kempen budayakan solat : pernahkah?
Pernahkah pembaca yang terbaca tulisan ini terserempak dengan kempen seumpama ini? Kempen menggalakkan muslim mengerjakan solat, atau dalam bahasa melayu menunaikan sembahyang. Sama ada kita pernah berada di sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah berasrama, kolej, universiti bahkan pejabat sekalipun, rasanya agak janggal bila kita menyebut mengenai kempen seumpama ini. Yang biasa kita dengar ialah kempen anti denggi, kempen anti rasuah, kempen makan makanan tempatan, kempen 1 rumah satu komputer dan banyak lagi. Meskipun negara ini merupakan negara yang menjadi sebutan dan pujian sebagai sebuah negara Islam yang patut dicontohi oleh sekelian negara Islam lain, namun tidak pernah kita dengar kempen seumapam ini berlaku (pada pengetahuan penulis)
Tetapi mungkin bagi penduduk negeri Siti Wan Kembang, kempen seumpama ini telahpun disuburkan. Bahkan mereka mungkin sudah terbiasa dengan kempen dan galakan seumpama ini dari pihak pemerintah sendiri.
Oh...baru penulis faham...disebabkan kempen seumpama ini dilakukan atau dianjurkan oleh pihak yang berlainan daripada yang sedia ada. Maka adalah mustahil kempen yang senada atau seirama dengannya boleh dilaksanakan di kawasan lain yang tidak sebulu atau sekufu dengan pemerintah di negeri tersebut.
Tetapi apakah galakan sembahyang itu hanya untuk penduduk yang menyokong sebuah negeri yang berlainan warna dengan pihak pusat sahaja? Adakah hanya mereka sahaja yang sepatutnya menitik beratkan hal sembahyang?
Perkara sembahyang adalah perkara pokok yang menjadi teras keislaman. Oleh itu selaku yang berkuasa, sama ada di peringkat negara, negeri, DUN, Parlimen, kampung, mukim, taman perumahan, sekolah, pejabat, universiti dan sebagainya adalah patut melaksanakan kempen seumpama ini untuk memastikan setiap warga dan orang yang berada di bawahnya melaksanakan sembahyang. Bukankah khalifah Umar ]tatkala memilih gabenor antara ciri penting yang ditekankan adalah dari kalangan yang tetap mengerjakan sembahyang?
Seorang yang menjaga sembahyang adalah boleh dipercayai untuk menjaga amanah yang lain manakala seorang yang cuai terhadap sembahyang yang merupakan amanah dari Allah, manakan mungkin boleh dipercayai untuk memegang amanah di kalangan manusia?
Wallahu a'lam
Ulasan