Jauh Perjalanan Luas Pengalaman

Penulis memulakan musafir pembuka tirai masihi 2016 pertengahan Januari dengan melangkah menaiki kenderaan awam sekitar jam 8.55 malam dengan ditemani oleh isteri dan anak-anak. Ada wajah kesedihan  boleh ditatap dan dibaca pada mereka namun dapat diselindungi oleh riak tawa dan senyum yang mungkin cuba untuk diada-adakan. Ya..mereka akan ditinggalkan buat sementara waktu..

Jam bergerak seakan pantas menelusuri minit dan saat dengan setia sebenarnya tanpa tercepat meski sedetik ataupun terlewat sekelip kerlipan mata. Namun terasa ianya begitu pantas bersama mengharungi malam yang kian tua bertemankan bas berhawa dingin menyusur laju menuju ke destinasi. 

Pada awalnya bas yang bakal membawa penulis dalam musafir rutin hariannya pada hari yang dijanjikan akan mendaratkan penulis terus ke stesen bas pulau harapan. Namun sehari sebelum berangkat, tatkala disibukkan dengan penyiapan tugasan² akhir sebelum berangkat, telefon bimbit berdering dengan paparan nombor tidak dikenali. Pabila dijawab, rupanya dari kaunter tiket bas menyatakan bahawa bas yang bakal ditumpangi mengalamai kerosakan. Maka akan diganti dengan bas dari syarikat lain dan mendarat di seberang pulau.

Perjalanan penulis dengan bas ganti berakhir di stesen bas terakhir sebelum masuk ke pulau. Menurut maklumat sahabat, kaedah pulang murah, mudah dan dekat untuk menyeberangi selat yang memisahkan tanah besar dan pulau harapan, ialah dengan menaiki feri. Jam menunjukkan tepat jam 5.20 pagi tatkala penulis turun ke tanah yang basah akibat hujan. Mencari² penanda jalan untuk menuju ke jeti. Akhirnya, setelah berjaya penulis bergerak mengikut arah yang dipaparkan dengan menggendong beg besar di belakang.



"Encik tumpang tanya, bagaimana hendak ke jeti?"

"Oh...senang sahaja...encik lalu sahaja laluan ini.." sambil menunjukkan ke suatu arah.

"Jauh lagi ke encik?"

"Kalau orang biasa di sini tak lah jauh sangat..."



Maka penulis berjalan agak jauh juga baharulah tiba di pintu masuk jeti. Hanya seorang diri. Namun di setiap selekoh ada pengawal yang menanti. Dek kerana awal subuh itu suasana agak sejuk kerana baru lepas gerimis. Hampir kesemua pengawal yang ditemui sedang tidur...

Pabila tiba di pintu masuk jeti, wang sebanyak RM1.20 diperlukan untuk menggunakan kemudahan feri. Di bangku menunggu hanya ada tiga orang lelaki.

"Encik, feri gerak pukul berapa?"

"5.20 sudah berjalan..."

Aduss...


Maka penulis terpaksa menunggu feri kedua tanpa ada jangkaan masa. Setelah duduk lebih kurang 5 minit yang dirasakan seperti sudah setengah jam, baru terpandang paparan waktu perjalanan feri di papan iklan elektronik yang agak jauh dari pintu masuk..

"Oh...rupanya pukul 6 baru ada feri kedua"

Sekitar jam enam pagi, baharulah pintu pagar jeti dibuka dan beberapa orang penumpang yang ada dibenarkan untuk bergerak masuk ke dalam feri.



Dengan lafaz doa menaiki bahtera sebagaimana yang dirakamkan Allah dalam al quran, feri bergerak mengharungi selat. Mata penulis meliar mencari jaket keselamatan. Dimana agaknya feri ini meletakkannya. Sekitar dua minit mencari, akhirnya penulis temui kotak berwarna dalam jaringan yang terletak di bahagian siling feri tertulis..life jacket..

Dua minit sebelum tiba, azan subuh dilaungkan dari corong gajet penulis. Jam menunjukkan pukul 6.15 pagi. Sebaik kaki penulis melangkah memijak bumi pulau, azan subuh berakhir. Syukurlah selamat tiba...

Sebaik mendarat, surau dicari. Seusai solat seorang diri, bas bernombor 302 pula dicari. Alhamdulillah, setelah tanah terang, bas baru tiba di pengkalan. Pabila tiba, bukan boleh terus naik. Pemandu ada urusan lain. Sepuluh minit berlalu tanpa pemandu dan termanggu-manggu menunggu.

Akhirnya selepas tanah terang, maka terpacul pemandu. Bersama penulis ada dua orang lelaki muda yang sama nawaitu dengan penulis.

Perjalanan  kami berakhir di bahagian pintu masuk belakang bangunan asrama. Kami menuruni tangga bas dan kemudiannya bergerak menuju ke pagar asrama. Kami bersama memanjat bukit menuju ke lokasi pendaftaran asrama.

Sudah ramai yang menunggu di lobi aras dua untuk mendaftar memasuki asrama. Kalau ikut surat asal, pendaftaran akan bermula jam 8.30. Tapi sehingga jam 8 pagi, tiada seorang kakitangan pun yang kelihatan. Yang ada hanya meja tanpa kerusi...

Sekitar jam 9.15 pagi, baharulah muncul kakitangan petugas pendaftaran. 

"Boleh minta bilik tingkat satu atau dua ke?"

Penulis cuba menguji petugas. Walhal telah terpapar jelas bilik tingkat 1 dan 2 adalah dikhaskan untuk warga tua dan OKU.

"Oh...itu untuk warga emas dan OKU sahaja encik..."

Mujurlah petugas melayan karenah dengan baik...


Sekitar jam 10 pagi, penulis sudah pun berkain gombang di atas katil sementara. Namun, baharu hendak melepas lelah, pintu bilik telah dibuka oleh seseorang..

"Bang ini bilik abang ke?" tanya seorang pemuda.

"Ya..."

"eh...saya ada kunci pula ni?" soalnya agak ragu-ragu.

"tak pa...nanti saya tanya pihak asrama..." dan terus berlalu.

Penulis lantas teringat, semasa masuk tadi pintu tidak berkunci. Segera penulis mencuba anak kunci yang diberikan semasa pendaftaran tadi. Tak boleh rupanya..Maknanya penulis yang tersilap.

Maka dengan kadar segera, penulis memasukkan kembali barang-barang ke dalam beg, memakai pakaian dan bersegera untuk keluar. Sudah silap bilik ni...

Maka terpusing-pusing mencari bilik sebenar sehingga terpaksa bertanyakan kepada petugas. Rupanya bilik agak tersorok dan nombor yang tertera pada anak kunci sebenarnya agak mengelirukan...



Bilik sebenar, terpampang akan gambar dua anak dara penghuni sebenar. Penulis hanya menumpang untuk sekitar dua puluh hari...Ya dua puluh hari...

Wallahu a'lam



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol