Masalah di organisasi : Pelan tindakan penambahbaikan

Tajuk pada kali ini seperti tajuk pembentangan KIK pula. Kita biasa didedahkan dengan pelbagai masalah yang timbul di tempat kerja. Ada pejabat yang mengandungi staf yang berpuak-puak. Bahkan kadang-kadang bukan hanya wujud dua kelompok yang tidak sebulu, bahkan melebihi pula.

Ada puak yang cuba berlumba dan bersaing sesama mereka untuk memenangi hati bos. Keadaan akan menjadi semakin parah apabila bos pula dari kalangan yang suka mendengar kata orang yang dianggap paling hampir kepadanya. Al maklumlah, dalam organisasi besar, manakan sempat sang bos hendak memantau keseluruhan kawasan pekerjaannya. Meskipun ada sang penyelia yang dianggap wakil bos di kalangan staf, namun bos ada kalanya kurang mempercayai sang penyelia, tetapi lebih terpengaruh dengan pengkisahan staf yang paling hampir dengannya. Semakin rancak sandiwara apabila staf tersebut yang tahu dirinya merupakan sumber maklumat utama bos, mula memainkan peranan menusuk jarum dan api kebencian, agar bos senantiasa berhati panas dengan puak yang dimusuhi atau tidak disenangi oleh yang berbisik itu tadi.

Maka keadaan pejabat akan menjadi tidak keruan. Pihak yang bersekongkol dengan pembisik bos akan senantiasa mencapai kejayaan dan kemenangan serta keharuman meskipun tatkala melepaskan angin. Bagi kelompok yang dimusuhi, meskipun mereka ada kalanya bekerja lebih masa, diberi lebih banyak tanggungjawab, namun tetap masih dipandang serong dan tempang oleh bos yang diinformasikan oleh sang pembisik.

Ada staf yang mempunyai masalah peribadi. Waktu kerja yang dimulai dengan punch kad selewatnya pada jam 8 tepat dan diakhiri juga dengan punch kad pada jam 5 petang hanya dipatuhi pada masa punch in dan punch out sahaja. Selebihnya, sukar untuk ditemui atau hilang entah ke mana. Kadang² ahli pejabat sendiri merasa mual dan berharap agar dia tidak ada lebih aman daripada dia ada di mejanya...

Penjawat Awam Facebook

Ada juga staf yang datang pejabat hanya untuk menatap dan update status di FB nya semata-mata, seolah-olah terpampang pada senarai tugas utamanya, mengupdate status FB, twiter dan hista, memantau penulisan FB sahabat lain dan sebagainya. Mungkin itu sudah menjadi rutin dan santapan hariannya di pejabat dan akhirnya dianggap sebagai tugas utamanya. Tugas hakiki sebenar diabaikan. Itulah sebabnya kadang-kadang kerja yang mampu disipakan dalam masa 15 minit akan memakan masa sekitar sehari suntuk untuk disiapkan. 

Penjawat awam culas kena terjah

Ada staf yang acapkali masuk lewat ke pejabat. Kununnya atas urusan anak. Peliknya, ia berterusan dan istiqamah hampir setiap hari. Semakin pelik apabila waktu pulangnya pula kerap lebih awal dari staf biasa. 

Ada staf yang membuat kerja sambil lewa. Ada staf yang terlibat dengan masalah disiplin yang kronik dan pelbagai ragam lagi. Tidak kurang juga yang sibuk menjalankan perniagaan on line.

Isu keculasan penjawat awam sebenarnya sudah sekian lama dimainkan di media² massa dan terkini usaha yang dijalankan oleh SUK negeri Selangor yang membuat lawatan mengejut ke premis yang disyaki menjadi tumpuan penjawat awam dalam waktu bekerja.

Pernahkah kita terfikir untuk mengajukan solusi atau resepi utama bagi menangani permasalahan  ini?

Adakah dengan mengadakan penguatkuasaan seumpama ini mampu menangani masalah yang semakin membarah? Kita tidak menafikan bahawa ianya juga antara elemen penting untuk membersihkan atau cubaan mengubat masalah ini.

Ada satu kaedah yang difikirkan paling ampuh. Iaitu rahsianya ialah dengan mengerjakan solat tepat pada waktunya.

Bukankah Umar Al Khattab tatkala hendak melantik gabenor, perkara yang paling dipentingkan ialah apakah calon tersebut mengerjakan solat. Dia tidak melihat kepada pengalaman pentadbiran. Dia tidak melihat kepada senioriti sahabat. Dia tidak melihat kekerapan seseorang itu bersama pasukan perang sejak zaman Rasul. Umar memilih gabenor yang tetap mengerjakan solat...mengapa? Apabila diajukan soalan, Umar menyatakan apabila seseorang itu solat, maka sudah barangpasti perkara lain akan turut dijaganya.



Nah sekarang, pernahkah seseorang penjawat awam tatkala menjalani sesi temuduga ditanya berkaitan solat? Tentu jawapannya TIDAK PERNAH.

Kita kerap diperlihatkan di pejabat kita akan golongan wanita khususnya yang akan solat zuhur selepas waktu rehat, ertinya selepas jam 2 petang. Sedangkan waktu zuhur masuk sekitar jam 1 hingga 1.30 di seluruh negara, manakala di kepulauan borneo sekitar jam 12 hingga 1 tengahari. Mengapa mereka ini tidak solat semasa waktu rehat?

Bukan hanya kakitangan wanita bahkan kakitangan lelaki juga sama. Mereka ini hanya menepati waktu pada hari Jumaat sahaja bagi negeri² yang tidak berhujung minggu pada Jumaat dan Sabtu.

Sepatutnya kaitangan awam perlu penekanan yang mendalam berkaitan pelaksanaan ibadah solat. Kita mampu mencanangkan program KIK. Kita sibuk menanamkan sikap integreti, trnasformasi kakitangan dan sebagainya. Kita menumpuk-numpukkan dalam kepala kakitangan akan kepentingan amanah. Pasukan audit kita sangat hebat hinggakan apa yang disimpan kemas di dalam seluar juga mampu dihidu dan ditelanjangkan ke muka manusia awam. 

Maka apa salahnya jika kita cuba untuk menekankan pula peri pentingnya ibadah solat dalam pentadbiran di pejabat. Apakah satu kesalahan jika ketua sesebuah organisasi menetapkan kesemua staf WAJIB menunaikan solat berjamaah di masjid atau musalla berhampiran jika mereka tidak pulang ke rumah. Ketua sub organisasi perlu memberikan laporan terperinci berkaitan tabiat solat di kalangan stafnya setiap minggu. Bukan hanya pemantauan kumpulan KIK sahaja atau pemantauan penglibatan staf dengan IS sahaja yang perlu dipantau dengan sebegitu erat. Masalah solat juga perlu dijadikan isu utama dalam mengukuhkan integriti para pekerja.

Dalam setiap mesyuarat, ketua jabatan perlu lebih kerap mengaitkan kerja yang dilaksanakan dengan solat. Mengingatkan kesemua staf agar jangan melalaikan solat. 

Pihak organisasi perlu kerap mengadakan program-program pengukuhan solat di kalangan staf yang layak. Penulis yakin dan percaya, staf yang dapat menghayati solat, maka sudah barangpasti terjamin untuk menjaga amanah-amanah yang lain.

Wallahu a'lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol