Air dicatu sekali lagi?

Sekali lagi, untuk kali kedua bagi tahun masihi 2016, syarikat air tersohor di selatan semenanjung emas, mengeluarkan jadual bekalan air berjadual untuk kawasan daerah di tengah-tengah gapura selatan dan juga di kawasan pantai timur jajahan takluknya.


Kadang² pelik juga dengan kejadian kekurangan bekalan air di daerah tengah ini. Mengapa daerah lain tidak terlibat? Adakah simpanan air bagi daerah tengah ini semakin kritikal hingga terpaksa dijadualkan penggunaannya? Ironinya media massa arus perdana seolah mengkesampingkan kisah dan berita berkaitan salah satu bentuk penganiayaan tarhadap rakyat ini. Yang dipaparkan dan diviralkan ialah kisah hang cangkul yang menyerang pegawai air yang bertugas. Itu tidak ada kena mengena dengan isu kekurangan air. Itu amat jauh dari kesengsaraan rakyat yang terpaksa menjimatkan air. Sebenarnya tidak semua rakyat yang mempunyai bekalan air simpanan di dalam tangki belakang rumah. Masih kedapatan rakyat marhaen yang ketiadaan tangki simpanan dan terpaksa menadah air bertempayan dan berbaldi di sekeliling rumah yang mungkin pula mengundang minat nyamuk aedes pembawa virus zika bertandang untuk melabuhkan telur buat menyambung zuriat keturunannya.

Di kaca televisyen, hampir saban malam kita akan dihidangkan dengan isu masalah air di negeri pembangkang yang semakin digilai oleh pihak pusat sejak ianya jatuh ke tangan pembangkang pada pilihanraya ke ke 11 lepas. Mungkin dengan menu hidangan masalah air di negeri pembangkang, pusat berharap agar rakyat dengan segera beralih cinta semula kepada mereka pada pilihnaraya ke 14 yang semakin hampir dan telah kedengaran derapan kakinya jika ianya wujud berjasad.

Maka tinggallah rakyat di daerah tengah dan pantai timur jajahan takluk menadah sahaja kehendak syarikat air dan seolah diredhai dengan penuh cinta oleh kerajaan negeri. Tiada satu suara YB apalagi menteri yang mahu bercerita dan membawa masalah rakyat yang terpaksa berjadual akan penggunaannya airnya. Mungkin dek kerana wilayah tengah ini tiada penghuninya yang bergelar menteri di hujung negeri, maka tiada apa yang perlu dipeduli. Cukup masa, undi tetap menjadi milik kita, mungkin itu yang dibisikkan sesama sendiri.

Maka biarlah sahaja apa yang berlaku...mungkin tahun hadapan atau hujung tahun ini, bekalan air setiap 48 jam sekali pun tidak hendak pernah dihiraukan oelh pimpinan negeri. Rakyat hanya seqadar sembang dan mengeluh di kedai kopi semata². "Bukan kering langsung tak berair..." kata satu suara dengan gah sambil menghirup air sedalam-dalamnya. Wakil rakyat pembangkang yang menang di parlimen tempoh hari juga hanya disibukkan dengan gegak gempita menghadapi pilihanraya umum akan datang sahaja. Rupanya semua hanyalah peraih undi. Semuanya hanya pencinta undi. Yang mereka perlukan hanya tangan yang memangkah mereka di atas kertas undi. Air tak ada? Itu bukan masalah kami.

Sampai bilakah rakyat akan terus duduk dan redha sahaja? Sampai bila?

Wallahu a'lam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol