Maulid Hebat Hari Ini
Tanggal Khamis 26 Mac, hari terakhir bekerja bagi penjawat awam negeri-negeri semenanjung emas yang dipilih oleh penguasa negeri untuk berhujung minggu pada Jumaat dan Sabtu.
Organisasi tersohor mengadakan majlis sambutan maulid ar Rasul SAW peringkat organisasi. Meskipun Rabiul Awwal telah jauh meninggalkan jejaknya, namun di negeri penghujung benua selatan ini sambutan maulid masih hangat sepanjang tahun. Seolah mereka ini ingin mengingati Nabi SAW setiap hari. Seolah mereka ini ingin menjadi pencinta Nabi SAW sepanjang hayat mereka. Alangkah indahnya budaya mereka itu.
Sambutan pada kali ini amat berbeza dengan sambutan pada tahun² sebelumnya. Kalau sebelum tahun ini, penceramah dijemput dari kalangan ulama yang sibuk dengan pertikaian antara mazhab, tahun ini habaib mengambil tempat. Kalau tahun² sebelum ini masa diisi dengan perarakan yang bercampur di antara lelaki dan perempuan, berteriak² di jalanan mengalunkan solawat yang kadang² lari sebutan makhrajnya, dengan pakaian seragam dan diwarna warnikan pula dengan kain belahan, kain singkat serta tidak kurang juga pemakai kain jarang dan terbelah, berjalan di atas jalan mengelilingi tanah milik organisasi, menarik perhatian para pengguna jalan raya, menjadi buah mulut di kalangan penduduk berhampiran, tetapi belum tentu mendapat catatan yang baik di kalangan para malaikat...
Kali ini majlis diserikan dengan qasidah kumpulan al mawlid. Alangkah indahnya. Sebelum ini, biasanya suara serak tok bilal dan beberapa ustaz jelmaan akan mengumandangkan solawat, tahun ini bunyi solawat semakin lunak dan bersenandung.
Namun, yang menyedihkan, organisasi ini seolah kekurangan staf dari kalangan jantina yang sama dengan penulis. Dari belakang dewan agung, kaum hawa memenuhi hampir 2/3 dewan, manakala ruang khas untuk kaum adam hanya diisi sedikit di hadapan, setompok di tengah, yang agak ramai di bahagian belakang, tetapi masih belum mampu menyaingi kaum hawa.
Adakah kaum adam sudah kehilangan punca, atau majoriti di kalangan mereka adalah penganut fahaman anti qasidah?
Amat malang dan merugi sesiapa yang gagal hadir tanpa keuzuran. Amat malang dan rugi mereka yang lebih sanggup minum di luar dari duduk mendengar. Alangkah malang dan rugi mereka yang hanya singgah untuk mengisi kedatangan buat mendapat habuan tatkala penilaian akhir tahun nanti...
Bukankah Junjungan Besar Muhammad Rasulullah SAW ada menyatakan dalam sebuah hadith, jika kamu melalui taman-taman syurga, maka nikmatilah ia..
Para sahabat bertanya dalam kepelikan, di manakah taman² syurga itu Ya RAsulullah?
Jawab baginda Nabi SAW, itulah majlis² ilmu.
Ertinya, jika senghaja tidak menikmati taman syurga di dunia tanpa sebab dan alasan munasabah, maka bagaimana hendak mengaku bakal mendapat taman istimewa di negara akhirat kelak?
Wallahu a'lam
Ulasan