Kemana jamaah menghilang?
Menjelang zuhur, dua hari sebelum hari wuquf, penulis berkejaran ke sebuah surau berhampiran sebuah taman perumahan. Namun sebaik tiba, suasana surau lengang tanpa kelibat jamaah mahupun AJK.
Penulis mengambil keputusan untuk ke hadapan lagi di dalam kawasan taman perumahan yang sama. Jarak tidak dampai 3 km. Alhamdulillah, tatkala tiba di pintu pagar surau, ianya sudah terbuka sedikit menandakan wujud jamaah di dalamnya. Selesai bersuci, tatkala masuk ke perut surau, hanya ada dua orang jamaah yang menanti.
Seusai solat qabliyah, iqamah dikumandangkan dan salah seorang dari dua orang tadi mengimami solat kami. Ya..hanya tiga orang, dua orang adalah ahli qaryah.
Sebuah taman perumahan juga yang dilintasi oleh penulis petang jumaat berjerubu dalam hari tasyriq yang tiga berhadapan rumah majoriti muslim tersergam di atas kawasan bukit sebuah binaan kuil yang begitu gah. Khabarnya dalam taman kecil yang majoriti adalah muslim itu, terdapat tiga kuil termasuk yang paling gah dan sedang dalam proses pembinaan itu. Kedengaran kerja² pembinaan masih berjalan meskipun jam sudah menunjukkan ke angka 7 malam dan jerubu semakin pekat menghadang pemandangan normal.
Wujud sebenarnya surau di kawasan taman tersebut. Tapi letaknya di kawasan paling hujung di lokasi rumah pangsa, yang sering kehilangan jamaah. Kalaupun ada, hanya pada masa maghrib dan itupun bukanlah setiap kali maghrib ianya berpenghuni.
Alangkah malang sekali....
Kes pertama kekurangan dan kehilangan jamaah mungkin dek kerana ahli qaryah kurang memahami kepentingan jamaah.. Ya..sejak dari kecil, kita anak² bani jawi hanya diterapkan bahawa solat berjamaah itu sama hukumnya dengan solat jenazah, iaitu fardhu kifayah. Bani jawi sering berseloka, fardhu kifayah - orang dah buat yang lain tak payah. Maka disebabkan itu tidak begitu rancak solat berjamaah lima waktu di bumi bani jawi ini berbanding solat Jumaat. Mengenai solat Jumaat, semua muslim yang menerima pendidikan akan diterapkan bahawa solat jumaat itu fardhu ain atas setiap lelaki yang cukup syarat. Oleh sebab itu solat jumaat biasanya akan dilimpahi jamaah. Namun agak pelik juga kerana limpahan jamaah Jumaat tidak sama dengan limpahan jamaah eid adha mahupun eid fitri. Jika dibuat perbandingan, antara solat eid : solat Jumaat : solat lima waktu berjamaah skala yang didapati ialah 9 : 7 : 2...sangat berbeza bukan?
Mungkin atas sebab ini, berlaku 'tragedi' di taman satu lagi dimana dibina sebuah kuil hebat dan besar di puncak desir angin. Mungkin pada pandangan penulis, ianya kuil yang terbesar dalam daerah ini. Dan pada pandangan penulis juga, daerah ini merupakan daerah yang paling banyak kuil.Yalah...orang Islam jika dibangunkan surau atau masjid sekalipun di tapak kuil itu, adakah akan menjadi makmur? Jika ditakdirkan untuk dibina masjid, ada kemungkinan wujud bantahan dari muslim sendiri atas alasan masjid jame berhampiran dengan kawasan tersebut. Maka mereka ini mengambil kesempatan untuk membinakan kuil mereka di situ, tanpa perlu memikirkan sensitiviti umat.
Bukankah asbab lenyapnya suara azan di corong² masjid dan surau di pulau singapura adalah disebabkan oleh muslim di sana sendiri yang enggan memakmurkan rumah² Allah. Maka pihak berkuasa akhirnya mengambil keputusan, jika setiap waktu dikumandangkan azan dengan kuatpun yang hadir berjamaah tetap sama dan bilangan sama, maka apa perlu dilaung dengan begitu kuat, cukuplah dengan mengumandangkan azan di dalam masjid atau surau sahaja yang mengelakkan pencemaran bunyi.
Maka adalah tidak mustahil jika pihak non muslim di negara ini juga mengambil pendekatan yang sama untuk menghasilkan lebih banyak rumah ibadah mereka berbanding masjid dan surau dengan alasan kalau dibina banyak pun jamaah yang hadir masih sedikit?
Siapakah yang patut dipersalahkan? Salahkah jika sekolah² agama menekankan aspek solat berjamaah dan pengimarahan masjid dengan lebih kerap? Salahkah jika menghukumkan bahawa solat berjamaah adalah fardhu ain atas mukallaf lelaki muslim setiap waktu? Masanya telah tiba agar mufti memberikan penekakan terhadap hukum berjamaah dalam solat. Janganlah hanya asyik menghukum puak yang berselisihan dengan pemerintah sahaja. Jika benar memperjuangkan survival muslim bani jawi, kuatkan jamaah dan makmurkan masjid.
Musuh Islam tidak pernah kisah jika umat membuat demo jalanan meskipun peserta mencapai jutaan orang. Tetapi musuh Islam akan amat terkesan jika umat solat berjamaah hingga melimpah ruah setiap waktu solat..
Wallahu a'lam
Ulasan