Pernahkah ditangkap kerana tidak solat Jumaat?




Hampir setiap hari akhbar tabloid harian di negara sanjungan dunia Islam ini akan memaparkan tangkapan khalwat a.k.a maksiat oleh pihak 'polis agama'. Berita² sensasi penangkapan ini semakin merebak dan melebar di mukasurat akhbar sehari selepas perayaan besar yang berlaku di negara tersebut, seperti selepas malam tahun baru, atau selepas malam sambutan merdeka. Graf penangkapan pasangan khalwat akan mendadak naik pada malam-malam tersebut. "polis agama" juga berlumba² memasang jerat menanti tangkapan di merata hotel murah dan hotel bajet seluruh negara. Tapi peliknya, hanya hotel murah, bajet dan rumah tumpangan yang menjadi lokasi buruan penuh bernafsu para "polis agama" ini. Hotel bertaraf mewah tidak pula berani dijejaki dan disyaki. Itu mungkin sudah menjadi moto mereka. Menghapus maksiat di kalangan orang awam.... bukan orang khusus...

ENAKMEN 4 TAHUN 1997
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH 1997
BAHAGIAN IV - KESALAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN KESUSILAAN


Seksyen 24. Perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Mana-mana orang yang melakukan apa-apa perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.



Penulis juga pernah mempunyai rakan² yang berkhidmat dengan 'polis agama' pemakan gaji bulanan ini. Mereka ini dilantik oleh pihak pemerintah untuk menguatkuasakan enakmen jenayah syariah mengikut negeri dan berdasarkan kepada peruntukan agama yang ada di dalamnya. Mereka kelihatan 'gembira' dengan tugasan harian mereka. Keluar malam, balik pagi. Sekitar waktu dhuha memeriksa dan menyoal hasil tangkapan bilis. Dapatkan keterangan dan kemudian buat pendakwaan. Ada yang ditangkap kerana berkhalwat di hotel bajet. Ada yang ditangkap selepas berzina di rumah tumpangan. Ada yang ditangkap di rumah sewa selepas mendapat aduan penduduk setempat. 

ENAKMEN 4 TAHUN 1997
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH 1997
BAHAGIAN IV - KESALAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN KESUSILAAN


Seksyen 23. Persetubuhan luar nikah.

(1) Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
(2) Mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

(3) Hakikat bahawa seorang perempuan hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan yang dilakukan dengan kerelaannya adalah keterangan 
prima facie tentang kelakuan kesalahan di bawah subseksyen (2) oleh orang perempuan itu.

(4) Bagi maksud subsekyen (3), mana-mana orang perempuan yang melahirkan anak yang sempurna sifatnya dalam tempoh yang kurang daripada enam bulan 
qamariah dari tarikh pernikahannya hendaklah disifatkan telah hamil luar nikah. 

Apabila misi 'polis agama' berjaya, dan selalunya mereka akan memeriksa hotel yang disyaki atau bersandar kepada aduan orang ramai. Jika mereka melaksanakan operasi besar-besaran, tentu hasil tangkapan lebih lumayan. Seumpama nelayan mencandat sotong pada musimnya. 'Polis agama' ini bukan seqadar makan gaji bulanan, mereka juga mendapat habuan berbentuk 'bayaran lebih masa' sebagai imbalan atas 'jasa' mereka yang berjaga semalaman menunggu hsil tangkapan serta 'jasa' mereka' mengendurkan maksiat.

Namun penulis ingin sekali bertanya. Pernahkah kita terdengar atau terbaca akan tangkapan oleh 'polis agama' ini ke atas lelaki aqil baligh, berakal yang meninggalkan solat Jumaat? Tentu sekali jawapannya tidak pernah. Jika ada, sila nyatakan dalam komen pembaca. Walhal kalau kita lihat pada hari Jumaat waktu solat Jumaat, sungguh ramai sekali lelaki yang berkeliaran di bandar yang tidak ikut solat Jumaat. Mereka begitu bergaya dan bertenaga sekali meninggalkan tuntutan agama tanpa segan silu. 

ENAKMEN 4 TAHUN 1997
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH 1997
BAHAGIAN III - KESALAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN KESUCIAN AGAMA ISLAM DAN INSTITUSINYA


Seksyen 14. Tidak menunaikan sembahyang Jumaat.

Mana-mana orang lelaki, yang baligh, yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam kariahnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syar'i atau tanpa sebab yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. 

Bahkan urusan jual beli masih rancak berjalan di mana-mana sahaja dalam jajahan takluk bumi bertuah ini pada waktu azan Jumaat selesai dikumandangkan sedangkan Al Quran secara terang melarang aktiviti ini apabila seruan azan Jumaat telah berlaku.


Dimanakah 'polis agama' yang begitu bergaya menangkap pesalah zina dan khalwat tetapi diam terkedu untuk menangkap peninggal solat Jumaat?

"eh...mereka solat Jumaat lah...Macammana nak tangkap?"

Bukankah kita ada 'polis agama' dari kalangan muslimah? Maka mereka boleh menjadi mata² untuk mengenalpasti orang yang tidak solat Jumaat. Bukankah kita sudah ada gajet yang canggih. Bukan seqadar untuk selfie, tetapi tangkaplah gambar orang yang tidak malu meninggalkan solat Jumaat. Jika tiga kali berturut² muka yang sama, maka perlulah ditangkap orang seumpama ini. Ini adalah contoh. 'Polis Agama' tentu lebih terbuka minda untuk melakukannya...

Penulis percaya jika negara dambaan negara ² Islam lain ini mampu menguatkuasakan enakmen mengenai solat Jumaat dalam masa setahun, maka Insya Allah masalah khalwat, zina, rugul, kecurian, bunuh dan lain-lain akan mengendur dengan sendirinya. Bukankah solat itu mampu mencegah kejahatan?

Wallahu a'lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol