Deklarasi rakyat : Kemana akhirnya?
Petang Jumaat minggu lepas, kita dikejutkan dengan pengisytiharan deklarasi rakyat oleh Tun M dan para pendukung beliau, termasuk para mantan musuh politik beliau sendiri yang mana intipati utama deklarasi itu adalah menuntut agar PM sedia ada meletak jawatan. Namun deklarasi tidak menyatakan secara jelas akan siapakah yang bakal menggantikan PM itu.
Maka berdengunglah para politikus kedua-dua pihak, sama ada yang menyokong atau menentang. Seperti biasa, para pahlawan dan panglima penjaga PM bertempik keras menyatakan bahawa tindakan tersebut langsung membelakangkan lunas-lunas demokrasi. Ada yang menyatakan bahawa Tun M hanya mahu menobatkan anaknya menjadi PM. Kenyataan ini agak kelakar kerana anak Tun M, Mukhriz hanya berkerusi DUN di kawasan negeri Kedah. Adakah ADUN mampu menjadi PM? Bukankah AP sahaja yang boleh?
Walau apapun kata semua orang, deklarasi telah ditandatangani. Tun M, Mukhriz, mantan TPM, mantan presiden MCA era Tun turut hadir di samping barisan kepimpinan pembangkang seperti Lim Kit Siang, Mat Sabu dan beberapa orang lagi termasuk Azmin. Malah beberapa pimpinan PAS juga muncul tanpa menghiraukan Presiden yang terang menyatakan tidak mahu bersekongkol menjatuhkan PM.
Nurul Izzah yang menjadi ikon barisan muda Malaysia turut memberikan komen bahawa PM sedia ada adalah dibentuk oleh sistem yang sama. Maka apabila jatuh PM ini (jika ditakdirkan) melalui deklarasi ini, adakah penggantinya akan muncul dari sistem yang sama atau apa?
Apakah sebenarnya nawaitu sebenar Tun M. Berulangkali apabila ditanya, beliau yang sudah 22 tahun memerintah negara menyatakan bahawa ini merupakan kehendak rakyat. Mereka berdiri di sini untuk deklarasi oleh rakyat, bukan oleh parti dan sebagainya. Itulah sebabnya mereka boleh duduk semeja pada hari ini. Benarlah akan hadith politik yang berbunyi bahawa orang politik ini tidak konsisten. Hari ini ia menjadi musuh, esok menjadi kawan, demi kepentingan politik.
Tun M bukan sebarang pemimpin. Tentu ada sesuatu yang ingin dicapai meskipun di usia lanjut ini. Sejak zaman muda, beliau ini telah berani membuat sesuatu yang diluar jangkaan. Beliau pernah menulis surat secara terbuka meminta agar Tunku Abd Rahman, PM I meletak jawatan. Akibatnya, beliau telah dibuang dari UMNO. Ini menyebabkan beliau menumpang pentas PAS untuk berkempen menjatuhkan PM...wah sejak awal lagi rupanya sudah mahu menjatuhkan PM. Alasan semasa itu ialah Tunku terlalu berlembut dengan kaum lain dan Tunku sudah tidak berupaya memerintah.
Pada zaman PM II, beliau dipungut kembali ke dalam UMNO. Makanya selepas zaman PM III, beliau telah dilantik sebagai PM. Pada zaman beliau, tiga orang TPM telah dijatuhkan. Musa Hitam, Tun Ghafar dan akhir sekali Anwar. Anwar adalah TPM yang dijatuhkan paling tragis dan bersejarah hitam. Apabila beliau meletak jawatan akhirnya, beliau menamakan Timbalan Presiden UMNO semasa itu, Tun Abdullah Badawi atau Pak Lah sebagai pengganti. Namun apabila Pak Lah dilihat lemah dan menguntungkan pembangkang, bermula dengan pembebasan Anwar dari penjara hinggalah kepada kekalahan teruk dalam pilihanraya 2008, Tun M memulakan misi menjatuhkan Pak Lah. Dengan menggunakan Muhyiddin Yassin, Pak Lah akhirnya akur dan PM VI menaiki takhta dengan restu Tun M jua. Namun, selepas pilihanraya ke 13, kekuatan pemerintah semakin melemah. Ini membawa kepada penahanan semula Anwar dengan dakwaan yang sama, kemudian disusuli kematian Ikon parti agama, dan kemudian perpecahan parti agama disebabkan oleh pemilihan dalam muktamar. Namun apabila berlalu sesuatu berkaitan duit di dalam kerajaan, Muhyiddin Yassin akhirnya dikeluarkan dari kedudukan selaku TPM dan diganti dengan Zahid. Tun M kemudian mula menyerang PM VI. Seperti dahulu jua.
Dan jika ditakdirkan serangan dan deklarasi ini berjaya, siapakah yang bakal menggantikan PM VI atau bakal PMVII? Sudah tentu dari kalangan parti yang menang majoriti di parlimen. Makanya ialah UMNO. Maka tidak mungkin anwar akan dibawa keluar penjara untuk duduk di kerusi no wahid itu. Ada kemungkin orang itu ialah Muhyiddin kerana beliau adalah timbalan presiden. Maka oleh sebab itu wujud desas desus untuk segera menamatkan karier politik Muhyiddin dalam UMNO agar jawatan itu semakin dapat dijauhkan? Maka Zahid yang sekarang memegang portfolio TPM adalah orangnya. Persoalannya, adakah zahid setulus atau sekurang-kurangnya mampu menari mengikut paluan Tun M?
Mungkin semasa sama Pak Lah, kebanyakan menteri dan ahli parti sudah termakan kata-kata Tun M mengenai kelemahan beliau. Maka mudah sekali proses penukaran PM berlaku. Lagipun, Muhyiddin begitu beriya-iya menyokong gagasan Tun M untuk menobatkan Timbalan Presiden UMNO selaku PM yang baru. Tetapi kini, Muhyiddin telah dikeluarkan lebih awal. Mungkin PM VI telah membaca kronologi zaman Pak Lah. Muhyiddin tidak boleh dibiarkan berada dalam kabinet dalam keadaan beliau tidak memihak kepada PM sedia ada. Maka langkah mengeluarkannya dari kabinet dianggap bijak oleh sesetengah pemerhati politik.
Sebagaimana kata Nurul Izzah, PM sedia ada dibentuk oleh sistem sedia ada. Maka pengganti beliau juga adalah dari sistem yang sama. Produk dari sistem yang sama selalunya akan sama. Mungkin dari segi packaging akan diubah sedikit mengikut perisa pengguna semasa agar nampak lebih kemas, hebat dan menarik. Itu sahaja. Isi kandungan sama sahaja. Sistem TIDAK di ubah. Hanya produk sahaja dikemaskini. Adalah ianya akan menguntungkan negara atau sama sahaja?
Beberapa hari kemudian, muncul pula Ahmad Said dengan undi tidak percaya di DUN Terengganu. Entah angin apa yang bertiup dan siapa pula yang membakar unggun menyebabkan beliau melenting tidak diketahui. Speaker seperti biasa akan cuba mengelak agar usul tidak dibentangkan. Itulah juga kelemahan sistem DUN dan Parlimen kerana speaker dilantik dari kalangan parti yang berkuasa. Maka akhirnya usul itu dipadamkan begitu sahaja. Apalah salahnya, kalau ia terus disambut oleh speaker dan pengundian terus dijalankan. Tentu seronok untuk melihat aksi spontan yang sebenarnya timbul dari lubuk hati sebenar. Tanpa dirancang dan direncanakan.
Sebenarnya pada hemat penulis, Ahmad Said cuba membuat satu bentuk sample kepada persidangan dewan yang lebih besar, iaitu parlimen. Untuk menjatuhkan yang no wahid, ianya tidak boleh dibuat melalui deklarasi semata-mata. Gunakanlah saluran sama ada parti atau parlimen. Jika saluran parti telah tertutup rapat, gunalah parlimen. Itu sahaja jalannya. Jika tidak berjaya kedua-dua jalan itu, tunggu sahaja hingga pilihanraya 2018. Habis cerita.
Dan sebagaimana biasa, sesuatu tentang politik yang bertentangan dengan citarasa pemerintah akhirnya akan menemui jalan buntu. Tiada apa yang berlaku. Hanya menjadi subjek kajian kepada para penganalisis dan pelajar sains politik sahaja. Tidak lebih dari itu.
Inilah kerangka politik negaraku. Walahu a'lam
Ulasan