Suatu malam di jalan TAR
Lewat tengah malam, penulis masih berada di ibu kota negara dambaan dan sanjungan negara² Islam sedunia. Penulis masih lagi tercari-cari kawasan letak kereta buruk hitam yang dibawa berjalan jauh seawal pagi Jumaat lagi. Kereta yang baharu sahaja diberikan pembedahan kecil. Kalau sebelum ini, kendatipun telah ditukar tangki radiator berulang kali, namun masih menunjukkan penyakit yang sama, air dalam radiator senantiasa menurun, tampaknya kali ini sudah agak pulih. Ianya telah diuji lari semasa penulis berulang alik dari ibu negeri Jauhari selatan ke rumah penulis hampir setiap hari. Dan hampir setiap pagi selama dua minggu, penulis akan memulakan pergerakan kenderaan tersebut dengan membuka bonet hadapan dan memeriksa paras air di dalam tangki radiator. Alhamdulilla, keadaan telah menjadi seperti biasa. Air masih tetap di aras yang sama. Ya...selepas berhabis sebanyak RM1,400.00 !!
Akhirnya selepas membuat beberapa pusingan, kereta ini berjaya mendapat lokasi letaknya. Di tepi jalan masuk ke pasar ramadhan berhampiran bangunan masjid india. Meskipun terpaksa membawa wang sebanyak RM10.00, ianya lebih baik daripada duduk menunggu di tepi jalan tetapi tidak dapat tidur dengan selesa dek kerana khuatir kemunculan polis peronda ataupun dewan bandaraya...
Masalh yang timbul selepas meletak kereta ialah kekhuatiran jika sang penumpang yang bakal balik semula gagal mengesan pemandu. Maka terpaksa penulis duduk menunggu di suatu sudut yang samar-samar. Melihat manusia yang semakin ramai muncul dengan keluarga masing² menuju ke lokasi pasar yang menjanjikan kepelbagaian peralatan untuk sambutan Eid yang dijangka pada Rabu dua minggu dari sekarang. Tatkala orang-orang soleh sibuk memburu al qadr di permulaan malam 10 yang akhir, diketika itulah manusia² ini jiga sibuk memburu sesuatu di pasar ramadhan jalan masjid India, atau dikenali sebagai jalan TAR untuk meraih harga yang paling minimum.
Sehingga jam 1 pagi, jumlah yang datang semakin bertambah. Ketika penulis bersandar pada salah satu tiang bangunan sambil cuba menutup mata, kedengaran jelas di telingan penulis akan kedatangan segerombolan manusia yang sedang mencari-cari sesuatu...
"Aaa...situ-situ..."
Seorang pemuda menghulurkan penulis sebungkus makanan. Oh..rupanya skuad sahur, tapi bukan yang kerap ditayangkan di kaca tv itu. Ini mungkin skuad sahur yang ikhlas mencari orang² yang kurang berkemampuan. Mungkin dari kalangan gelandangan dan sebagainya. Ironinya,penulis sendiri disangka gelandangan dan mendapat sebungkus makanan ...
Gerakan mereka ini, yang merupakan sekumpulan anak-anak muda diketuai oleh seseorang yang agak berumur, yang kedengaran dipanggil cikgu, mengingatkan penulis terhadap apa yang berlaku pada zaman awal Islam dimana wujud penderma yang bersedekah pada malam hari hingga tidak diketahui siapakah yang memberi sedekah itu. Sehinggalah, apabila tiba hari kematian si pemberi, baharulah sang penerima tahu siapakah yang memberi kerana apabila berita kematian sipolan itu tersebar luas, mereka tidak lagi menerima sedekah berupa makanan di hadapan pintu rumah mereka setiap malam, sebagaimana yang biasa mereka dapat sebelum daripada tersebarnya berita tersebut.
Beberapa minit kemudian, dek kerana penat menunggu di tiang bangunan dan khuatir akan disalah anggap lagi, penulis bergerak masuk ke perut kereta. Kemudian, muncul pula beberapa orang gadis sebangsa yang berambut seperti orang eropah lagaknya. Salah seorang hanya memakai seluar jeans pendek. Mereka duduk bertemu dengan seorang lagi gadis yang baru muncul yang hanya memakai baju hitam tanpa lengan. Mereka duduk berbual dengan suara yang agak kuat datangnya dari si gadis berbaju tanpa lengan. Perbualan mereka tamat sebaik datang seorang lelaki muda dan terus dibonceng oleh salah seorang gadis yang duduk berbual.
Anak-anak muda berbasikal juga ramai yang muncul di tengah malam menuju ke lokasi jualan. Tidak pula dapat diketahui dengan jelas akan nawaitu mereka, adakah sekadar untuk berbasikal, atau untuk melihat manusia yang semakin sesak, atau untuk bertemu rakan atau apa...
Penulis hanya bergerak pulang tatkala jam menunjukkan ke angka 2.00 pagi. Singgah sebentar di rumah ibu saudara dan pulang ke rumah sekitar jam 3.00 pagi. Dalam perjalanan melalui lebuh raya, singgah di perhentian tangkak untuk membasuh muka dan membasahkan rambut dek kerana perasaan mengantuk yang memuncak. Singgah sahur di Rehat dan Rawat Pagoh serta solat subuh, seusai subuh, beberapa meter dari rehat dan rawat dipertemukan dengan kejadian kemalangan yang melibatkan sebuah kereta, lori dan bas. Hanya lori yang bergelimpangan di tepi jalan, manakala bas dan kereta masih di atas jalan ..
Kami hanya tiba di hadapan rumah sekitar jam 7.30 pagi...
Ulasan