Orang Naik Pangkat Kita Naik Tocang
Sehari dua ini heboh di sekeliling organisasi perihal sahabat² bertuah dari kalangan orang atasan yang dinaikkan pangkat. Kenaikan pangkat golongan ini telah menjadi lebih mudah dengan pengumuman pihak tertinggi berkaitan kenaikan pangkat golongan ini berdasarkan tahun perkhidmatan.
Alangkah besar nikmat yang dikurnia kepada mereka. Sudah tentu ianya datang dariNya jua. Maka jadilah hamba yang bersyukur.

Tetapi bagaimana pula dengan nasib golongan bawahan ini? Adakah dibiarkan sahaja tanpa pembelaan yang sewajarnya?
Orang bawahan ada skim tersendiri. Jangan kata nasib mereka tidak terbela. Bukankah selepas berkhidmat selama 13 tahun, maka gred jawatan akan dinaikkan? Tidakkah kamu mahu menjadi hamba yang bersyukur?
Ya...selepas 13 tahun berkhidmat, Ahmad yang dilantik sebagai penjawat gred 17 akan dinaikkan ke gred 22. Tentu Ahmad gembira tidak terkata. Tak payah nak berebut-rebut untuk mengejar pangkat. Ianya akan datang bergolek.
Tetapi selepas 13 tahun kenaikan ke gred 22, apakah Ahmad akan dinaikan lagi ke gred seterusnya iaitu 26? Minta maaf lah ye...jauh panggang dari api. Duduk la diam-diam menunggu antara dua, sama ada surat pencen atau dipencenkan awal oleh Izrail as!!
Bagaimana dengan orang atasan tadi? Jumlah tahun khidmat mereka tak perlu tunggu 13 tahun. Bawah 10 tahun Ani yang mula berkhidmat selaku pegawai gred 41 akan dinaikkan ke gred 44. Belum sempat dia habis menikmati gaji selaku 44, dia akan naik lagi ke gred seterusnya 48... belum sempat dia buat kenduri kahwin anak sulungnya, dinaikkan lagi ke gred seterusnya 52. Bertuah bukan?
Bumi ini sungguh bertuah. Yang tinggi semakin tinggi hampir menggapai awan. Yang rendah sedarlah diri, mahu diuntung....cukuplah dengan kenaikan sekali. Siapa suruh tak mahu belajar tinggi² ? Mujurlah dapat kenaikan selepas 13 tahun...kalau tak naik langsung macammana?

Wallahu a'lam
Ulasan