Falsafah umrah yang semakin hilang...bicara kedua
Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya mendekati kota makkah dengan berihram untuk mengerjakan ibadah umrah. Setibanya di pinggiran Makkah, tentera quraisy di bawah kekuasaan Abu Sufiyyan bertegas menghalang kaum muslimin daripada menghampiri Makkah.
Seorang utusan, Uthman b Affan dihantar untuk berunding. Namun, beliau gagal untuk pulang dalam masa yang ditetapkan. Maka muncul khabar angin mengatakan Uthman telah terbunuh. Kaum muslimin cemas dan kedengaran suara aggresif untuk membalas dendam. Api peperangan mula tercetus.
Beberapa hari kemudian, Uthman pulang dengan selamat ke pangkuan kaum muslimin. Akhirnya, duta quraisy datang menemui Rasulullah SAW dan dengan bongkak mengarahkan agar jamaah umrah pimpinan Nabi SAW segera berangkat pulang. Perundingan segera dibuat dan akhirnya kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangi perjanjian damai. Pada zahirnya ianya menguntungkan kaum quraisy Makkah hinggakan Umar menjadi seperti tidak percaya dan menganggap ianya berat sebelah. Namun, akhirnya ia tetap menguntungkan Islam. Nabi SAW menyembelih sembelihan dan mengarahkan agar sahabat² juga turut berbuat demikian. Umrah pada tahun tersebut di bawa ke tahun hadapan.
Kini umat Islam semakin galak dan mudah menuju dan menziarahi kedua tanah suci dengan tujuan umrah. Syarikat pengusaha umrah berlumba² menawarkan pakej hebat untuk memikat jamaah umrah membuat perjalanan suci bersama syarikat milik mereka. Pelbagai bentuk tawaran dari segi harga, jarak penginapan dari masjid, keselesaan penginapan, jumlah hari dan sebagainya dibuat.
Jamaah menjadi begitu ghairah untuk menyertai ibadah ini. Daripada seorang peneroka, hinggalah kepada selebriti. Daripada jaga hinggalah kepada menteri. Kesemuanya ghairah untuk mengerjakan umrah dengan menyertai pakej masing².
Dunia ibadah telah menjadi suatu bentuk perniagaan dan perusahaan yang menjanjikan keuntungan kepada pengusahanya. Maka timbul jualah syarikat² pembohong yang menawarkan harga murah, namun akhirnya bakal jamaah tidak dapat tiba ke sana dek kerana syarikat yang menggelapkan wang bakal jamaah tanpa ada usaha untuk mendapatkan visa. Maka dimainkan pelbagai ceritera bohong hingga sanggup mengatakan bahawa itu merupakan bahagian jamaah yang kununnya terhalang atau terhijab dari mendatangani dua tanah suci, walhal pemilik syarikat yang menjadi hijab utama.
Ada juga jamaah yang mungkin kerana syok sendiri beribadah, sanggup mendatangi tanah haraam berulang-ulang kali. Apalah salahnya jika duit yang ada dikongsikan kepada orang lain yang mungkin sukar untuk ke sana. Tentu sahaja pahala yang diterima berganda-ganda. Pahala sedekah dan juga pahala umrah penerima sedekah pasti akan diterima juga oleh yang memberi bantuan tanpa sedikit pengurangan pun.
Semasa di tanah haram, banyak sekali perilaku yang sepatutnya dijauhi sepanjang berada di sana, namun menjadi perkara yang terus diamalkan, sebagai contoh tabiat merokok.
Penawaran penginapan oleh hotel² milik keluarga Yahudi di sekitar masjidil haraam adalah amat membimbangkan. Ianya boleh merosakkan nilai ibadah umrah itu sendiri yang sebenarnya ingin menerapkan rasa sama rata dan sama rasa di kalangan jamaah umrah, telah menjadi lebur dengan menjadi perlumbaan untuk menunjukkan kemewahan dan ketinggian darjat melalui pemilihan penginapan.
Falsafah umrah yang pertama yang dibawa oleh Nabi SAW dan sahabatnya yang sanggup merentas padang pasir tandus dan kemudian tertahan pula beberapa ketika di pinggir makkah sudah terlalu jauh dari dihayati oleh generasi jamaah umrah terkini. Tiada rasa kesukaran sebagaimana yang dialami oleh para sahabat semasa itu. Yang ada kini ialah pelbagai kemewahan dan keselesaan namun masih lagi tidak disyukuri sepenuhnya oleh jamaah terkini.
Mungkin datuk nenek kita dahulu hanya mampu mengerjakan haji sekali sahaja dengan menaiki kapal laut. Jarang sekali kedengaran mereka itu mengerjakan ibadah umrah berkali².
Kalaulah sekiranya kos tersebut dapat dikurangkan, nescaya semakin ramai jamaah umrah yang berpeluang ke sana. Sepatutnya jamaah perlu memikirkan ibadah sahaja sepanjang berada di sana. Oleh itu, dengan sejumlah wang yang mungkin tanpa mengambil kira makan dan minum menerusi pakej, cukuplah dengan hanya tempat tidur di hotel yang biasa, tambang akan menjadi semakin murah dan semakin ramai yang akan mampu ke sana. Maka sudah pasti, falsafah umrah dapat dihayati dengan sepenuh jiwa raga.
Wallahu a'lam
Ulasan