Tarbiyyah Sentap Buat Pendosa
Mengapa agaknya diri ini semakin terkejar² akan dunia sedangkan tempoh expire date sudah semakin hampir? Tidakkah engkau sedar akan diri bahawa apabila jasad busukmu pertama kali menginjak lubang kubur, kamu akan menyesal kerana tidak pernah mengambil iktibar dari kematian orang di sekelilingmu sebelum daripada ini?
Berapa ramai orang kaya yang dikebumikan sebelum ini, namun sesen RM pun tidak mampu dibawa ke sana bahkan tidak bernilai langsung?
Berapa ramai orang berpangkat besar yang dikebumikan di sini, namun ianya hanya menimbulkan penyesalan sahaja?
Berapa ramai manusia yang bergaji besar dikebumikan di sini, namun ianya hanya sesuatu yang sia² bahkan mungkar dan nankir tidak akan pernah bertanyakan, "Berapa gaji terakhirmu sebelum menemui kami?"
Bahkan ramai pula orang kaya yang dipertanyakan dari mana engkau memperolehi kekayaan ini dan bagaimana engkau membelanjakannya?
Orang berpangkat pula bakal ditanya, apakah pangkat yang disandang dijadikan gelanggang untuk menegakkan hukum Tuhan atau seqadar menambah keriangan hidup di dunia semata²? Atau dengan pangkat yang tidak sebesar mana itu digunapakai untuk mencari redha pimpinan atasan semata² buat menaikkan lagi darjat dan kebesaran dunia?
Bukankah Nabi SAW pernah menyatakan mengenai soal kepimpinan dan setiap manusia akan ditanya mengenai apa yang dipimpinnya?
Maka mengapa pula jiwa kotormu meronta geram tatkala orang lain berjaya mendapat habuan dunia berupa pangkat dan kebesaran serta kenaikan gaji dan engkau disisihkan? Bukankah patutnya dirimu bersyukur kerana tidak dibebankan dengan bala amanah yang semakin besar untuk dijawab di hadapan rabbmu?
Ambillah iktibar kisah yang terjadi pada zaman Rasulullah SAW di mana seorang sahabat bernama Abu Dzar Al Ghifari pernah meminta jawatan daripada Rasulullah SAW. Apakah jawaban baginda? Sesungguhnya jawatan itu akan menjadi penyesalan kepadamu di akhirat kelak.
Junjungan SAW tidak sekali-kali memberikan jawatan kepada yang begitu bersungguh² untuk mendapatkannya sebaliknya baginda akan menyerahkan jawatan kepada mereka yang begitu bersungguh² untuk menjauhinya. Kerana baginda arif mengenai perihal tabiat para sahabatnya. Apabila jawatan itu tidak pernah terbit dalam kepala sahabat, ertinya jika diberi ia akan sesuatu amanah, pasti ia akan berbuat terlebih baik dan terlebih amanah kerana taqwanya kepada Allah. Tetapi kepada yang sibuk meminta² jawatan, tentu ada sesuatu yang terselindung dan akan terdedah kepada bahaya pecah amanah dan penyelewengan.
Maka insaflah wahai diri yang kotor. Insaflah wahai diri pemuja dosa...insaflah wahai diri yang pasti akan kembali kepada Tuhannya. Apakah tidak sampai lagi masa untuk bertaubat bagimu?
Wallahu a'lam
Ulasan