Jumaat yang aneh

Jumaat hari keempat dalam bulan Zulhijjah seminggu selepas tragedi yang mengorbankan beberapa jamaah haji di masjidil haraam, penulis menunaikan Jumaat di jame qaryah penulis selepas beberapa minggu berada di luar kawasan. 

Seusai solat Jumaat, imam @ khatib senior bangun menyeru jamaah agar menyertai solat hajat yang telah diiklankan sebelum takbiratul ihram Jumaat tadi. Disebut akan arah tuju solat hajat itu memohon agar segala perkara yang berlaku dalam negara dapat diselesaikan dengan segera oleh yang Maha Berkuasa. Tatkala dia menerangkan mengenai kaifiat solat hajat, beberapa jamaah telah kelihatan angkat punggung sama ada bergerak balik atau mencari ruang di bahagian belakang untuk solat ba'diah Jumaat. Sebaik takbiratul ihram, semakin ramai jamaah yang keluar dari masjid. Agak aneh kerana solat hajat itu dilaksanakan bertujuan agar Allah menyelesaikan masalah yang melanda negara, namun kenapa rakyat yang cintakan negara meninggalkan acara tersebut?


Secara analogi, seorang bapa memberikan amaran kepada anak²nya agar jangan keluar rumah pada malam hari, jangan ke disko dan jangan melakukan perkara² yang melanggar ajaran Tuhan. Tetapi, sang bapa ini pada masa yang sama menganjurkan sambutan hari jadi anaknya dengan penuh acara gilang gemilang di halaman rumahnya. Dijemput artis yang tersohor dan kemudian diajak segala rakan lelaki dan perempuan anak²nya. Majlis berlangsung sehingga ke dinihari..


Seorang pemilik ayam ternakan sangat risau akan kehadiran musang yang kerap berkeliaran di kawasan ladang ternakannya. Dia sering memohon kepada Tuhan agar ternakan dilindungi. Tetapi dalam masa yang sama, dia tidak pernah langsung menutup pintu reban ayamnya dan membiarkannya terdedah saban hari...



Seorang lelaki datang ke masjid nabawi dan membiarkan untanya tanpa diikat di halaman masjid lantas menyertai jamaah yang ada di dalamnya. Dia kemudiannya diriwayatkan bertemu dengan junjungan SAW dan menyatakan bahawa dia bertawakal kepada Allah terhadap untanya, namun tidak menambatnya. Rasulullah SAW memerintahkan agar beliau menambat unta tersebut.

Sebuah organisasi tersohor akan melaksanakan sambutan tahunan yang begitu berprestij dan ditunggu² oleh sekelian warganya. Sehari sebelum acara bermula, seusai solat Jumaat solat hajat didirikan dengan maksud agar segala program yang diatur dapat berjalan dengan baik. Keesokan harinya, program dimulai dengan konsert dari pasukan artis lama yang dahagakan secangkir keglamouran yang sudah pudar dari wajahnya. Maka melonjak sang warga yang hadir seronok dan gembira dalam percampuran 'cukup terkawal' . Imam solat hajat semalam hanya mendiamkan diri. Walhal dia tahu apa yang bakal berlaku saban tahun. Pentadbir agama di organisasi itu juga faham akan kelangsungan pelbagai dengungan muzik dan percampuran budaya yang bakal merosak tidak banyak sedikit pemikiran muda, namun hanya membatukan diri sahaja.

Begitu juga kita yang disogokkan dengan solat hajat memohon agar Allah menyelesaikan masalah negara kita, tapi dalam masa yang sama membiarkan para rasis berkumpul dan membuat kekacauan di persekitaran ibu kota. Tidak kedengaran dari mana² ulama tersohor akan pengharaman dan penghalalan darah para pendemo berbaju merah kali ini. Tidak seperti demo yang dilakukan sebelum ini oleh sang kuning. Seolah berlumba sang penfatwa memberikan pandangan dan mengharamkan serta berani menghalalkan darah mereka.

Kegilaan apakah yang sedang berlaku ini? Adakah kita cuba memain-mainkan Tuhan dalam rumahNya sendiri? Kita mohon agar diselesaikan segala permasalahan tetapi kita sendiri yang terjun ke dalam kebinasaan?

Wallahu a'lam 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol