Puasa itu hanya tidak makan dan minum dan dot...dot...dot..

Hari ke 13 Ramadhan ... suasana di pejabat-pejabat kerajaan sudah mula diresapi dengan semangat untuk mengejar kegembiraan syawal dan cepat-cepat ingin menanggalkan jubah ramadhan. Daripada sang penjual kuih, sang penjual pakaian hinggalah kepada pemain lagu-lagu hari raya. Semangat hendak meneruskan ramadhan hampir sahaja lumpuh.

Saf-saf solat di rumah Allah di malam Ramadhan sudah mula menunjukkan pengurangan namun belum mencapai tahap kritikal. Bazaar-bazaar Ramadhan sudah mula menunjukkan kemeriahannya. Namun kemuncak kemeriahan pengimarahan bazaar ramadhan akan bermula pada 10 malam akhir ramadhan manakala rumah-rumah Allah akan mula menunjukkan kadar penurunan jumlah jamaah yang kritikal. Seolah para malaikat yang dijanjikan untuk turun ke dunia pada malam al qadr tidak mahu diraikan atau dialu-alukan di serata bumi semenanjung emas dan kepulauan borneo ini. Benarlah kalam salah seorang ulama yang kerap disanggah oleh golongan yang beremosi dan mengaku sebagai puak yang berjaya dari kalangan 73 puak lain, bahawa bumi semenanjung emas dan kepulauan borneo sudah mula kehilangan barakah...


Suasana seumpama ini terus berulang dan diulang. Bukan sedikit teguran yang dibuat oleh para ulama dan ustaz mengenai tabiat manusia bergelar melayu-Islam ini pabila melalui hari-hari penuh berkah di bulan mulia ini. Namun ianya seolah menyiram air ke atas daun keladi. Ada sahaja alasan yang diberikan pabila ditegur. Hari raya setahun sekali. Ingat datuk nenek ibu bapa ... apakah mengingati leluhur kita hanya WAJIB setahun sekali sahaja? Bagaimana hari2 yang lain? Apa bezanya sambutan hari ibu atau hari bapa dengan sambutan hari lebaran di kebanyakan negeri salam persekutuan semenanjung emas?

Puasa bagi kebanyakan kita hanya tidak menyentuh makanan dan minuman serta isteri sepanjang siang hari. Maka waktu berbuka kita ialah dengan memenuhkan meja makan kita dengan segala hidangan dan minuman dari hujung ke hujung meja. Berbuka kita meskipun masih menyentuh kurma, namun cuba berusaha memenuhkan perut yang kosong selama 11 jam dengan aneka juadah yang mengakibatkan solat maghrib ditakkhirkan hingga menjelang azan isya'. 

Puasa bagi kebanyakan dari kita masih lagi menjamu mata dengan pelbagai drama dan liburan di hadapan monitor atau skrin tanpa mengenal mana satu yang halal atau haram ditonton. Puasa bagi kebanyakan kita hanya dengan mendengar lagu-lagu hari raya bagi merangsang nafsu dan perasaan kita untuk mengungguli kembalinya syaitan dari percutian sebulan mereka di dalam lautan hitam pada malam syawal kelak.


Puasa bagi kebanyakan dari kita masih lagi angkuh dan sombong sesama saudara dan tidak ambil peduli dengan nasib saudara kita di syria, palestin, mynmar, afghanistan, yaman dan sebagainya. Kita masih lagi menyibukkan diri dengan kuih muih, langsir baru, baju baru, kasut baru, tidak berubah sejak kita mumaiyiz hinggalah sudah berada di jurang liang lahad.


Apa erti puasa bagi kita, sedangkan Allah mendatangkan Ramadhan adalah untuk menganugerahkan kita pingat taqwa, namun kita masih tergila-gilakan pingat nafsu yang dibiayai sepenuhnya oleh iblis dan pengikutnya...

Apa erti puasa bagi kita dimana Allah memberikan tawaran hebat malam al qadr, sedangkan kita masih sibuk mengejar bazaar ramadhan, khususnya di sepanjang 10 malam yang terakhir pada bulan berkat ini?


Dan akhirnya benarlah kalam Rasulullah SAW, "Berapa ramai yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa² melainkan lapar dan dahaga sahaja"

Betapa ruginya kita. Kita berpuasa kerana hendak beraya. Kita berpuasa kerana hendak mengikuti sunnah para artis yang paling seronok dan gembira pada hari raya, seolah meraikan kepulangan syaitan ke pangkuan masing-masing lagaknya...


Sampai bila kita akan terus berpuasa seumpama ini? Adakah sepanjang kehidupan kita yang sangat sementara ini?

Wallahu a'lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol