Falsafah umrah : kemana?

Seorang lelaki sedang duduk melepaskan lelah sambil menikmati secangkir air zam-zam, sebaik selesai solat sunat tawaf di belakang maqam Ibrahim. Ketika itu,matanya tertumpu pada sekumpulan jamaah yang berebut-rebut untuk mencium hajar aswad di sudut bangunan tua yang dibangunkan oleh Ibrahim dan anaknya Ismail.



Jamaah yang berebut itu kebanyakannya dari golongan berumur pertengahan. Saling tolak-menolak dan kelihatan hampir berkelahi untuk bersegera menikmati haruman hajar aswad yang diriwayatkan di dalam hadis sebagai batu yang diturunkan dari jannah. 

Diriwayatkan dari Ibn Abbas, Nabi SAW bersabda, "Hajar Aswad dari batu-batu syurga dan tidak ada satu benda di bumi yang diturunkan dari syurga melainkan batu itu" (Riwayat Thabrani)

Polis yang bertugas terpaksa mengawal keadaan agar tidak timbul sebarang perkelahian.

Lelaki tersebut hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat saudara-saudara yang sanggup bertolak dan berasak untuk segera menghampiri batu tersebut. Terfikir di ruang tempurung kepalanya, apakah itu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya?

Dia teringat akan kisah yang dinyatakan oleh salah seorang teman umrahnya beberapa ketika dahulu.

"Aku juga amat berhajat untuk mengucup hajar aswad. Maka sebaik selesai bertawaf dan solat sunat di belakang maqam ibrahim, aku segera menghampiri penjuru kaabah, masuk ke dalam tolakan dan asakan gelombang manusia yang kelihatan begitu taasub untuk menyampaikan hajat yang sama. Tiba-tiba muncul beberapa orang muda yang serumpun menghampiriku dan menawarkan untuk membawa aku ke hajar aswad. Melihat kepada kesungguhan yang ditunjukkan serta kecekalannya, maka dia mengikut lelaki-lelaki itu mengharungi gelombang manusia menuju ke kawasan tersebut.

Betapa aku amat bersyukur kerana dikurniakan Allah akan nikmat tersebut. Kemudian, sebaik beransur, lelaki muda serumpun yang membantuku tadi lantas kuucapkan terima kasih. Namun, rupanya dia menginginkan sesuatu dariku..

Upahnya...dua ratus riyal...

Wah...Bila masa kita ada persetujuan ini..

Tidak...bapak mesti bayar upahnya

Saya tiada wang. Hanya ini sahaja, sambil menunjukkan wang di dalam dompet sekitar 20 riyal saudi. 

Oh tidak mengapa, bapak pulang ke hotel ambil duitnya, kemudian temui kami di sini..

Maka tanpa rasa bersalah, aku naik ke hotel selepas menyelesaikan umrahku, dan kemudian turun semula mencari lelaki tersebut. Begitu mudah sekali untuk menemuinya"

Lelaki itu kemudiannya bangun, membetulkan kain ihramnya dan kemudian menuju ke tempat sai untuk menyelesaikan ibadah umrahnya.



Malam selepas isya, sebelum melelapkan mata, dia terkenang perisitiwa di raudhah tempoh hari, tatkala dia memerhatikan perlakuan umat yang turut berebut tempat untuk masuk ke situ. Polis pengawal juga kelihatan begitu bertegas menghalau sesiapa yang kelihatan duduk berdoa. Hanya yang sedang solat sahaja tidak digugah. Umat berebutan lokasi untuk berdoa dan bermunajat. Tidakkah mereka malu mempamerkan perlakuan mereka ketika berada di sisi Rasulullah SAW?

Nampaknya, begitulah nilai sebenar akhlak dan perilaku umat kini. Sanggup berebut dan mengkasari sesama saudara hanya semata-mata untuk mendapat ganjaran yang memuaskan diri sendiri tanpa mempedulikan perasaan saudara yang lain? Apakah salahnya untuk beratur mengambil giliran seorang demi seorang? Tidak perlu berkasar dan menolak saudara sendiri demi untuk kepuasan ibadah diri sendiri. Apakah itu falsafah yang hendak dipungut apabila menjadi tetamu Allah?

Dengan wang sebanyak RM5,000 - RM6,000 jamaah umrah seringkali inginkan hotel yang maha selesa. Kalau boleh jarak dengan masjid hanya sejengkal kaki sahaja. Tidak mahu berpanas. Walhal hinggap di masjid seolah burung merpati terbang lalu sahaja. Keenakkan menonton siaran arab di atas tilam empuk dengan penghawa dingin serta menikmati kelazatan makanan sahaja yang di dambakan sepanjang tempoh 14 hari musafir umrah. Hingga wujud di antara jamaah yang enggan ke masjid pada waktu siang..

"Bukankah solat di tanah haraam ada ribuan kali ganda. Tak semestinya dalam masjid.."

"Imam yang berada di masjid tu semuanya w**a**...mana boleh ikut. Sesat...baik solat kat bilik hotel. Dahla sejuk dan nyaman..."

Itu antara alasan jamaah ini. Mereka sanggup bertekak dan bertegang urat di kedai untuk membeli-belah. Mereka ini sanggup bertengkar sesama jamaah kerana masalah kecil. Ada yang bertegang urat dengan mutawif dek kerana perkara tertentu.

Di mana falsafah umrah yang hendak dikutip? Adakah umrah masa kini hanyalah sebuah pakej lawatan sosial yang kosong? Mengapa tidak begitu mengambil ruang dan peluang untuk menikmati keberkahan bumi gersang penuh barakah di setiap incinya? Mengapa tiada siapa yang mahu menghayati kisah hajjar dan anaknya Ismail semasa mengerjakan ibadah sai? Mengapa enggan mengambil faksafah dari tawaf dan juga tahallul?

Sepatutnya umrah dapat membawa penyatuan kepada semua jamaah dari pelbagai negara dan mazhab. Sepatutnya kerap diadakan dialog sesama jamaah untuk menyatukan ummah. Peperangan saudara antara mazhab yang semakin meruncing dalam dunia Islam sebenarnya menuntut kepada penyelesaian yang boleh dicapai sekiranya jamaah mampu menghayati falsafah ibadah umrah dan juga haji. Tidaklah hanya seqadar pulang dengan membawa beg berisi kurma, jubah dan minyak wangi sahaja. 


Wallahu a'lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol