Bertemu wahabi di perut al malik khalid

Jumaat terakhir di pulau impian...penulis masuk ke perut masjid yang indah ini agak awal kerana khuatir ketinggalan bas. Lagipun, tadi ada kelas sehingga jam 1 tengahari. Waktu Jumaat dijangka masuk sekitar setengah jam dari sekarang.

Selepas mengambil wudhuk dan solat tahiyyatul masjid, duduk beriktikaf di dalam bangunan masjid. Masjid di sini hari Jumaat tidak dimeriahkan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci al quran dan juga bacaan tazkir sebagaimana yang berlaku di bahagian selatan semenanjung emas. Masjid sunyi dan syahdu. Hanya kedengaran suara-suara kecil membaca al quran secara individu. Lagipun kerajaan negeri telah mengharamkan sebarang bunyi-bunyian dari menara, kecuali hanya bunyi azan itu. Perkara itu agak dicemburui oleh parti pemerintah dan para juak-juaknya sibuk memukul canang kununnya azan dari menara di masjid dan surau seluruh pulau impian adalah dilarang sama sekali. Namun kenyataan sebenar, hanya bunyian lain selain azan sahaja yang dilarang.

Seusai laungan azan pertama, seperti biasa, umat Islam akan mendirikan solat sunat qabliyyah Jumaat. Namun penulis tidak bersama mereka kerana berpegang kepada hadith di mana pada hari Jumaat baginda SAW sebaik selepas azan akan terus berkhutbah. Ertinya tiada berlaku solat sunat antara azan dan khutbah.

Duduk seorang lelaki yang agak berumur di sebelah penulis, lantas bertanya,

"Mengapa anda tidak solat sunat.."

"Sebab Nabi SAW tidak ada memerintahkan hal tersebut..."

Maka lelaki itu gembira dengan jawapan penulis.

"Itulah kita kasihan dengan orang lain yang tidak faham..."

Dan khutbah pada hari itu berkisar mengenai tabayyun, iaitu kaedah menyelidiki terlebih dahulu sesuatu berita sebelum mempercayainya bersandar kepada ayat 6 al hujuraat

يا ايها الذين امنوا ان جاءكم فاسق بنبا فتبينوا ان تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين


Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Ayat ini diturunkan disebabkan oleh seorang amil yang diutus untuk memungut zakat pada suatu kabilah telah tersalah anggapan terhadap kabilah tersebut yang berhimpun di hadapan pintu masuk sebagai ancaman ke atas wakil zakat, lantas pulang kembali ke kota Madinah memberitahu Rasul SAW akan ancaman penduduk tersebut. Nabi SAW lantas menyiapkan angkatan untuk memerangi kaum tersebut, lantas turun ayat ini memberitahu agar menyelidik terlebih dahulu sesuatu berita sebelum membuat sebarang keputusan..

Seusai solat Jumaat, lelaki tadi sekali lagi mendekati penulis dan berbincang mengenai banyak perkara berkaitan sunnah NabiNya SAW.

Mungkin orang seumpama ini akan dicop wahabi di kalangan ahli jamaah di kawasan selatan yang kuat mengamalkan tazkir sebelum solat Jumaat di menara-menara masjid, mengamalkan bacaan ayat ini

ان الله وملائكته يصلون على النبي يا ايها الذين امنوا صلوا عليه وسلموا تسليما

sebelum imam naik ke mimbar, baik untuk khutbah jumaat mahupun khutbah hari raya, sangat keras mengamalkan amalan bacaan dan tahlilan di malam² kematian ahli qaryah, sangat keras menolak fahaman dan ajaran tauhid tiga dan pelbagai lagi...


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol