabarkan bahawa ianya adalah saranan bersurat daripada pihak Jabatan Agama Johor. Hanya 10% ? Ertinya jika masjid berjaya mengumpulkan wang sebanyak RM1000 pada Jumaat ini, hanya RM100 sahaja yang akan dimajukan ke Pejabat Agama untuk dimajukan kepada mangsa banjir pantai timur..Itupun kalau kutipan mencecah angka itu. Jarang sekali mencapai angka tersebut. Katakan jamaah yang hadir hanya menampung seramai 500 orang sahaja dan setiap jamaah menyumbangkan hanya RM1 ke dalam tabung bergerak. Hanya dapat RM500. Ini bererti hanya RM50 sahaja yang dimajukan ke pejabat agama.

Persoalannya kenapa hanya 10% sahaja? Apakah salah jika diumumkan bahawa kutipan derma Jumaat pada minggu ini KESEMUANYA akan diserahkan untuk mangsa banjir di pantai timur. Bukankah lebih molek? Pejabat agama mungkin hanya bermain kata sahaja dengan menyebut 10%. Jika lebih besar lagi baik .. lebih panjang jariahnya. 

Kadang² kita merasa pelek dan hairan dengan tabung masjid ini. Milik siapakah sebenarnya? Adakah ianya milik mutlak AJK masjid atau milik kesemua jamaah anak qaryah? Mengapa masih ada masjid yang sibuk menghiasi bangunannya dengan pelbagai kosmetik, kununnya dari hasil sumbangan anak qaryah, namun masih ada di ceruk kampung anak qaryah yang tidak terbela, miskin renta hanya berumah beratap zink bocor dan melarat?

Adakah masjid besar dan megah serta mewah berbangga menjamu ribuan hadirin majlis sambutan maulid dengan wang sumbangan anak qaryah tetapi masih membiarkan anak qaryah miskin tidak bekerja kelaparan anak-beranak di rumah usang? Apakah mengadakan majlis besar dan membazir itu lebih utama dan disukai Rasulullah SAW ataukah membantu anak qaryah membelikan pakaian sekolah dan wang saku mereka?


Apakah gunanya pula  wang kutipan zakat yang saban tahun dijaja kerana tinggi kutipannya hingga mencapai jutaan RM tetapi hanya mampu menghadiahkan anak² miskin dengan sebuah basikal murah saban tahun? Mengapa pula tidak berani diisytiharkan 10% dari keseluruhan wang kutipan zakat tahun 2014 diserahkan kepada mangsa banjir..mengapa?


Berbalik kepada tabung masjid, adakah seorang yang dibuang kerja dengan anak seramai 6 orang boleh datang ke masjid menemui pengerusi untuk mendapatkan wang buat membeli sedikit makanan? Sudah tentu pengerusi akan membuat helah itu dan ini hingga akhirnya menyebabkan orang tadi lebih sangup menjadi pencuri, memecah dan melarikan tabung masjid tatkala manusia sedang solat dek kerana kesempitan hidup. Atau lebih parah lagi menuju ke gereja mengambil wang dan hanya menulis nama tanpa perlu pelbagai bentuk birokrasi..


Wang tabungan masjid dan surau perlu digunakan dengan sebaiknya untuk anak qaryah. Bukan seqadar dibuat jamuan setiap malam jumaat selepas yasinan. Bukan seqadar menjadi asbab untuk diumumkan sahaja di papan kenyataan masjid namun tidak pernah diketahui apa nasib wang tersebut selepas itu.

Adakah wang tabungan masjid hanya boleh digunakan untuk jamuan makan semata² dan HARAM untuk memajukan anak qaryah? Pernahkah kita dengar ada masjid yang sanggup memberikan biasiswa kepada anak qaryah untuk menyambung pelajaran mereka? 

Paling teruk rasanya, pernahkah kita dengar dalam satu qaryah, kesemua masjid dan surau yang wujud bersatu mengadakan majlis sambutan maulid kubra dengan menggabungkan segala kewangan beberapa masjid dan surau dalam qaryah tersebut dan membuat jamuan besar dan menjemput penceramah tersohor? Tentu majlis yang diadakan akan lebih meriah dan menyeronokkan. Tetapi setiap surau dan qaryah tetap mengambil keputusan menyendiri dalam membuat sambutan meskipun kadangkala jarak diantara rumah ibadah ini hanya lima km sahaja...

Pernahkah kita mendengar di zaman Rasulullah SAW ada sahabat yang membangunkan surau atau masjid lain selain masjid nabawi meskipun jarak rumah mereka agak berjauhan. Mereka tetap hadir setiap waktu ke masjid. Yang kedengaran hanyalah pembangunan masjid dhiror yang dikutuk oleh Allah dan diabadikan di dalam al quran. Kita hanya sibuk memperbanyakkan bangunan masjid dan surau tetapi membiarkan jamaahnya hilang dan lengang sedang Nabi SAW dan para sahabatnya sibuk memperbanyakkan jamaah di dalam masjid nabawi tetapi tidak pula memikirkan hendak membuat lebih banyak masjid dalam qaryah madinah itu sendiri.

Tabungan masjid perlu dikembalikan kepada yang berhak...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol