Mercun berdentum dari plaza low yat

Hari ke 27 Ramadhan kebanyakan umat awam muslim kelihatan agak bersemangat untuk memecut menuju 1 syawal. Wajah yang pada awal Ramadhan kelihatan agak kusam, lemah tidak bermaya, kini kelihatan semakin bertenaga di hujung Ramadhan. Mungkin kerna disuntik dek kecerahan taman rohani di malam al qadr kelmarin, ataupun disuntik oleh keghairahan menyambut syawal.

Di hadapan rumah penulis, sebaik tiba di halaman, sudah kedengaran dentuman meriam buluh. Ya...sudah terlalu lama rasanya bunyi dentuman ini tidak bergema. Sudah berdekad. Namun kini seolah dihidupkan kembali. Tanpa rasa segan dan silu. Tanpa ada rasa gementar, sekurang² nya pada pihak berkuasa.

Mercun besar dan berkeupayaan tinggi juga sudah mula beredar di kalangan sahabat². 



Itu adalah syiar hari raya. Hari raya di negaraku. Syiar ini juga turut dirasai oleh muslim di Syria, Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya yang kini menjadikannya dendangan tiap hari dan masa. Namun dendangan itu sudah menyebabkan mereka benci. Menyebabkan mereka pekak. Menyebabkan mereka merana. Berbeza kita di negaraku..


Dentuman mercun dan meriam jadian ini tidak mengira waktu kini. Ianya akan lebih memekakkan di malam eid kelak. Ibu bapa, datuk nenek, makcik pakcik, walau segarang manapun mereka sebelum ini, seolah diam dan merestui apa yang dilakukan oleh anak cucu mereka. 

"Itukan budaya kita...Diwarisi dari dulu lagi"

Sayangnya, warisan Nabi SAW menyambut eid tidak pula mahu dicedok. Resam sahabat Nabi SAW meraikan Eid dan menangisi pemergian bulan agung tidak pula mahu dituruti. Apabila imam upahan tarawih memanjangkan bacaan, cepat sahaja jamaah membuat aduan dan komen. Akhirnya walau setinggi mana tahap hafiz sang imam upahan tarawih, hanya mampu membaca satu ayat sahaja selepas al fatihah di setiap rakaat nan dua puluh. Itulah resam dan budaya negaraku.

Bercakap mengenai rakaat tarawih, jangan disentuh lagi isu 20 atau lapan. Nanti ada yang melenting. Biarpun jamaah selepas berlalu lapan rakaat menjadi hanya satu saf atau lebih kecil dari itu, Pengerusi masjid atau surau tetap menitahkan agar ketaatan penuh dilaksanakan terhadap arahan bertulis sang penguasa agam yang tidak mahu rakaat tarawih itu kurang dari 20. 


"Di makkah madinah pun pun 20.."

Betul...tapi mereka baca satu rakaat satu muka al quran...kita?

Berbalik kepada mercun dan meriam, tiada siapa lagi yang mahu peduli sama ada dentumannya itu menyakitkan hati jiran atau tidak. Sama ada ianya memberikan kesan negatif atau positif terhadap cara seseorang itu beragama atau tidak.

Itu sikap orang kita. Yang mengaku mewarisi agama ini dari datuk nenek moyang mereka. Maka apabila low yatt menjadi saksi bisu akan kunun hebatnya bangsa yang kantoi dek kerna perlakuan mencuri HP, mengamuk sakan dan terus dihebahkan menjadi isu perkauman, kita khuatir hanya akan menjadi bahan sendaloka mereka yang bukan muslim. Mungkin mereka menggeleng kepala dan pelek,

"orang puasa kan sabar.."

"orang puasa kan kuat menahan nafsu.."

Tetapi apa bentuk ketahanan nafsu, sedang untuk menahan nafsu bermain bahan letupan di kampung juga sudah tidak bermaya...apa diharapkan kepada gema takbir yang layu dan mendayu. Menarik manusia supaya menangisi orang yang jauh. Kenapa tidak takbir itu digagahkan menjadi takbir kemenangan sebenar? Apakah sebenarnya orang kita masih gagal menjalani peperiksaan di madrasah Ramadhan saban tahun?

Hanya di negaraku...

Wallahu a'lam


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol